Selain daripada ansuran bulanan kereta dan kos servis kenderaan, cukai jalan (road tax) adalah antara bayaran yang termasuk dalam kos bagi mereka yang memiliki kenderaan tidak kira sama ada kenderaan ringan seperti motosikal atau kereta.

Namun, kos roadtax yang dibayar adalah berdasarkan kiraan tahunan dan jumlahnya tidaklah begitu memeningkan kepala pemilik kenderaan. Bagi yang tidak tahu, cukai jalan yang dikenakan kepada kenderaan dikira mengikut jenis kenderaan, kapasiti enjin kenderaan dan status pemilikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jenis kenderaan berlainan dikenakan cukai yang berlainan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan seperti kereta salun (hatchback, convertible dan sedan) dan bukan salun seperti SUV, MPV dan sebagainya.

Untuk status pemilikan, terdapat dua kategori iaitu kenderaan yang didaftarkan secara individu dan juga di bawah nama syarikat. Biasanya bayaran cukai jalan bagi kereta yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah lebih mahal berbanding kenderaan individu.

Bagi artikel kali ini kita lebih fokus kepada kenderaan saloon yang berdaftar di bawah nama individu, iaitu yang paling banyak di atas jalan raya pada ketika ini. Jumlah cukai jalan yang dikenakan adalah seperti di bawah:

kadar cukai jalan kereta persendirian

Sebagai contoh, jika anda memiliki kereta salun yang didaftarkan di bawah nama anda yang berkapasiti 4,000 CC, maka cara pengiraan cukai jalan adalah:

Kadar asas 3,001 CC (RM2,130) + pertambahan 999CC (999 x RM4.00) = RM2,130 + RM3,996 = RM6,126

iluminasi.com kongsikan 5 kereta dengan cukai jalan paling tinggi di Malaysia.

5. Ferrari 812 Superfast

ferrari 812 superfast

Sekali pandang, meleleh air liur para peminat kereta sport. Ferrari 812 Superfast merupakan kereta keluaran Ferrari yang paling berkuasa dan terpantas dalam sejarahnya.

Penghasilan model ini yang mempunyai pelbagai ciri inovatif mengingatkan kembali sejarah kegemilangan 70 tahun yang lalu, dicipta oleh Prancing Horse pada tahun 1947.

Dilengkapi dengan enjin 6.5 liter natural-aspirated V12 dan kotak gear 7 kelajuan, Ferrari 812 mampu mencapai 800hp kuada kuda pada 8,500 rpm, dan 718nm pada 7,000 rpm.

Menurut Ferrari, kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh jentera dahsyat ini adalah sekitar 340 kilometer sejam dan hanya memerlukan 2.8 saat sahaja untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam.

Dengan kapasiti enjin 6,496CC, jumlah cukai jalan yang perlu dibayar untuk pemilikan persendirian bagi Ferrari 812 Superfast adalah RM17,880.

Mahal gila? Tak juga, dengan harga jualan mencecah RM1.6 juta, jumlah cukai jalan yang dikenakan hanyalah 1.1% sahaja dari harga kereta dan di celah gigi si pembeli sahaja.

4. Lamborghini Aventador

lamborghini aventador cukai jalan

Dari segi reka bentuk, Lamborghini Aventador kemungkinan adalah yang paling menarik bagi peminat kereta. Lamborghini Aventador mempunyai pelbagai model termasuklah LP700, LP740, LP750 dan SVJ.

Lamborghini Aventador dikuasakan oleh enjin V12 6.5 liter dengan had 8,500 rpm, yang mampu menghambur 740 kuasa kuda pada 8,400 rpm dan 690nm Tork pada 5,500 rpm.

Dari segi prestasi, ia mampu mencecah kelajuan 100 kilometer sejam dalam masa 2.9 saat dengan kelajuan maksimum 350 kilometer sejam.

Ia dijual sekitar RM1.8 juta dan jika anda mampu membelinya, sudah tentu anda juga mampu untuk membayar RM17,880 setiap tahun bagi cukai jalan.

Ingat, ini baru cukai jalan, belum dikira insurans lagi!.

3. Rolls Royce Ghost

rolls royce ghost cukai jalan

Berada di tangga ketiga cukai jalan kereta paling mahal di Malaysia adalah sebuah kereta yang agak jarang boleh dilihat di atas jalan raya di Malaysia. Rolls Royce Ghost

Seperti kereta-kereta mahal lain, Rolls Royce Ghost ini mempunyai enjin yang tersangat besar yang bermakna cukai jalannya pun sangatlah mahal.

Dilengkapi dengan enjin V12 dwi turbo berkapasiti 6,592 CC dan 8 kelajuan, ia mampu menghamburkan 562 kuasa kuda dan 780Nm tork.

Cukai jalan yang dikenakan ke atas kenderaan persendirian Rolls Royce Ghost adalah RM18,330. Dahsyat, kan?

2. Rolls Royce Phantom

rolls royce phantom cukai jalan

Rolls Royce Phantom ini adalah model yang lebih "abang" kepada Rolls Royce Ghost.

Ia merupakan sebuah jentera yang tersangat mewah dan berprestij, biasanya digunakan oleh orang-orang kenamaan seperti kerabat diraja dan sebagainya.

Dalam bahasa mudah, ia bukanlah kereta yang dihasilkan untuk orang-orang biasa.

Rolls Royce Phantom dilengkapi dengan enjin yang sama dengan Ghost, tetapi lebih besar iaitu 6.75 liter yang mampu memberikan kuasa kuda 571 kuasa kuda dengan 900Nm tork.

Dijual dengan harga sekitar RM6,013,200, cukai jalan bagi kereta diraja ini adalah RM19,000 setahun.

1. Bugatti Chiron

cukai jalan kereta paling mahal di malaysia bugatti chiron

Berada di tempat pertama senarai cukai jalan kereta termahal di Malaysia adalah sebuah jentera yang sememangnya sukar untuk dihadam kehebatannya, keluaran syarikat Perancis iaitu Bugatti.

Dengar sahaja nama Bugatti, pastinya kita terbayang kereta milik pemain bola sepak terkemuka dunia iaitu Cristiano Ronaldo iaitu Bugatti Chiron.

Bugatti Chiron merupakan keluaran selepas Veyron dan mereka yang membeli kereta ini sudah tentulah mahukan perhatian yang menggila.

Dilengkapi dengan enjin 8.0 liter quad-turbo W16, kuasa kuda yang boleh dijana adalah tersangat dahsyat iaitu 1,479hp dan 1,600Nm tork!

Bugatti Chiron mampu mencapai kelajuan melebihi 430 kilometer sejam dan memerlukan 2.5 saat sahaja untuk memecut dari keadaan pegun ke kelajuan 100 kilometer sejam.

Dijual dengan harga RM12.5 juta, setiap tahun pemilik kenderaan berenjin 7,993 CC ini perlu membayar RM24,630 sahaja.

Itu jika kereta ini didaftarkan secara persendirian dan jika ia didaftarkan di bawah syarikat yang mana agak jarang berlaku, maka cukai jalan yang perlu dibayar adalah sebanyak RM73,510 setahun.

Rujukan:

1. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

2. Loan Street

3. Mekanika




Hakcipta iluminasi.com (2017)