Pembinaan empangan merupakan salah satu kaedah untuk menjana tenaga elektrik secara semulajadi daripada sumber yang boleh diperbaharui iaitu air. Bagi yang masih tertanya-tanya bagaimana empangan hidroelektrik mampu menjana tenaga elektrik, sila baca artikel Bagaimana Sebenarnya Empangan Hidroelektrik Menjana Tenaga Elektrik?

Namun, pembinaan empangan yang besar tidak semestinya menjanjikan penghasilan tenaga elektrik yang besar. Satu ketika dahulu, kami pernah menulis artikel 10 Empangan Paling Besar Di Dunia namun kali ini kami ingin kongsikan pula senarai 5 empangan yang menjana tenaga elektrik terbanyak di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika anda membandingkan kedua-dua artikel ini, dapat disimpulkan disin bahawa saiz sesuatu empangan hidroelektrik itu tidak berkadar langsung dengan tenaga elektrik yang dijana olehnya.

5. Empangan Belo Monte - 11,233 MW

empangan belo monte

Empangan Belo Monte, dahulunya dipanggil empangan Kararaô, adalah stesen janakuasa kelima terbesar di dunia dari segi tenaga elektrik yang dihasilkan. Empangan hidroelektrik ini terletak di Pará, Brazil, di sepanjang Sungai Xingu.

Empangan ini mempunyai 18 turbin dan telah siap pada 2019. Stesen janakuasa ini mempunyai kapasiti 11,233 megawatt yang menjadikannya kompleks empangan hidroelektrik kedua terbesar di Brazil dan kelima terbesar di dunia mengikut kapasiti elektrik dihasilkan

Di Brazil, loji kuasa hidroelektrik menghasilkan lebih 85% tenaga elektrik. Kerajaan telah memutuskan untuk membina hidroelektrik baharu untuk menjamin keselamatan tenaga negara itu. Rancangan untuk pembinaan empangan ini sudah wujud sejak 1975 lagi namun hanya direalisasikan pada 2011 kerana pelbagai isu dan tentangan. 

4. Empangan Xiluodu - 13,860 MW

empangan xiluodu

Empangan Xiluodu di Lembah Sungai Jinsha di China ialah stesen janakuasa ke empat terbesar di Bumi dari segi tenaga elektrik yang dihasilkan. Empangan ini berukuran 278 meter tinggi dan 698 meter panjang.

Ia terletak di antara daerah Leibo dan Yonshan dan merupakan penjana kuasa, sistem pengairan dan kawalan air banjir. Empangan ini terdiri daripada penjana kuasa hidroelektrik bawah tanah, masing-masing dengan sembilan unit hidroelektrik untuk gabungan kapasiti kuasa 13,860 Megawatt.

Pembinaan empangan dan stesen janakuasa ini bermula pada tahun 2005 dan penjana pertama telah dipasang pada 2013 sementara yang terakhir pada 2014.

3. Empangan Itaipu, Brazil Paraguay - 14,000 MW

empangan itaipu 271

Stesen janakuasa dengan kapasiti pengeluaran tenagga ketiga terbesar ialah Empangan Itaipu, yang terletak di sepanjang sempadan antara Brazil dan Paraguay. Sungai Paraná merupakan sumber air bagi empangan ini yang mempunyai kapasiti penjanaan kuasa sebanyak 14,000 Megawatt.

Empangan Itaipu ini terdiri daripada 20 penjana kuasa, setiap satu dengan kapasiti 700 MW. Loji janakuasa ini merupakan pembekal kuasa yang penting untuk Paraguay dan telah menyumbang sebanyak 75% daripada tenaga elektrik tahunan Paraguay.

Nama "Itaipu" diambil daripada sebuah pulau yang wujud berhampiran tapak pembinaan. Dalam bahasa Guarani, Itaipu bermaksud "batu yang berbunyi".. Konsep di sebalik Loji Kuasa Itaipu adalah hasil rundingan serius antara kedua-dua negara pada tahun 1960-an.

2. Empangan Baihetan - 16,000 MW

empangan baihetan

Empangan Baihetan ialah sebuah empangan hidroelektrik besar di Sungai Jinsha, bahagian atas Sungai Yangtze di wilayah Sichuan dan Yunnan. Empangan ini ialah empangan lengkung berkembar berketinggian 289 meter dengan ketinggian puncak 827 meter.

Ia dianggap sebagai projek kuasa hidro besar terakhir di China selepas beberapa siri projek bermula dengan Empangan Three Gorges. Ia juga merupakan loji kuasa hidro kedua terbesar di dunia.

Stesen kuasa hidro ini dilengkapi dengan 16 unit penjanaan hidro yang masing-masing mempunyai kapasiti 1 juta kilowatt, menjadikannya kapasiti unit tunggal terbesar di dunia. Semua unit penjanaan hidro stesen janakuasa hidro Baihetan telah beroperasi sepenuhnya pada 20 Disember 2022

1. Empangan Three Gorges - 22,500 MW

empangan three gorges

Empangan Three Gorges di China adalah stesen janakuasa terbesar di dunia. Ia boleh menghasilkan 22,500 Megawatt tenaga, yang paling banyak daripada mana-mana loji kuasa yang terdapat di muka Bumi. Empangan ini merentangi Sungai Yangtze di tengah China, hanya di hilir dari Three Gorges.

Secara purata, loji ini menghasilkan 95 TWj elektrik setahun. Empangan ini telah dibina selama beberapa tahun dan mula dibuka pada tahun 2003 tetapi telah siap dan berfungsi sepenuhnya mengikut kapasiti semasanya pada tahun 2012. Empangan ini terdiri daripada 32 turbin utama dan dua penjana yang lebih kecil.

Empangan ini mencatat rekod pengeluaran tenaga tahunan paling banyak, mencecah sekitar 112 TW sejam pada 2020 selepas musim tengkujuh yang sangat lebat yang membanjiri sungai.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)