Oleh pada 16 Feb 2022 kategori

Tidak dinafikan, didikan ibu bapa dan cara seorang kanak-kanak itu dibesarkan akan memberi impak yang hebat terhadap kehidupan mereka kelak.

Malangnya, anak yang dilahirkan di luar pernikahan atau tidak sah taraf sering dipandang serong oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa contoh di mana anak tidak sah taraf ini berjaya mengatasi stigma masyarakat dan mencapai kejayaan yang besar dalam hidup mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah beberapa anak yang lahir di luar pernikahan tetapi berjaya menjadi tokoh terkenal dunia.

1. Leonardo da Vinci

leonardo da vinci 855

Leonardo da Vinci diakui ramai sebagai seorang artis dan pencipta terhebat sepanjang zaman. Beliau juga diberi gelaran sebagai bapa paleontologi (cabang sains mengenai fosil haiwan dan tumbuhan) dan seni bina.

Leonardo da Vinci dilahirkan pada 1452 di bandar bernama Vinci di Florence, Itali. Bapanya, Messer Piero Fruosino di Antonio da Vinci, adalah seorang pegawai undang-undang yang kaya dan terkenal di Florence.

Manakala ibunya, Caterina, pula adalah seorang petani biasa yang tidak berkahwin dengan bapa Leonardo. Leonardo tidak mempunyai nama keluarga dan "da Vinci" bermaksud "dari Vinci".

Nama penuh yang diberikan kepadanya ketika dilahirkan ialah "Lionardo di ser Piero da Vinci" yang bermaksud, "Leonardo, anak kepada (Mes)ser Piero dari Vinci".

2. Oprah Winfrey

img 20220216 170620

Wanita yang diberi gelaran sebagai "Ratu Media" ini dilahirkan sebagai Oprah Gale Winfrey pada 29 Januari 1954. Ibunya, Vernita Lee, adalah seorang pembantu rumah.

Bapa kepada Oprah yang bernama Vernon Winfrey adalah seorang bekas pelombong arang yang kemudian menjadi tentera ketika dia dilahirkan. Menurut Oprah, ibunya hamil ketika mempunyai hubungan intim buat seketika dengan Vernon.

Mereka berpisah tidak lama kemudian dan Oprah dilahirkan sebagai anak kepada seorang gadis remaja. Kehidupan awal Oprah dipenuhi kesukaran. Dia dibesarkan dalam kemiskinan pernah dicabul sehingga hamil ketika berusia 14 tahun tetapi anaknya meninggal dunia ketika dalam kandungan.

Ketika berusia 19 tahun, Oprah mendapat peluang pekerjaan di sebuah stesen radio. Sejak dari itu, dia membina kerjayanya dalam bidang pengacaraan sehingga menjadi wanita kulit hitam paling kaya di Amerika Syarikat.

3. Fidel Castro

fidel castro revolutionist cuba

Fidel Castro adalah seorang tokoh revolusi dan bekas Presiden Republik Cuba. Dia dilahirkan pada 13 Ogos 1926. Bapanya adalah warga Sepanyol yang merupakan seorang pemilik ladang yang kaya bernama Angel Castro Argiz.

Apabila perkahwinan pertama Angel Castro gagal, dia menjadikan orang gajinya bernama Lina Ruz Gonzalez sebagai teman wanitanya. Bersama Lina, mereka mempunyai tujuh cahaya mata dan Fidel adalah yang ketiga. Ibu dan bapa Fidel Castro hanya berkahwin secara rasmi setelah dia dilahirkan.

Fidel sememangnya seorang yang memberontak sejak dari kecil. Ketika di University of Havana, dia menjadi ketua pelajar yang membuat demonstrasi terhadap pemerintah diktator ketika itu.

Dia dilantik menjadi Perdana Menteri Cuba dari tahun 1959 sehingga 1976 dan kemudian menjadi Presiden negara itu dari 1976 sehingga 2008. Fidel Castro meninggal dunia pada tahun 2016 ketika berusia 90 tahun.

4. Marilyn Monroe

marilyn monroe makan bersama rakan

Marilyn Monroe atau nama sebenarnya ialah Norma Jeane Mortenson ialah seorang pelakon dan model Amerika yang menjadi simbol seks paling popular pada era 1950-an. Ibunya, Gladys Pearl Baker, mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain ketika perkahwinan keduanya sehingga mengandungkan Marilyn.

Disebabkan tidak bersedia dari segi mental dan kewangan, Gladys menyerahkan Marilyn yang baru berusia dua minggu kepada rumah penjagaan kanak-kanak supaya dia diambil keluarga angkat.

Semasa bekerja di sebuah kilang pesawar radio pada tahun 1944, Marilyn telah dipekenalkan kepada seorang jurugambar untuk menjadi seorang model. Sejak itu, kerjayanya semakin melonjak naik terutamanya selepas menandatangani kontrak bersama 20th Century-Fox pada 1951.

5. Steve Jobs

steve jobs dulu kini muda tua

Mendiang Steve Jobs adalah salah satu nama besar dalam industri teknologi. Dia dilahirkan pada 24 Februari 1955. Bapanya adalah seorang berketurunan Arab yang bernama Abdulfattah "John" Jandali yang bertemu ibunya, Joanne Carole Schieble, ketika belajar di Universiti Wisconsin.

Joanne Carole adalah seorang Katolik berketurunan Switzerland dan Jerman. Apabila mengetahui hubungan anak mereka dengan Jandali yang berasal dari Syria, ibu dan bapa Joanne tidak merestuinya.

Joanne mengandung ketika menghabiskan musim panas di rumah keluarga Jandali di Homs, Syria. Jandali ingin mengahwini Joanne tetapi bapanya juga melarangnya daripada berbuat demikian sehinggalah Steve dilahirkan sebagai anak luar nikah.

Steve kemudian diserahkan kepada pasangan Paul dan Clara Jobs sebagai anak angkat. Pada tahun 1976, dia yang tidak menghabiskan pengajian kolejnya telah mengasaskan syarikat Apple Inc. bersama rakannya, Steve Wozniak. Sejak itu, Apple menjadi salah satu syarikat teknologi paling berjaya di dunia.

6. Eva Peron

eva peron malaysia

Maria Eva Duarte de Peron atau lebih dikenali sebagai Eva Peron adalah Wanita Pertama Argentina dari tahun 1946 hingga 1952. Dia merupakan anak kepada pasangan Juan Duarte dan Juanna Ibarguen.

Bapanya adalah seorang pendatang Perancis yang kaya dan mempunyai isteri dan keluarga di kampung halamannya. Ibunya iaitu Juana adalah wanita simpanan kepada Juan Duarte. Ketika berusia setahun, bapa Eva meninggalkan ibunya untuk pulang ke pangkuan keluarganya yang sah.

Sejak itu, Eva Peron hidup dalam kemiskinan. Pada usia 15 tahun, dia berpindah ke Buenos Aires untuk mengejar cita-cita menjadi penyampai radio dan pelakon. Dia akhirnya bertemu dan berkahwin dengan Colonel Juan Peron yang kemudian dilantik menjadi Presiden Argentina.

Eva Peron menjadi begitu berpengaruh sehingga menubuhkan parti politik wanita yang pertama dan terbesar di Argentina. Eva juga mengendalikan Kementerian Buruh dan Kesihatan, mengasaskan Yayasan Amal Eva Peron dan dianugerahkan dengan gelaran "Pemimpin Rohani Negara."




Hakcipta iluminasi.com (2017)