Oleh pada 09 Jan 2024 kategori

Mungkin belum terlambat untuk kami di Iluminasi mengucapkan selamat tahun baru kepada anda! Sudah masuk 2024, sekejap saja rasanya masa.

Kita semua tahu setiap awal tahun, masyarakat di seluruh dunia termasuklah kita akan meraikan perayaan tahun baru berdasarkan kepada kalendar Gregorian. Waktu ini ramailah yang akan muncul dengan pelbagai jenis azam tahun baru dan kaedah sambutan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita mungkin dah biasa berkumpul beramai-ramai melihat tembakan bunga api. Di negara lain, ada juga yang mengamalkan tradisi berbeza. Berikut adalah lima kaedah pelik menyambut tahun baru yang diamalkan di serata dunia.

1. Tradisi orang Ireland mengetuk pintu dengan roti

tradisi ireland tahun baru

Tradisi mengetuk roti pada pintu dan dinding rumah setiap kali tiba malam tahun baru di Ireland, dipercayai oleh masyarakat mereka sebagai salah satu cara untuk mengusir nasib buruk dan roh jahat.

Amalan ini juga dilihat cara untuk memastikan bekalan roti tersedia sepanjang tahun yang datang.

Tradisi mengetuk pintu dengan roti ini merupakan sebahagian daripada warisan budaya rakyat Ireland, yang bukan saja dibuat bagi menghindari nasib malang tetapi turut menjadi simbol harapan untuk tahun baru yang sejahtera.

Harus kami perjelaskan, roti yang diguna tidaklah diketuk terlalu kuat pada dinding sehingga menjadikannya tidak lagi sesuai untuk dimakan. Tradisi ini mendidik mereka sikap praktikal dalam meraikan tradisi tersebut, khususnya era zaman kemiskinan yang pernah mereka lalui.

2. Membakar patung gergasi

bakar patung amerika latin

Bagi masyarakat di beberapa negara Amerika Latin, setiap kali tibanya perayaan tahun baru, mereka akan mula sibuk menyiapkan patung-patung yang dibentuk mengikut watak popular atau tokoh/selebriti terkenal yang dipamerkan di luar rumah....

Sebelum patung-patung itu dibakar.

Patung-patung ini yang dikenali sebagai ano viejo, diperbuat daripada bahan-bahan terbuang atau terpakai yang lagi diperlukan seperti kertas, fabrik, kayu dan sebagainya.

Ritual tradisi ini berasal daripada budaya masyarakat mereka yang menjadikan pembakaran peralatan atau pakaian lama, sebagai salah satu cara membantu mengawal penyebaran wabak penyakit.

Kini ritual pembakaran ini dilihat mampu menjadi proses yang merapatkan hubungan keluarga, bila mana setiap ahli keluarga akan bekerjasama membina patung-patung untuk disiapkan. Mereka juga dapat mengemas rumah dengan membakar barangan yang tidak terpakai.

Setengah jam sebelum tahun baru, setiap ahli keluarga akan menulis harapan mereka pada cebisan kertas yang akan diselitkan ke dalam ano viejo yang bakal dibakar, menandakan harapan baru mereka untuk tahun tersebut - kerana mereka melihat pembakaran bukanlah satu proses pemusnahan, sebaliknya satu proses pembaharuan.

3. Berlari sekeliling kediaman dengan bagasi kosong

kaedah tahun baru aneh

Bagi masyarakat Colombia yang merancang untuk melancong ke serata dunia, mereka mempunyai kaedah tradisi unik yang dinamakan sebagai La Maleta atau 'Bagasi' setiap kali tibanya malam tahun baru.

Mereka yang menyimpan impian sedemikian, harus mempersiapkan sebuah bagasi yang akan diisi dengan beberapa helai pakaian dan juga dokumen passport mereka di dalamnya.

Beberapa minit sebelum tiba tahun baru biasanya 5 minit sebelum, kumpulan individu ini akan memulakan larian dan harus menamatkan satu pusingan penuh di sekeliling kawasan kediaman mereka sebelum tahun bertukar.

Masyarakat Colombia percaya amalan ini akan memberikan mereka nasib baik, membuka banyak peluang untuk mereka berjalan ke serata dunia.

4. Meraikan tetamu yang sudah meninggal dunia

bagaimana negara lain sambut tahun baru

Kembali ke Ireland. Tahukah anda di Ireland, setiap kali tiba tahun baru selain mengetuk pintu dengan roti, mereka juga akan mempersiapkan meja makan untuk diduduki ahli keluarga yang telah meninggal dunia?

Tradisi menyediakan tempat untuk individu yang telah meninggal dunia ini kekal diamalkan di Ireland sebagai satu cara agar ahli keluarga yang masih hidup, kekal mengingati serta menghormati pengorbanan dan memori mana-mana ahli keluarga yang telah pergi.

Kaedah menyiapkan tempat di meja makan ini berbeza-beza. Ada keluarga yang hanya menyediakan tempat untuk si mati yang meninggal tahun sebelumnya. Ada juga yang menyediakan tempat setiap tahun tanpa lupa.

Bagi memudahkan roh si mati masuk ke rumah menyertai majlis makan, pintu utama kediaman keluarga tidak akan dikunci sebaliknya dibiarkan terbuka menjemput si mati masuk dan menjamah apa yang disediakan ahli keluarga.

5. Festival syaitan di Jepun

sambutan tahun baru jepun

Tahun baru dan azam tahun baru sangat sinonim. Tetapi ramai orang akhirnya malas hendak memenuhi azam yang telah mereka tetapkan setiap tahun. Dari pendapat inilah, bermulanya sebuah festival di Jepun yang dinamakan sebagai Namahage Sedo atau festival hantu/syaitan.

Individu yang ditugaskan untuk memainkan watak hantu, akan memakai kostum berupa syaitan menurut kepercayaan masyarakat mereka. Hantu-hantu ini akan hadir dari rumah ke rumah, untuk menakutkan penghuni rumah - supaya individu di dalamnya berkelakuan baik, kalau tidak lagi mahu diganggu.

Hanya dengan memberikan hadiah berupa kuih dan berjanji akan bekerja, berusaha, belajar dan berperangai baik; barulah hantu-hantu tadi akan beredar.

Kini mula diraikan pada tahun baru mengikut kalendar Gregorian selain sambutan tahun baru kalendar masyarakat mereka yang dinamakan Koshogatsu, sekitar pertengahan Februari, sambutan ini bukan saja pelik, malah menakutkan untuk diraikan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)