Sepanjang sejarah perubatan, ahli epidemiologi atau pengkaji epidemik (penyakit atau gangguan yang menghinggapi ramai orang dalam sesuatu daerah pada sesuatu masa) sering menemui kejayaan mengagumkan. Mereka dapat mengenal pasti punca, corak jangkitan, simptom serta penawar wabak. 

Antara wabak popular yang berjaya dikenal pasti mereka adalah seperti Spanish Flu, kolera, cacar dan yang terkini iaitu Covid-19. Namun, terdapat juga kes di mana mereka gagal menemui jawapan walaupun sudah bertahun-tahun atau beberapa dekad melakukan kajian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima wabak yang masih menjadi misteri dalam dunia perubatan dan saintifik.

5. Demam Lembah

valley fever 998

Ia mula dikesan di Amerika Syarikat dan mereka yang tinggal di bahagian barat negara itu adalah yang paling terdedah kepada wabak ini. Sejak lebih 100 tahun yang lalu, penduduk Amerika menggelarkannya sebagai Demam Lembah atau Valley Fever.

Wabak ini sebenarnya adalah sejenis jangkitan kulat yang dikenali sebagai Coccidioidomycosis. Ia disebabkan oleh spora kulat yang terdapat pada debu tanah di mana kemudiannya dihidu ke dalam paru-paru. 

Lonjakan kes di barat Amerika masih menjadi misteri. Kern County di California terutamanya menyaksikan peningkatan tertinggi pada awal tahun 1990-an dan awal tahun 2000-an.

Wabak ini juga telah melanda dua penjara di daerah itu menyebabkan kematian ramai banduan. Pada tahun 2011 sahaja, lebih daripada 20,000 kes wabak ini dilaporkan.

Sebilangan kecil jangkitan ini masih membingungkan doktor apabila ia boleh merebak ke bahagian anggota badan lain sehingga menyebabkan pembengkakan pada otak dan bahagian tubuh yang lain.

4. Wabak seakan polio

wabak seakan polio

Setelah lebih 30 tahun kes polio terakhir dilaporkan di Amerika Syarikat, negara itu gempar apabila 20 kanak-kanak di California mengalami penyakit seumpama polio pada 2014.

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit mengesahkan secara keseluruhannya terdapat 120 kes dikenal pasti di 34 negeri di Amerika. Mereka menggelarkan wabak yang menyebabkan kelumpuhan itu sebagai acute flaccid myelitis.

Mangsa yang dijangkiti wabak itu kebanyakannya remaja dan kanak-kanak. Mereka mengalami simptom seperti lemah otot, keabnormalan saraf tunjang dan kesukaran berjalan seperti polio. Namun, kesemua pesakit yang diuji didapati negatif polio.

Sebilangan penghidap pula diuji positif enterovirus D68 yang dipercayai doktor ada kalanya boleh menyebabkan kecacatan fizikal. Namun, secara spesifiknya punca penyakit itu masih menjadi misteri.

3. Wabak tidur misteri

encephalitis lethargica

Antara tahun 1917 hingga 1925, hampir satu juta orang di seluruh dunia mengalami masalah yang tidak dapat difahami saintis sehingga kini. Penyakit itu dikenali sebagai encephalitis lethargica.

Penghidap penyakit ini boleh tertidur secara tiba-tiba sama ada ketika makan, berjalan atau bercakap. Malah, mereka boleh tidur selama berhari-hari lamanya seperti koma.

Penghidapnya biasanya akan mengalami simptom seperti demam teruk, sakit kepala, gangguan penglihatan serta tindak balas fizikal dan mental yang lambat.

Hampir separuh daripada pesakit meninggal dunia manakala sebahagian besar yang terselamat pula menunjukkan simpton seperti Parkinson dan gangguan mental.

Seorang pakar dari Vienna, Austria, bernama Constantin Von Enonomo mendapati terdapat pembengkakan hipotalamus di otak pesakit yang menghidap gangguan tidur encephalitis lethargica ini.

2. Kecelaruan Tik

Kecelaruan Tik atau Tics Disorder adalah gerakan atau bunyi suara yang dilakukan seseorang berulang kali tanpa kawalan dan tidak dapat dihalang. Ia berpunca daripada masalah saraf yang dikenali sebagai SIndrom Tourette.

Keadaan ini menjadi seperti epidemik apabila ia mula menjangkiti ramai gadis remaja di Le Roy, New York, pada penghujung tahun 2011. Walaupun ia turut dijangkiti seorang budak lelaki dan seorang wanita dewasa tetapi sebilangan besar adalah gadis sekolah menengah.

Lebih membingungkan apabila tik ini berterusan secara misteri selama berbulan-bulan tanpa sebab yang jelas. Ibu bapa ketika itu muncul dengan pelbagai teori seperti kesan kilang berhampiran, pencemaran bahan kimia dan sebagainya.

Ahli psikologi pula beranggapan ia disebabkan tekanan dan histeria besar-besaran. Seorang pakar neurologi pula mendakwa ia disebabkan oleh PANDAS (pediatric autoimmune neuropsychiatric disorders associated with streptococcal atau gangguan neuropsikiatri autoimun pediatrik yang berkaitan dengan streptokokus).

Untuk masa ini, teori yang paling kerap digunakan sebagai punca gangguan tik adalahmanifetasi tekanan dalaman atau mental.

1. Koro

koro

Histeria bukan sahaja berlaku di kalangan wanita. Malah, beberapa kali dalam sejarah dilaporkan berlakunya "histeria" misteri di kalangan lelaki yang dikenali sebagai Koro.

Koro adalah sejenis serangan panik dan ilusi di mana penghidapnya mendapati kemaluan mereka mengecut, masuk ke dalam badan atau hilang sama sekali. Koro kali pertama dikenal pasti ketika zaman China kuno.

Wanita juga mengalami Koro tetapi sedikit berbeza dan biasanya mereka mendapati puting buah dada mengecil atau masuk ke dalam. Koro dilaporkan berlaku di seluruh dunia.

Salah satu epidemik Koro yang terkenal berlaku di Singapura pada tahun 1967 apabila hampir 100 orang lelaki yang panik berjumpa doktor dalam sehari dan menyatakan kemaluan mereka mengecil atau hilang.

Namun, sebahagian doktor menolak Koro sebagai satu gangguan kerana ia berkemungkinan besar disebabkan oleh stigma budaya dan kebimbangan mengenai alat kelamin lelaki. Walau bagaimanapun, saintis masih belum mempunyai jawapan yang tepat mengenainya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)