Oleh pada 30 Jul 2023 kategori

Jenama Tesla memang telah dikenali sebagai sebuah syarikat gergasi pengeluar kereta elektrik.

Kini baru melabuhkan Malaysia setelah dihamparkan permaidani merah oleh kerajaan kita, bagi memacu perkembangan penggunaan kereta elektrik dan pemasangan jalinan sistem pengecas berkuasa tinggi di seluruh negara, kami yakin jenama Tesla mungkin akan menjadi antara jenama popular di sini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda, selain kereta elektrik - wujud beberapa jenis kategori produk berbeza yang turut dikeluarkan Tesla. Berikut adalah lima produk yang dipasarkan jenama tersebut yang layak dikatakan berbeza.

1. Permainan kanak-kanak Tesla

tesla kereta miniatur

Kereta elektrik untuk orang dewasa. Bagaimana pula dengan kanak-kanak? Itulah pasaran yang cuba dipenuhi oleh siri produk Tesla Toys, yang bertanggungjawab mengeluarkan produk kereta miniatur berasaskan model Tesla sebenar.

Dikeluarkan dalam dua versi iaitu My First Model Y untuk kanak-kanak lebih kecil dan Tesla Model S for Kids yang menggunakan tenaga elektrik, versi Model S boleh disesuaikan mengikut spesifikasi, di mana kapasiti bateri, warna serta bentuk rim diberikan beberapa pilihan untuk pengguna.

Harganya pula...agak tinggi. Untuk My First Model Y, mempunyai harga RM450 sementara Model S for Kids bermula pada harga RM2275, pada harga spesifikasi paling rendah.

2. Motorsikal 4 roda untuk kanak-kanak

tesla cyberquad

Diinspirasikan daripada rekaan Tesla Cybertruck yang aneh dan agak luar biasa, Tesla Cyberquad for Kids direkabentuk menggunakan tenaga elektrik bagi membolehkan penggunanya bergerak sejauh 24km jarak perjalanan, dengan kelajuan kira-kira 16km/j.

Sesuai untuk kegunaan kanak-kanak berusia 8 tahun ke atas, sistem brek yang dipasang pada setiap Tesla Cyberquad for Kids menggunakan brek cakera, dibantu lampu depan LED dan tayar 16 inci yang tahan lasak.

Rangkanya juga kukuh, mampu menampung berat pemandu sehingga 150kg. Ini bermakna jika nak, seorang dewasa pun boleh cuba memandu kenderaan lasak ini.

3. Pengecas telefon

tesla powerbank

Bila dah terkenal dengan inovasi pengecasan elektrik, sayanglah kalau Tesla tak keluarkan powerbank sendiri kan? Mesti ada sekali!

Tesla Desktop Superchargers dan Tesla Powerbank merupakan dua produk bank kuasa yang dikeluarkan oleh Tesla, untuk memudahkan penggunanya mengecas telefon. Tesla Desktop Superchargers direkabentuk 1:1 sama dengan rekaan stesen Superchargers yang dibangunkan, dijual pada harga RM160 setiap unit.

Sementara Tesla Powerbank pula hanya mempunyai kapasiti 3350mAh, dikatakan dibuat menggunakan sel bateri yang sama dipasang pada kereta jenama Tesla. 

4. Tesla Powerwall

tesla powerwall

Tesla Powerwall merupakan sebuah produk yang kami rasakan berpotensi untuk diperkembangkan di negara kita, khasnya di kawasan yang bekalan elektriknya kurang stabil.

Powerwall merupakan sistem bateri yang dihubungkan ke grid elektrik rumah, untuk dijadikan storan kuasa yang boleh digunakan semasa tiada bekalan elektrik.

Boleh diintegrasikan dengan sistem pengecasan solar atau hanya bertindak sebagai storan keselamatan yang dicaj menggunakan elektrik biasa, penggunaanya dipuji kerana mudah dipasang dan selenggara.

Diperkenalkan pada tahun 2016, setakat ini sudah lebih 250,000 Powerwall dipasang di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

5. Tesla Solar Roof

tesla solar roof tenaga elektrik

Walaupun trend pemasangan panel solar di negara kita, sudah semakin berkembang - ada satu masalah yang sangat ketara tentang pemasangannya. Rupa setiap panel itu agak buruk serta mencacatkan astetik rumah.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Tesla memperkenalkan inovasi yang dilabelkan sebagai Tesla Solar Roof, yang mempunyai rekabentuk mirip dengan genting yang biasa digunakan sebagai atap serta kelihatan anggun; tidak lagi menyebabkan rumah kita nampak cacat.

Dipasang menggunakan teknik yang serupa dengan bumbung, pemasangan Tesla Solar Roof ketika ini masih memerlukan kos yang sangat-sangat tinggi dianggarkan bermula sekitar RM230 ribu minima, mengikut saiz bumbung.




Hakcipta iluminasi.com (2017)