Apabila memperkatakan tentang kincir angin (windmill), kita pastinya terbayangkan negara Belanda. Satu ketika dahulu, dikatakan terdapat kira-kira 10,000 kincir angin di Belanda yang digunakan untuk tujuan perindustrian dan pertanian. Kewujudan tenaga berdasarkan diesel dan wap kemudiannya menyebabkan penggunaan kincir air semakin berkurangan.

Kini, terdapat hanya kira-kira 1000 buah kincir angin di seluruh Belanda. Ada sesetengahnya yang masih digunakan dan ada yang hanya dibiarkan berdiri megah sebagai ikon negara Belanda. Pembinaan bangunan tinggi berhampiran kincir angin menghalang laluan angin, menyebabkan kurangnya tenaga yang boleh dijana oleh kincir angin ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kincir angin berperanan untuk menjana tenaga elektrik daripada udara. Apabila angin laju (tenaga kinetik) melalui bilah kincir angin ini, ianya akan berpusing dan mewujudkan gerakan mekanikal. Bilah kipas ini akan menggerakkan gandar yang disambung pada generator, seterusnya menghasilkan tenaga elektrik.

Elektrik yang dihasilkan ini kemudiannya akan dikumpul dan dihantar ke transformer. Transformer ini berfungsi untuk melipatkaligandakan voltan elektrik dan tenaga elektrik ini kemudiannya akan dihantar melalui kabel berkemampuan tinggi. Tenaga yang dihasilkan daripada angin ini dikategorikan sebagai tenaga boleh diperbaharui dan sejenis tenaga mesra alam sekitar kerana penghasilannya tidak mendatangkan sebarang pencemaran.

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada arang batu, diesel dan sumber lain yang mencemarkan alam sekitar, banyak kerajaan kini mula membuat pelaburan besar untuk sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam sekitar seperti tenaga solar dan tenaga angin. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 pusat tenaga angin terbesar dunia yang sudah dibangunkan di seluruh dunia.

1. Pusat Tenaga Angin Gansu, China

pusat tenaga angin gansu

Kapasiti: 7965 MW

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan China telah memperkenalkan polisi-polisi dan membuat pelaburan besar untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Salah satunya adalah pembinaan pusat tenaga angin di Gansu ini. Pusat tenaga angin ini merupakan yang terbesar di dunia berdasarkan kapisiti tenaga elektrik yang mampu dihasilkan iaitu 7965 MW.

Tenaga sebanyak ini mampu dijana daripada 7000 buah kincir angin yang dibangunkan di kawasan ini yang terletak di kawasan padang pasir. Projek ini merupakan 1 daripada 6 projek pusat tenaga angin yang dirancang kerajaan China dan ianya dijangka mampu menjana sehingga 20,000 MW menjelang tahun 2020.

2. Pusat Tenaga Angin Alta, Amerika Syarikat

pusat tenaga angin alta

Kapasiti: 1548 MW

Pusat Tenaga Angin Alta merupakan pusat tenaga angin terbesr di Amerika Syarikat dan terletak di kawasan pergunungan California. Pusat tenaga ini meliputi kawasan seluas 3200 hektar dan mampu menjana sehingga 1548 MW tenaga elektrik dan sudah beroperasi selama lebih 25 tahun.

Menjelang 2040, kawasan ini dijangka dapat menjana sehingga 3000 MW tenaga elektrik. Kawasan kincir angin ini terletak pada kedudukan 3000 hingga 6000 kaki daripada aras laut. Pembinaan ladang kincir angin ini merupakan perancangan Amerika Syarikat untuk menjana 80% sumber tenaga daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050.

3. Pusat Tenaga Angin Muppandal, India

muppandal wind farm

Kapasiti: 1500 MW

Berada di tempat ketiga dalam senarai ini adalah Pusat Tenaga Angin Muppandal yang terletak di Tamil Nadu, India. Di sini, terdapat kira-kira 3000 buah kincir angin dimana keseluruhan pusat tenaga ini mampu menghasilkan 1500 MW sumber tenaga bersih dari angin.

Pembinaan pusat tenaga ini merupakan perancangan kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap sumber arang batu, seterusnya mengurangkan pencemaran alam sekitar. Tenaga elektrik yang dijana disini digunakan untuk menampung keperluan penduduk kampung di sekitar kawasan Tamil Nadu dan kerajaan merancang untuk memperbesarkan lagi kawasan ini sehingga ia mampu menjana 3050 MW tenaga elektrik pada masa hadapan.

4. Pusat Tenaga Angin Jaisalmer, India

jaisalmer wind park

Kapasiti: 1065 MW

Ladang Kincir Angin Jaisalmer merupakan sebuah lagi pusat tenaga angin besar di India yang terletak di kawasan Rajasthan. Kawasan ini mendapat tiupan angin yang kuat daripada Lautan Arab dan mampu menjana tenaga elektrik sehingga 1065 MW.

Pusat tenaga angin ini telah dibangunkan oleh syarikat Suzlon Energy dan mula beroperasi pada bulan Ogos 2001. Pusat tenaga ini masih lagi mengguna turbin lama yang mempunyai kapasiti 350kW dan penambahan turbin baru yang mampu menjana sehingga 2.1MW.

5. Pusat Tenaga Angin Shepherds Flat, Amerika Syarikat

shepherds flat wind farm 608

Kapasiti: 845 MW

Pusat Tenaga Angin Shepherds Flat yang terletak di Oregon, Amerika Syarikat ini merupakan pusat tenaga angin ke 5 terbesar di dunia dengan kapasiti 845 MW. Projek pembinaannya bermula sejak 2002 dimana rancangan asalnya hanya untuk menjana sehingga 105 MW sahaja.

Beberapa tahun kemudian, rancangan tersebut diubah agar pusat tenaga ini mampu menjana lebih banyak tenaga elektrik. Kini, terdapat kira-kira 333 buah kincir angin yang beroperasi dimana keseluruhan kawasan ini mampu menjana sehingga 845 MW. Kawasan ini secara rasminya dibuka pada September 2012.

Kredit:

  1. Interesting Engineering
  2. World Atlas



Hakcipta iluminasi.com (2017)