batman sedang bersedih menghadapi tuduhan

Kita tahu ketika ini industri hiburan Hollywood sedang dilanda pendedahan demi pendedahan oleh individu-individu terutamanya wanita, yang satu per satu mula berani mendedahkan kisah mereka menghadapi gangguan berbentuk seksual.

Pendedahan yang berlaku sebelum ini berlaku sedikit demi sedikit, kini mula menjadi semakin kerap selepas terdedah kisah berkenaan produser besar Harvey Weinstein, yang dituduh gemar mengambil kesempatan ke atas wanita berikutan pengaruhnya sebagai orang besar Hollywood.

Berikutan daripada kes tersebut, kini beberapa orang aktor Hollywood juga sedang dilanda tuduhan serupa berikutan dakwaan beberapa individu wanita yang mula berani memunculkan diri. Berikut adalah 5 individu Hollywood antara yang paling terkenal dan kini sedang menghadapi tuduhan salah laku seksual.

1. Louis C.K

louis ck hadapi masalah onan kronik

Pemenang anugerah Emmy serta pelawak terkenal, Louis C.K menghadapi 5 tuduhan salah laku seksual, semuanya berkisar kepada isu Louis yang nampaknya menghadapi masalah ketagihan onani yang serius. Modus operandi Louis menurut kisah wanita yang menuduhnya adalah dengan mengajak wanita itu ke biliknya lalu melakukan masturbasi di depan wanita tersebut.

Louis mengakui kelima-lima dakwaan terhadapnya benar berlaku dan meminta maaf, namun dia harus menerima kariernya di Hollywood sudah berakhir. Louis digugurkan daripada kebanyakan rancangan yang telah dipersetujui, ejennya menggugurkan Louis menjadi pelanggan dan kebanyakan rancangan beliau di saluran HBO akan ditarik balik penyiarannya. Ironinya, dalam salah satu rancangan komedi beliau, Louis pernah berlawak berkenaan onani pada salah seorang tetamu wanita yang dijemput.

2. Steven Seagal

steven seagal masalah seksual

Sekurang-kurangnya tiga orang wanita telah tampil ke depan menceritakan masalah seksual yang mereka hadapi ketika bekerja dengan pelakon aksi terkenal Steven Seagal. Pelakon Rae Dawn Chong menceritakan berkenaan Seagal yang pernah menayangkan kemaluannya pada beliau ketika tahun 1989. Portia De Rossi juga menceritakan kisah yang hampir serupa selepas Seagal membuka zip seluarnya ketika duduk berbincang berkenaan watak.

Pelakon Jenny Mccarthy juga pernah menjalani uji bakat untuk filem Under Siege 2 bersama Seagal, mendapati Seagal memintanya membuka pakaian semasa sesi tersebut yang membuatkan dia berlari meninggalkan sesi. Seagal mengugutnya untuk tidak menceritakan kejadian itu pada sesiapa. Selain itu beberapa kisah lain berkaitan pelakon Katherine Heigl serta beberapa orang eksekutif lain mula didedahkan satu per satu.

Untuk seorang aktor yang kerap kali memainkan watak penentang kejahatan, pendedahan kes-kes ini memberikan perspektif baru komuniti Hollywood terhadap Seagal. Sehingga kini Seagal menafikan semua tuduhan.

3. Kevin Spacey

kevin spacey isu seks kanak kanak lelaki

Antara aktor paling berprofil tinggi di Hollywood selepas kerap kali membintangi filem yang diangkat menjadi ikon, Kevin Spacey akhirnya didedahkan sebagai pemangsa kepada kanak-kanak. Jika itu belum cukup - dia lebih gemar jantina sejenis.

Pelakon teater bernama Anthony Rapp memberitahu Spacey pernah memanjatnya pada ketika Rapp berusia 14 tahun semasa menghadiri sebuah parti di kediaman Spacey. Pelakon Mexico, Roberto Cavazos menceritakan bagaimana Spacey gemar menyentuh dia pada tempat-tempat tidak sepatutnya semasa satu persembahan teater.

Seramai 8 orang pekerja yang pernah bekerja dengan Spacey di set pengambaran siri legenda House of Cards, menceritakan berkenaan perangai Spacey yang pelik. Beberapa orang daripada mereka mengaku pernah mengalami gangguan seksual ketika bersendirian dengan Spacey. Bergantung kepada tuduhan, Spacey ada mengakui dan ada menafikan tuduhan-tuduhan terhadap dirinya, namun selepas Spacey mengaku tuduhan Anthony Rapp benar, sukar untuk Spacey kembali berlakon.

Musim terbaru siri House of Cards akan diteruskan tanpa Kevin Spacey, menurut jurucakap Netflix.

4. Ben Affleck

ben affleck matt damon dan harvey weinstein

Selepas terbongkarnya kisah berkenaan skandal seks Harvey Weinstein, Ben Affleck yang banyak terhutang budi dengan Weinstein atas kariernya, menyuarakan pendapat mengecam tindakan Harvey Weinstein.

Bagaimanapun, bagi mereka yang pernah bekerjasama dengan Ben Affleck seperti pelakon Rose Mcgowan, tindakan Affleck menyembunyikan kisah-kisah yang telah berlaku dalam skandal Weinstein menjadikan Affleck seorang hipokrit besar; kerana Mcgowan tahu Affleck mengetahui apa yang berlaku selama ini.

Tidak lama selepas itu, kisah Affleck meraba seorang remaja bernama Hillarie Burton pada awal tahun 2003 mula terdedah. Hillarie mengesahkan kejadian itu melalui rakaman video yang tersimpan selama ini. Ben Affleck mengakui kejadian tersebut berlaku dan memohon maaf kepada Burton yang kini berusia 35 tahun.

Seorang jurumekap bernama Annamarie Tendler mendakwa pada tahun 2014 yang Affleck telah memegang punggungnya semasa sebuah parti. Sehingga kini kes ini masih belum mendapat maklum balas daripada pihak Ben Affleck.

Ini semua tidak dibantu dengan tuduhan-tuduhan yang dihadapi oleh adik Ben sendiri, Casey Affleck apabila pelakon filem itu pernah menghadapi dua tuduhan salah laku seksual serta beberapa tuduhan bersekedudukan dengan wanita lain, semasa masih berkahwin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)