cyborg searching preview

Satu masa dulu, sebelum wujudnya media sosial yang cuba menjadi orang tengah di antara pengguna dan informasi, pihak yang menghubungkan kita dan laman-laman web adalah enjin carian atau search engine.

Sebelum enjin carian menjadi sangat popular, penggunaan alamat laman web menjadi satu-satunya cara untuk menghubungkan kita dengan laman web kegunaan kita. Pengguna-pengguna internet satu masa dulu perlu menaip "http://www.yahoo.com" termasuklah singkatan "http", pada zaman di mana pelayar internet belum ada fungsi meletakkan "http" secara automatik.

Laman-laman enjin carian ketika ini sudah dimonopoli serba sedikit oleh Google dan juga Bing oleh Microsoft, membuatkan majoriti orang lebih gemar menggunakan Google sehinggakan 'google' sudah jadi kata kerja yang diktiraf. Bagaimanapun, bagi generasi terdahulu, mereka sempat merasai zaman sebelum Google di mana ada enjin carian datang dengan keputusan carian yang tunggang-langgang, tidak tepat ataupun terlalu penuh paparan antaramukanya sehingga menyukarkan kita untuk mencari.

1. Excite

excite enjin carian lama

Excite ditubuhkan pada tahun 1995 untuk menjadi portal informasi untuk semua isu seperti cuaca, berita dan informasi termasuklah enjin carian. Dengan menggunakan sistem yang menggabungkan hasil keputusan daripada beberapa enjin carian yang lain, Excite menjadi sangat popular sehingga diletakkan sebagai antara salah satu jenama paling popular di dunia dalam kategori penggunaan internet. Excite masih lagi beroperasi dan cuba mengekalkan paparan yang diinspirasikan ketika zaman kemuncak mereka.

2. WebCrawler

webcrawler interface lama

Dengan logo labah-labah yang sangat dikenali ramai suatu masa dulu, WebCrawler menjadi pelopor kepada enjin carian yang mampu mengenalpasti teks yang terkandung dalam laman web, tidak seperti kebanyakan enjin carian lain sezamannya yang bergantung kepada teks indeks yang telah ditetapkan sahaja. WebCrawler turut menawarkan perkhidmatan carian imej, video dan audio. Pada era tersebut, itu adalah sesuatu yang mengkagumkan.

3. Yahoo

yahoo dulu dulu

Satu masa dulu sebelum Google menjadi raja enjin carian, Yahoo adalah nama paling sinonim dengan internet. Walaupun masih kukuh beroperasi sehingga sekarang, status Yahoo sudah menurun berikutan populariti Google yang menawarkan sistem carian lebih ringan pada komputer, berbanding Yahoo yang agak serabut antara mukanya.

Menjadi pendahulu kepada enjin carian kerana teknologi yang digunakannya dikatakan mampu menawarkan keputusan carian paling tepat, kerana indeks cariannya dikatalogkan sendiri oleh pekerja Yahoo. Namun ketepatan enjin indeks Google akhirnya membuatkan Yahoo terpaksa mengalah dan Yahoo kini lebih terkenal sebagai sebuah portal informasi dan enjin carian bagi mereka yang mahukan alternatif lain.

4. AltaVista

altavista klasik

AltaVista satu masa dulu menjadi antara nama besar dalam internet selepas pelancarannya pada tahun 1995. Menggunakan kuasa carian yang dikatakan paling moden ketika itu dan mampu memberikan hasil carian lebih tepat, pengguna AltaVista pada waktu kemuncaknya mencecah 80 juta orang sehari.

Menawarkan perkhidmatan e-mel serta pada waktu itu, fungsi terjemahan laman web yang unik pada mereka, malangnya AltaVista turut sama terkesan dengan perkembangan Google. AltaVista dibeli oleh Yahoo pada tahun 2003 namun Yahoo gagal memperkembangkan jenama ini, sebelum AltaVista ditutup sepenuhnya pada tahun 2013. Kini alamat web AltaVista masih wujud hanya berfungsi menghalakan pengguna ke laman web Yahoo.

5. Cari

cari dalam bahasa cina

Laman enjin carian paling popular buatan Malaysia, Cari ditubuhkan pada tahun 1996 dengan menggunakan alamat 'cari.com.my.' Pada zaman kemuncaknya, Cari menjadi alternatif orang Malaysia dalam menggunakan enjin carian kerana menjadi satu-satunya enjin carian yang menawarkan pilihan 3 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

Ketika ini, Cari masih lagi mengekalkan rekaan logo awal mereka namun telahpun menukar model tawaran mereka. Cari bertukar menjadi sebuah laman portal pelbagai bahasa, menawarkan informasi. Ruangan forumnya tetap menjadi antara ruang forum paling aktif dan popular di negara kita.


tags : , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)