kucing hairul azreen

(Gambar Hiasan)

Antara tujuan haiwan dijadikan peliharaan sudah tentulah sifatnya yang mampu menjadi rakan atau peneman kepada manusia. Itu belum diambil kira tentang kecomelan sesetengah haiwan seperti kucing dan hamster.

Dan apabila kita menyebut "haiwan peliharaan", sudah tentu tiada siapa yang terfikir akan bahaya apatah lagi boleh membunuh. Namun hal ini tetap berlaku secara tidak sengaja atau tidak.

Sama ada ia dipelihara atau tidak, terdapat haiwan-haiwan jinak yang disangkakan tidak berbahaya namun telah menyebabkan kematian yang mengejut.

iluminasi.com kongsikan 5 haiwan yang anda tak sangka boleh membunuh manusia.

1. Mati ditikam ayam

jose luis ochoa mati ditikam ayam

Di pelbagai negara, aktiviti menyabung ayam adalah diharamkan dan boleh dikenakan hukuman berat.

Walaupun jarang untuk manusia tercedera dalam aktiviti ini, namun tak dapat dinafikan bahawa ayam-ayam ini dilatih untuk menjadi begitu agresif dan dilengkapi dengan senjata tajam untuk membahayakan haiwan lawan.

Malah, ia juga boleh membahayakan manusia. Pada tahun 2011, Jose Luis Ochoa sedang menonton perlawanan sabung ayam di California.

Tiba-tiba pihak polis menyerbu lokasi tersebut membuatkan kesemuanya lari bertempiaran termasuklah ayam-ayam tersebut. Di tengah-tengah kekecohan itu, Luis "ditikam" di bahagian betis kanan oleh seekor ayam yang mana kakinya diikatkan pisau.

Luis mati dua jam kemudian di hospital.

2. Gigitan hamster yang membunuh

mati digigit hamster

Jika diikutkan, hamster atau tikus belanda adalah antara haiwan peliharaan yang paling disukai terutamanya oleh kanak-kanak. 

Namun, tak siapa sangka bahawa haiwan secomel ini mampu membunuh tuannya. Tetapi bagaimana?

Sains menynjykkan bahawa hamster dan beberapa tikus lain berpotensi menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai choriomeningitis limfositik (LCM) terhadap manusia.

Penyakit ini sangat jarang berlaku dan sangat berbahaya namun mangsa boleh pulih dengan mudah. Walaupun begitu, kehadiran alahan boleh mengubah situasi ini menjadi tersangat buruk.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Ma On Chan telah digigit oleh hamster peliharannya di bahagian jari pada tahun 2013.

Selepas ibu bapanya mencuci luka Ma, kanak-kanak malang ini mula mengalami kekejangan di bilik mandi dan akhirnya mati dalam masa sejam.

Walaupun penyiasatan awal tidak dapat menyimpulkan sebab kematian tersebut, namun para pakar membuat spekulasi bahawa Ma mengalami tindak balas alahan yang teruk terhadap gigitan hamster peliharaannya.

3. Llama menghentam tuan sendiri

llama menghentam tuan sendiri

Antara salah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan oleh pencinta haiwan adalah situasi di mana haiwan kesayangan mereka menyambut kehadiran atau kepulangan tuannya.

Hal ini biasanya berlaku jika pemilik haiwan mempunyai haiwan yang pintar seperti anjing. Namun, llama juga merupakan haiwan yang mempunyai kebolehan menyambut tuannya.

Pada tahun 2012, Florence Lanahan telah pulang ke rumah dan disambut oleh llama peliharannya iaitu Baby Doll. Akan tetapi, Baby Doll yang teruja melihat tuannya bergegas dengan begitu laju ke arah Florence dan tiba-tiba tergelincir kerana lantai yang basah.

Disebabkan itu, llama yang bersaiz agak besar ini telah menghentam tuannya hingga terjatuh dan kepala Florence terhantuk di lantai. Florence masih mampu menelefon ambulans namun tiada apa yang mampu dilakukan oleh pasukan paramedik.

Florence mati akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan ke hospital. Kes ini membuktikan bahawa walaupun haiwan dengan niat yang tidak membahayakan boleh membunuh tuannya.

4. Kambing biri-biri pijak warga emas

kambing biri biri jenis ram membunuh warga emas

Semakin beredar zaman, semakin kurang manusia mampu untuk hidup sehingga ke usia 90 tahun di atas pelbagai sebab. Oleh itu, sangat jarang untuk kita mendengar manusia disebabkan oleh serangan kambing biri-biri.

Namun, kes ini tetap berlaku terhadap seorang lelaki berusia 94 tahun pada tahun 2016 ketika dia sedang berjalan-jalan di sepanjang kawasan luar bandar di Perancis.

Lelaki itu ditemui mati dengan luka yang menandakan bahawa kematian tersebut diakibatkan oleh kecederaan yang dialami akibat dipijak.

Biasanya, kambing biri-biri dianggap sebagai tidak berbahaya dan jinak.

"Ram" adalah sejenis kambing biri-biri jantan dewasa yang dianggap lebih agresif berbanding jenis kambing biri-biri yang lain terutamanya ketika musim mengawan.

Biri-biri yang menjatuhkan dan memijak warga emas ini agak terkenal di rantau tersebut dengan serangannya ke atas ramai orang walaupun tidak diganggu.

Setelah membunuh warga emas itu, kambing biri-biri tersebut ditangkap dan dibunuh. 

5. Memerang membawa maut

memerang comel membunuh manusia

Terdapat pelbagai jenis haiwan yang mana kita berasa teruja melihatnya kerana sukar untuk ditemui. Namun, tak semua haiwan kita boleh hargai dengan mendekatkan diri dengannya.

Antara haiwan-haiwan tersebut adalah memerang. Perlu diketahui bahawa memerang biasanya tidak menggigit manusia dan kes-kes seperti ini adalah tersangat jarang.

Namun memerang mempunyai kekuatan gigitan yang sangat kuat walaupun bersaiz kecil dan jika ia menyerang manusia tak kiralah atas apa sebab sekalipun, ia boleh membunuh.

Pada tahun 2013, seorang nelayan di Belarus berusia 60 tahun memandu ke sebuah tasik dengan rakannya. Dia tiba-tiba ternampak seekor memerang dan memberhentikan kereta bagi mendekati haiwan itu untuk bergambar.

Memerang tersebut yang mungkin berasa terancam kemudiannya menyerang dan menggigit lelaki malang itu beberapa kali.

Salah satu daripada gigitan tersebut mengenai arteri di kakinya dan menyebabkan pendarahan teruk, membunuh lelaki tersebut.

Rujukan:

1. Guardian

2. Register

3. PRI



Hakcipta iluminasi.com (2017)