Oleh pada 30 Jan 2018 kategori

Hasil kemajuan dalam bidang sains membolehkan para saintis membuat ujikaji DNA terhadap tumbuhan, haiwan dan manusia. Genetically modified organisms atau GMO merupakan satu istilah merujuk kepada organisma (tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dll) dimana DNA asalnya telah diubah dan tidak mampu dihasilkan melalui teknik persenyawaan secara semulajadi.

Melalui kaedah GMO, para saintis akan mengeluarkan satu atau lebih gen daripada DNA sesuatu organisma dan menggabungkannya ke dalam DNA organisma yang hendak diubahsuai. Penghasilan binatang yang mempunyai ciri-ciri tertentu hasil daripada kaedah GMO sememangnya merupakan isu kontroversi dan masih mendapat tentangan sebahagian masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, kami ingin berkongsi 5 haiwan pelik yang telah dihasilkan para saintis melalui kaedah GMO ini.

1. Lembu yang menghasilkan susu untuk manusia lactose intolerant

Dianggarkan 65% manusia adalah lactose intolerant, iaitu mereka yang tidak mempunyai toleransi terhadap laktosa. Golongan ini biasanya akan menghadapi sakit perut apabila meminum susu lembu.

Bagi mengatasi masalah ini dan membolehkan lebih ramai manusia menikmati keenakan susu lembu, para saintis telah berusaha mencipta lembu yang menghasilkan susu yang tidak mengandungi β-lactoglobulin, iaitu sejenis protein yang menyebabkan golongan yang mempunyai lactose intolerant jatuh sakit.

2. Enviropig - Khinzir mesra alam sekitar

enviropig

Di Malaysia, pusat pembiakan khinzir biasanya akan mencetuskan kontroversi sekiranya ia terletak berdekatan dengan tempat tinggal majoriti penduduk Islam. Sekiranya anda tidak tahu, pusat pembiakan khinzir semamangnya mempunyai isu pencemaran alam sekitar yang sangat teruk. Bagi mengatasi masalah ini, saintis telah mencipta Enviropig.

Enviropig adalah khinzir yang lebih mesra alam dimana najisnya mengandungi 65% kurang kandungan fosforus daripada khinzir biasa. Najis khinzir biasa yang dilepaskan ke sungai boleh merosakkan ekosistem kerana kandungan fosforus yang tinggi ini akan mengurangkan oksigen dalam air, seterusnya menggalakkan pembiakan algae. Kanada merupakan antara negara pertama membenarkan penciptaan enviropig ini pada tahun 2010.

3. Katak Lutsinar

katak lutsinar

Katak merupakan sejenis haiwan unik dengan pelbagai jenis warna kulit, daripada warna hijau tua hinggalah warna cerah seperti kuning dan merah. Dengan penghasilan katak berkulit lutsinar, saintis tidak lagi perlu membunuh dan membelahnya untuk membuat sebarang ujikaji terhadapnya. Segalanya dapat dilihat daripada luar seperti saluran darah, denyutan jantung dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, penghasilan katak dengan kulit lutsinar ini masih menjadi cabaran buat para saintis. Katak-katak ini menghadapi mutasi yang pelik dan biasanya daripada 16 katak yang dihasilkan, hanya 1 yang akan mempunyai kulit lutsinar apabila ianya besar kelak.

4. Killer bee

killer bee

Tahukah anda bahawa 'killer bee' adalah satu spesis lebah yang terhasil daripada lebah daripada Afrika dan beberapa spesis lebah lain. Ianya telah diperkenalkan di Brazil pada tahun 1950-an dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran madu lebah. Malangnya, beberapa kawanan lebah ini berjaya keluar daripada tempatnya asalnya dikuarantin.

Semenjak itu, lebah jenis killer bee ini telah berhijrah ke pelbagai pelusuk dunia antaranya di utara dan selatan Amerika Syarikat. Berbanding lebah biasa, killer bee lebih agresif dan defensif terhadap sarang mereka. Semenjak diperkenalkan, lebah jenis ini telah membunuh lebih 1000 orang manusia di seluruh dunia. Malah, terdapat juga kes kuda dan haiwan-haiwan lain yang dibunuh oleh kumpulan lebah ini.

5. Ikan lutsinar

ikan lutsinar 740

Sama juga seperti katak berkulit lutsinar, penciptaan ikan emas yang mempunyai badan lutsinar ini dikatakan membolehkan saintis mengetahui lebih lanjut mengenai pergerakan dalam seseokor ikan tanpa perlu membelahnya.

Sehingga kini, isu penghasilan binatang melalui kaedah GMO merupakan satu isu yang kontroversi. Penentangan terhadap penggunaan kaedah ini adalah kerana kemungkinan wujudnya mutasi dan salah faham mengenai kaedah GMO itu sendiri.

Kredit:

  1. BBC
  2. Business Insider
  3. WikiPedia
  4. Globalization 101



Hakcipta iluminasi.com (2017)