Setiap hari kita melakukan pelbagai perkara seperti bangun tidur, berpakaian, makan, bekerja dan banyak lagi aktiviti lain. Masyarakat yang hidup pada zaman dahulu juga mempunyai aktiviti mereka tersendiri. Ia mungkin sama atau berbeza berbanding apa yang kita lakukan sekarang.

Pakar sejarah cuba mengkaji bagaimana aktiviti kehidupan masyarakat zaman dahulu. Dengan pelbagai penemuan barangan harian yang masyarakat dahulu gunakan, sedikit sebanyak kita tahu bagaimana mereka menjalani kehidupan. Berikut adalah beberapa barangan harian masyarakat purba yang paling tua pernah ditemui.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Pakaian dan kain tenunan

baju tarkhan

Gaun Tarkhan adalah pakaian dan kain tenunan tertua di dunia. Ia telah ditemui pada tahun 1912 oleh seorang ahli arkeologi Mesir yang terkenal iaitu William Flinders Petrie. Petrie menemui bungkusan pakaian itu di dalam salah satu makam di Tarkhan, 50km daripada selatan Kaherah.

Bungkusan pakaian itu tidak dikenali sehinggalah ia dibersihkan dan dihantar ke Muzium Victoria dan Albert di London untuk pemuliharaan pada tahun 1977. Salah satu daripada hasil tenunan itu ialah kemeja leher V yang masih terpelihara dengan baik. 

Pada tahun 2016, satu ujian radiokarbon mendapati pakaian itu mungkin dihasilkan pada tahun 3482-3102 SM iaitu ketika Dinasti Mesir yang pertama. Hari ini, pakaian itu merupakan salah satu koleksi pakaian yang dipamerkan di Muzium Arkeologi Mesir di London.

2. Keju

keju ptahmes

Baru-baru ini apabila ahli arkeologi menjelajah Makam Ptahmes iaitu pembesar bandar Memphis pada zaman Mesir purba, mereka telah menemui beberapa balang yang pecah. Salah satu daripada balang itu mengandungi jisim putih yang padat, serta kain kanvas yang menutupi balang itu supaya kandungannya terpelihara.

Selepas melarutkan sampel jisim itu, penyelidik telah membersihkan protein dan menganalisa bahan itu menggunakan kromatografi cair. Hasilnya, sampel daripada jisim putih itu menunjukkan bahawa ia adalah produk tenusu yang diperbuat daripada susu lembu dan biri-biri.

Kain yang menutupi balang itu telah menyokong lagi teori bahawa balang itu digunakan untuk membuat keju yang padat sekitar 3200 tahun yang lalu.

3. Permaidani

permaidani pazyryk

Permaidani Pazyryk adalah permaidani yang paling lama diketahui kewujudannya. Permaidani yang dalam keadaan hampir sempurna itu ditemui di dalam makam diraja di Lembah Pazyryk di Siberia, Rusia. Berdasarkan ujian radiokarbon yang dijalankan, ahli arkeologi berpendapat permaidani itu dihasilkan antara abad ke-5 atau ke-4 SM.

Permaidani itu ditenun menggunakan teknik yang dikenali sebagai "simpul dua simetris atau simpulan Turki" dan mengandungi lebih daripada 1 juta tenunan. Para penyelidik masih lagi belum dapat menentukan dari mana permaidani itu berasal.

Sebahagian para penyelidik berpendapat permaidani itu berasal daripada Parsi, sementara sebahagian yang lain mencadangkan ia berasal dari Asia Tengah. 

4. Gelang tangan

gelang danisova

Gelang tangan tertua di dunia ini diperbuat daripada batu hijau yang digilap. Gelang yang dianggarkan berusia 40,000 tahun ini ditemui di rantau Altai di Siberia pada tahun 2008.

Saintis percaya ia dihasilkan oleh orang-orang Denisova, membuktikan mereka adalah lebih maju daripada apa yang disangkakan. Teknologi penghasilan gelang ini dapat dilihat dengan lebih kerap pada zaman selepas mereka iaitu zaman Neolitik.

Gelang yang diperbuat daripada klorit ini ditemui di dalam Gua Denisova yang terkenal dan dipercayai kepunyaan seseorang yang mempunyai pangkat dalam masyarakat ketika itu.

5. Buku bercetak

the diamond sutra 31

Salah satu salinan tulisan Buddha Mahayana yang dipanggil The Diamond Sutra adalah contoh lengkap buku bercetak terawal di dunia pernah direkodkan. Dokumen yang dianggarkan bertarikh 868 Masihi ini ditemui di Gua Mogao di Dunhuang, China pada awal abad ke-20 oleh seorang sami Taoisme.

Catitan The Diamond Sutra merupakan satu teks ringkas yang terjemahan bahasa Inggerisnya dianggarkan mengandungi kira-kira 6000 patah perkataan. Walau bagaimanapun, mesej yang terkandung di dalamnya amat mendalam dan terbuka kepada pelbagai tafsiran.

Salah satu tafsiran paling asas dalam The Diamond Sutrai ialah nasihat Buddha kepada pengikutnya untuk "melihat melalui ilusi realiti yang mengelilingi mereka" agar mengenali apa yang benar dan palsu.

6. Aduan pengguna

aduan pengguna babylon

Satu batu bersurat daripada zaman Babylon kuno telah ditemui oleh ahli arkeologi yang bertarikh sekitar tahun 1750 SM. Dalam batu bersurat itu, terkandung aduan seorang saudagar tembaga yang marah bernama Nanni.

Nanni telah menulis aduan mengenai ketidak puasan hatinya dalam berurus niaga dengan seorang lagi saudagar bernama Ea-nasir. Nanni mendakwa bahawa Ea-nasir telah menjalankan perjanjian yang berat sebelah. Batu bersurat ini merupakan aduan pengguna paling tua pernah ditemui dan kini ia dipamerkan di Muzium British.

7. Kasut

kasut purba armenia

Hampir semua bahan organik seperti kulit haiwan yang digunakan oleh orang-orang Paleolitik atau Neolitik telah hilang. Namun, dalam persekitaran yang betul, bahan-bahan ini boleh bertahan selama ribuan tahun. Salah satu contoh ialah kasut kulit yang dipakai oleh masyarakat purba.

Kasut kulit itu ditemui di sebuah gua di Armenia dan dianggarkan berusia sekitar 5,500 tahun setelah dilakukan ujian radiokarbon. Kasut kecil yang ditemui itu dipercayai milik kepada seorang wanita mengikut piawaian Eropah dan Amerika moden.

Kasut prasejarah itu terpelihara oleh keadaan sejuk serta kering di dalam gua itu dan lapisan kambing biri-biri yang menutupinya. Beberapa barangan lain seperti bekas gandum, barli dan aprikot juga ditemui bersama-sama dengan kasut itu. Tidak dapat dipastikan mengapakah barangan ini disimpan di dalam gua itu.

8. Seluar panjang

seluar purba

Pada tahun 2014, satu pasukan ahli arkeologi telah menggali sebuah makam di barat China dan menemui dua mayat pendaki nomad dan sepasang seluar panjang dengan tenunan bercorak. Seluar yang dianggarkan berusia 3000 tahun itu merupakan seluar paling tua pernah ditemui.

Penemuan ini telah memberi sokongan kepada teori bahawa manusia purba sudah beralih daripada memakai kain kepada seluar panjang yang dilihat praktikal untuk menunggang kuda pada masa itu.

Seluar purba ini diperbuat daripada bulu, mempunyai kaki yang lurus dan kelangkang yang lebar. Seluar itu dijahit bersama-sama tiga helai kain bulu berwarna coklat. Seluar ini juga mempunyai tali untuk diikat pada pinggang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)