Oleh pada 05 Nov 2021 kategori

Terdapat banyak ciptaan hebat zaman purba yang dianggap jauh melangkaui zaman. Namun, sebahagian besar rahsia ciptaan ini telah hilang ditelan zaman.

Walaupun menggunakan teknologi canggih abad ke-21, saintis masih gagal merungkai rahsia atau mencipta semula beberapa ciptaan hebat ini.

Hanya beberapa dekad kebelakangan, saintis berjaya menghasilkan ciptaan moden yang mirip tetapi tidak sama seperti ciptaan hebat yang dihasilkan ribuan tahun dahulu. Berikut adalah 6 ciptaan hebat zaman purba yang membingungkan saintis moden.

1. Greek Fire - Senjata kimia misteri

BESARKAN TEKS     A-  A+

Empayar Byzantine pada abad ke-7 hingga ke-12 menggunakan senjata misteri menentang musuh mereka terutamanya dalam peperangan di lautan. Senjata itu dikenali sebagai Greek Fire. Ia dihasilkan oleh Callinicus of Heliapolis dan pertama kali digunakan pada tahun 672 M ketika pemerintahan Maharaja Constantine Pogonatus.

Greek Fire adalah sejenis cecair yang ditembak menggunakan tiub penyedut ke dalam air dan kemudian dibakar. Cecair ini bukan sahaja boleh terapung di atas air tetapi sukar dipadamkan. Ia dikatakan hanya boleh dipadamkan menggunakan cuka, pasir dan air kencing sahaja.

Saintis menyamakan Greek Fire dengan senjata moden seperti Napalm. Saintis yang masih mencari formula Greek Fire juga percaya cara penyimpanan dan pelancaran bahan itu memainkan peranan penting dalam keberkesanannya.

Rahsia formula Greek Fire dijaga dengan begitu rapi dan akhirnya hilang ditelan zaman.

2. Vitrum Flexile - Kaca fleksibel Rom

kaca fleksibel rom

Hanya terdapat tiga catitan ditemui mengenai bahan yang digelar vitrum flexile atau kaca fleksibel ini. Antara yang menulis kisah kaca unik ialah Petronius (26-66M) dan Pliny the Elder (22-79M).

Dikisahkan bahawa seorang pencipta tidak dikenali telah membawa sebuah mangkuk minuman yang diperbuat daripada bahan vitrum flexile untuk dipersembahkan kepada Maharaja Rom yang kedua iaitu Tiberius Caesar.

Pencipta itu kemudian membaling mangkuk kaca itu ke lantai. Mangkuk kaca itu tidak pecah seperti kaca biasa tetapi hanya kemik seperti besi yang diketuk. Pencipta itu kemudian mengetuk untuk membetulkannya semula.

Melihat keadaan itu, Maharaja Tiberius Caesar menjadi khuatir bahan vitrum flexile yang sangat berharga itu akan menjatuhkan nilai emas, perak dan gangsa. Dia mengarahkan agar pencipta itu dibunuh agar rahsia kaca fleksibel itu terkubur bersamanya.

Pada tahun 2012, satu syarikat pengeluar kaca bernama Corning telah memperkenalkan "Kaca Tingkap Fleksibel" yang tahan panas dan boleh dilentur. Jika ciptaan ini sama seperti vitrum flexile, maka pencipta Rom itu mencipta sesuatu yang ribuan tahun lebih maju dari zamannya.

3. Mithridatium - Penawar segala racun

mithridatium

Bahan yang didakwa sebagai penawar kepada semua jenis racun ini mula dibangunkan oleh Raja Mithridates VI of Pontus yang memerintah dari 120-63 SM dan disempurnakan oleh ahli perubatan peribadi Maharaja Nero (memerintah dari 54-68 Masihi).

Penawar ini digunakan secara meluas di Itali dan Perancis ribuan tahun dahulu. Walaupun formula aslinya telah hilang, sejarawan berpendapat antara bahan-bahannya adalah seperti candu, potongan ular, bisanya dan juga penawarnya.

Seorang pakar senjata kimia Kesatuan Soviet bernama Serguei Popov yang melarikan diri ke Amerika Syarikat pada tahun 1992 mengaku pernah membuat percubaan menghasilkan semula penawar ini di bawah program Bropreparat.

Penawar seakan-akan Mithridatium yang dikenali sebagai "Theriac" juga digunakan secara meluas di Eropah sehinggalah 200 tahun yang lalu. Sehingga kini, saintis masih gagal menghasilkan penawar yang dikatakan mempunyai sehingga 65 ramuan ini.

4. Archimedes Death Ray - Senjata haba panas

archimedes death ray

Seorang ahli matematik Yunani bernama Archimedes (287-212 SM) telah mencipta senjata haba yang digunakan untuk membakar kapal-kapal musuh. Senjata ini dikenali sebagai Archimedes Death Ray atau Heat Ray. 

Senjata ini pernah cuba dibangunkan semula dalam rancangan "Mythbusters" pada tahun 2004 menggunakan perisai gangsa yang digilap supaya dapat memantulkan haba matahari ke arah kapal musuh.

Walaupun Mythbusters gagal melakukannya, sekumpulan pelajar MIT mendakwa mereka berjaya melakukannya pada 2005. Mereka berjaya membakar sebuah bot di pelabuhan San Francisco menggunakan kaedah yang hampir serupa dengan Mythbusters.

Namun, formula sebenar senjata yang dihasilkan Archimedes masih lagi tidak dapat dirungkai oleh saintis. Pada tahun 2001, Amerika Syarikat mengumumkan sedang membangunkan senjata haba sekuat 54 darjah selsius yang mampu menembusi kulit manusia dan mencipta rasa seperti sedang terbakar.

5. Besi Damascus - Bahan rahsia senjata purba

besi damascus 898

Pada zaman purba, kebanyakan pedang diperbuat daripada Besi Damascus yang dihasilkan di Timur Tengah. Walau bagaimanapun, Besi Damascus ini dihasilkan menggunakan bahan yang dikenali sebagai besi Wootz yang terdapat di Asia.

Besi Damascus ini dianggap sebagai besi paling kuat pada waktu itu sehinggalah teknologi moden 100 tahun lalu menemui cara untuk menghasilkan besi yang lebih kuat.

Besi Damascus ini mula digunakan sejak tahun 300 SM dan formula menghasilkannya dipecayai hilang pada pertengahan kurun ke-18. Hanya baru-baru ini sahaja, saintis percaya mereka menemui semula formula itu.

Dengan menggunakan pemgimbas mikroskop elektron di makmal moden, Besi Damascus dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi nano di mana beberapa bahan ditambah ketika penghasilan keluli untuk mencipta tindak balas kimia pada tahap kuantum.

Saintis masih bingung bagaimana manusia ribuan tahun dahulu mempunyai pengetahuan untuk menghasilkan senjata paling tajam yang diperbuat daripada Besi Damascus ini. Tiada siapa yang berjaya menghasilkan semula besi ini mengikut formula aslinya.

6. Konkrit Rom - Tahan selama ribuan tahun

konkrit rom

Binaan purba oleh tamadun Rom yang masih boleh dilihat pada hari ini menjadi bukti betapa kuat dan berkualiti konkrit yang mereka gunakan. Rata-rata konkrit moden hanya mempunyai jangka hayat selama 50 tahun.

Seorang jurutera Rom bernama Marcus Vitruvius (80-15 SM) pernah menulis formula untuk menghasilkan konkrit yang tahan selama ribuan tahun ini. Konkrit Rom mengandungi batu kapur, batu dan abu gunung berapi yang direndamkan di dalam air laut.

Konkrit moden pasti akan lebih cepat rosak jika direndamkan dalam air laut. Saintis mendapati bahawa air laut memberi reaksi terhadap abu gunung berapi dan membentuk Al-tobermorite serta mineral berliang yang dipanggil phillipsite.

Walaupun Al-tobermorite boleh dihasilkan di makmal tetapi ia sukar dicampurkan pada konkrit. Masyarakat Rom merendam konkrit mereka selama 10 tahun supaya "pengikat" semula jadi ini dapat terbentuk. Saintis moden masih lagi berusaha menghasilkan konkrit versi Rom.




Hakcipta iluminasi.com (2017)