Oleh pada 03 Aug 2019 kategori

Kanak-kanak era 90-an pasti mengingati salah satu siri kartun paling popular pernah ditayangkan ketika itu, iaitu 'Teenage Mutant Ninja Turtles.' Bermula daripada sebuah komik hitam putih yang hanya sesuai untuk orang dewasa, 'Ninja Turtles' atau TMNT akhirnya disesuaikan untuk tontonan kanak-kanak, kekal ditayangkan sehingga ke hari ini.

Pendedahan kepada kartun animasi ini pada penulis, merupakan pengalaman pertama penulis mendengar istilah 'mutan' dan 'mutasi' yang sebelum itu jarang sekali kedengaran, kecuali bagi mereka yang mengikuti komik X-Men. Selain daripada memperkenalkan konsep mutasi, TMNT juga memperkenalkan sesuatu yang sangat aneh dalam pemilihan nama wataknya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Keempat-empat watak dalam siri ini diberi nama Leonardo, Donatello, Raphael dan Michaelangelo yang diambil daripada nama-nama tokoh terkenal dalam tamadun manusia. Tetapi siapakah tokoh disebalik nama-namaini sebenarnya?

1. Leonardo

ninja turtle leonardo

Dalam zaman informasi sebegini pun, masih ada orang yang mampu keliru di antara Leonardo da Vinci dan Leonardo Di Caprio. Jangan silap pula ya, nama Leonardo dalam TMNT diambil daripada nama tokoh terkenal Leonardo da Vinci, salah seorang tokoh zaman Reinassance di Itali. Seorang yang berkebolehan tinggi dalam pelbagai bidang, nama beliau dikenali kerana kemahiran lukisannya serta kemampuan beliau dalam bidang kejuruteraan.

Rasanya tak perlu lagi penulis perkenalkan karya paling terkenal beliau iaitu lukisan Mona Lisa yang kerap kali dirujuk sebagai antara lukisan paling bernilai dalam dunia. Apa yang menarik tentang Leonardo da Vinci, dia tidak pernah belajar apa yang dia pelajari secara formal - semuanya dipelajari berdasarkan kepada kefahaman sendiri.

Lahir pada tahun 1452, tokoh ini meninggalkan kita dengan bermacam karya unik, dengan salah satu lakarannya iaitu 'The Vitruvian Man' dijadikan sebagai rujukan utama teknik melukis manusia mengikut skala yang sempurna.

2. Michaelangelo

ninja turtle micheal angelo

Michelangelo di Lodovico Buonarroti Simoni atau lebih dikenali sebagai Michaelangelo merupakan seorang karyawan terkenal di Florence sekitar abad ke 16. Lebih terkenal sebagai seorang pengukir yang tidak tolok bandingnya, seluruh hidupnya diabadikan dalam proses penciptaan karya-karya berskala besar yang masih kekal dilindungi sehingga kini.

Bakatnya mula berkembang selepas kematian ibunya, memaksa Michaelangelo tinggal dengan penjaganya pada usia 6 tahun. Suami kepada penjaganya itu adalah seorang pemotong batu marmar, jadi dia mula belajar teknik untuk memotong seterusnya mengukir batu daripada ayah angkatnya itu. Dikenali di sekolah sebagai seorang yang malas belajar, Michaelangelo memulakan karier sebagai seorang pengukir pada usia 14 tahun.

Gemar memasukkan unsur-unsur agama ke dalam karya, Michaelangelo meninggal dunia pada usia lanjut 88 tahun, mewariskan pada masyarakat dunia banyak karya beliau seperti ukiran tugu David dan Piera, siling di Sistine Chapel serta bangunan St. Peter's Basilica yang terletak di Bandar Vatican.

3. Raphael

ninja turtle raphael 359

Digelarkan sebagai salah seorang daripada 3 pakar semasa era Reinassance, Raphael Sanzio da Urbino lahir pada tahun 1483. Usia beliau tidak panjang, selepas Raphael meninggal dunia pada tahun 1520 pada usia 37 tahun. Bagaimanapun, hayatnya yang pendek itu diabadikan dengan pelbagai tinggalan pada dunia.

Raphael mewarisi bakat ayahnya yang juga seorang pelukis, beliau kehilangan kedua ibu bapanya pada usia 11 tahun sebelum menjadikan lukisan tempat dia mencurahkan perasaan. Mewarisi studio lukisan ayahnya, Raphael pada awalnya mengasah bakat dengan melukis dirinya sendiri sebelum lukisannya membawa dia mengenali lebih ramai pelukis lain, yang mahu menjadikan dia anak murid.

Nasibnya bertambah baik selepas berpindah ke Rom apabila diminta menghiaskan dinding-dinding di Istana Vatican dengan lukisannya. Hasil karyanya dikatakan banyak dipengaruhi oleh Michaelangelo, walaupun Michaelangelo sendiri kurang senang dengan beliau.

4. Donatello

ninja turtle donatello

Berbeza dengan tiga nama di atas, nama Donatello agak kurang terkenal serta jarang diperkatakan. Donato di Niccolò di Betto Bardi merupakan nama sebenarnya tetapi dia lebih dikenali dengan nama Donatello. Beliau memulakan kariernya dalam bidang seni dengan menjadi salah seorang penukir barangan kemas di studio milik seorang ahli perniagaan.

Hasil daripada latihannya, dia mula mengambil kerja-kerja ukiran dengan membantu beberapa orang pengukir lebih senior sebelum mula memberanikan diri mengambil projek-projek sendirian.

Salah satu ukiran marmarnya paling awal adalah ukiran tugu David berdasarkan kepada kisah-kisah dalam kitab Bible, yang menjadi karyanya yang paling terkenal selain yang paling banyak menimbulkan kontroversi, kerana mesej tersembunyi yang diukir ke dalam rekaannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)