Setiap tahun, kita pasti akan mendengar mengenai kes rompakan rompakan kapal-kapal dagang yang dilakukan oleh lanun yang berasal dari Somalia. Kawasan kegiatan lanun ini bergerak aktif adalah di sekitar kawasan perairan Somalia dan Teluk Aden.

Isu ini bukanlah isu yang kecil sebaliknya merupakan isu antarabangsa. Hal ini disebabkan laluan ini merupakan laluan utama kapal-kapal dagang. Modus operandi kumpulan lanun ini mudah. Mereka merompak kapal tersebut dan akan meminta bayaran tebusan daripada syarikat milik kapal ataupun kerajaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerana jumlah kes rompakan oleh lanun Somalia ini, beberapa pihak telah berbincang untuk mengadakan kawalan keselamatan secara berkala di kawasan perairan ini. Kesannya, jumlah kes rompakan di kawasan ini dilaporkan turun mendadak. 

Kali ini pihak Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak informasi menarik mengenai kegiatan rompakan lanun Somalia ini. Walaupun dianggap sebagai penjenayah, lanun-lanun ini sebaliknya menggelarkan diri mereka "badaadinta badah". Ianya adalah perkataan dalam bahasa Somalia yang membawa maksud penyelamat dilaut. Pelik bukan?

1. Syarikat insurans merupakan pihak yang paling untung

insurans rompakan somalia 305

Untuk setiap rompakan, biasanya kumpulan lanun ini berjaya memperolehi jutaan ringgit sebagai bayaran tebusan bagi melepaskan kapal dagang yang ditawan. Menariknya, dalam situasi seperti ini syarikat insuran sebenarnya merupakan pihak yang mendapat lebih banyak keuntungan.

Berdasarkan statistik, syarikat insurans memperoleh kira-kira 10 kali ganda daripada jumlah yang diperoleh oleh lanun-lanun ini. Sebagai contoh, pada tahun 2010, kumpulan lanun ini memperoleh sekitar $148 juta wang tebusan. Pada tahun tersebut juga, syarikat-syarikat pemilik kapal dagang membayar $1.8 bilion premium insurans terdapat syarikat insurans.

2. Meminta wang perlindungan daripada nelayan haram

nelayan haram

Apabila kawalan keselamatan di kawasan perairan Somalia semakin diperketatkan, lanun-lanun ini terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari wang. Antara kegiatan mereka adalah meminta wang perlindungan daripada para nelayan haram yang memasuki kawasan perairan Somalia.

Sebagai tukaran, kumpulan lanun ini akan memberi perlindungan kepada nelayan haram ini supaya mereka bebas menangkap ikan. Kumpulan nelayan haram ini biasanya berasal daripada negara luar seperti Iran, Korea Selatan dan Thailand. Pada masa yang sama, lanun ini akan menghalang nelayan tempatan daripada menangkap ikan di perairan mereka sendiri.

3. Asalnya berperanan menjaga kawasan perairan Somalia

penjaga laut somalia

Menariknya, kumpulan lanun ini asalnya bukanlah lanun sebaliknya mereka juga merupakan nelayan. Setelah kejatuhan kerajaan Somalia pada tahun 1991, ramai nelayan daripada luar mula memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Somalia secara haram.

Keadaan ini menyebabkan hasil tangkapan nelayan Somalia turun secara mendadak. Malah, kumpulan nelayan haram ini juga seringkali akan menembak ke arah bot nelayan tempatan yang menghampiri mereka. Bagi mengatasi perkara ini, mereka menubuhkan pasukan pengawal perairan yang akan menangkap nelayan-nelayan haram ini dan akan meminta bayaran tebusan daripada mereka untuk dilepaskan.

Menyedari perkara ini merupakan cara yang efektif untuk memperoleh wang, kumpulan nelayan ini mula merompak kapal-kapal yang melalui kawasan perairan Somalia. Walau bagaimanapun, pada masa kini kebanyakan lanun Somalia ini bukan asalnya daripada nelayan sebaliknya hanya golongan belia miskin yang tiada pilihan lain untuk meneruskan kehidupan.

4. Setiap rompakan akan ditaja oleh para pelabur

pelabur rompakan lanun somalia

Setiap kegiatan rompakan sangat berisiko dan melibatkan kos yang tinggi. Oleh itu, untuk setiap rompakan kumpulan lanun ini akan mendapatkan suntikan kewangan daripada pelabur awam. Para pelabur ini akan memperoleh kembali wang mereka beserta bunga setelah kumpulan lanun ini memperoleh wang pelaburan.

Bagi tujuan ini, satu pasaran saham telah ditubuhkan dan diuruskan secara bersama oleh lebih 72 kumpulan lanun Somalia. Setiap bahagian saham yang dijual ini bukan sahaja boleh dibeli oleh para pelabur dengan bayaran wang tunai sebaliknya boleh dibeli dengan senjata api seperti AK-47 dan pelancar roket.

5. Lanun hanya memperoleh sedikit sahaja daripada wang tebusan

lanun somalia

Walaupun biasanya memperoleh ratusan juta ringgit wang tebusan, para lanun yang melakukan rompakan ini sebaliknya hanya memperoleh sedikit sahaja bahagian daripada wang tersebut. Kebiasaannya mereka akan memperoleh sekitar $30,000 hingga $75,000 untuk setiap kejayaan rompakan mereka.

Dalam setiap rompakan, para pelabur adalah golongan yang mendapat paling banyak daripada hasil wang tebusan. Selain para pelabur dan lanun, sedikit daripada bahagian wang tebusan yang diperolehi biasanya akan disumbangkan pula kepada komuniti mereka untuk membina dan membaik pulih sekolah dan hospital.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Quartz
  3. BBC



Hakcipta iluminasi.com (2017)