Sehingga kini misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 masih menjadi tanda tanya.
Walaupun usaha menyelamat dilakukan pada skala besar melibatkan beberapa negara di seluruh dunia namun jawapan kepada semua persoalan menemui jalan buntu.
Tragedi ini mendapat liputan yang sangat luas sehinggakan di peringkat antarabangsa.
Namun begitu, sebelum berlakunya insiden ini, terdapat satu lagi kejadian menyayat hati yang melibatkan Malaysia Airlines, dikenali sebagai tragedi Tanjung Kupang 1977.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun sudah berlalu 41 tahun, namun kejadian yang berlaku pada tahun 1977 ini masih segar dalam ingatan.
Apa yang berlaku adalah pesawat MH653 yang ketika itu dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur telah dirampas.
Pesawat Boeing 737-200 itu kemudiannya telah terhempas di Tanjung Kupang, Johor di kawasan berpaya bakau pada kira-kira jam 8.15 malam yang telah membunuh kesemua penumpang dan anak kapal berjumlah 100 orang.
Tragedi ini merupakan yang terburuk dalam sejarah syarikat penerbangan ini sebelum berlakunya tragedi kehilangan MH370.
Tragedi rampasan MH653
Menurut laporan, juruterbang yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tersebut telah memberikan amaran kepada menara kawalan Lapangan Terbang Subang 20 minit sebelum tragedi itu berlaku.
Mesej yang disampaikan ke menara kawalan memberitahu bahawa pesawat tersebut telah dirampas oleh kumpulan Tentera Merah Jepun (Japanese Red Army) yang memiliki bahan letupan bersama mereka.
Pendaratan yang dijadualkan di lapangan tersebut terpaksa dibatalkan dan pesawat tersebut menuju ke Singapura. Berikut adalah butiran terperinci mengenai tragedi ini:
7.21 PM - Pesawat MH653 berlepas dari Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur dengan 93 penumpang dan 7 krew kapal
7.46 PM - Pesawat berada di ruang udara Batu Arang di ketinggian 4,000 kaki
7.47 PM - Juruterbang menghubungi Menara Kawalan dan memberitahu "653 going around", dan mesej itu dibalas oleh Menara Kawalan dengan "653 is cleared to land, surface wind calm".
Ketika ini terdapat pesawat lain yang menunggu pelepasan untuk mendarat di lapangan terbang yang sama selepas MH653. Juruterbang pesawat tersebut bertanya "What's your problem?" yang mana dijawab juruterbang MH653, "We have emergency on board,".
Pesawat kedua meminta Menara Kawalan memeriksa dengan lebih lanjut. Krew MH653 kemudian memberitahu "We have a hijacker on board".
7.49 PM - MH653 memberitahu "Maintaining 3000 coming over Kuala Lumpur (beacon) in 2 minutes, hijacker on board" dan dibalas Menara Kawalan, "Cleared to land on Runway 33 with no delay".
MH653 kemudian membalas, "We are now proceeding to Singapore" dan bertanya "Understand message received?". Menara Kawalan membalas, "Message received, understood".
8.05 PM - Mengikut prosedur biasa, Pusat Kawalan Kawasan di Kuala Lumpur memberitahu Pusat Kawalan Kawasan Singapura tentang perkara ini dan meminta agar membenarkan MH653 terbang di ketinggian 21,000 kaki.
8.08 PM - Pusat Kawalan Singapura memberikan pelepasan pada ketinggian 11,000 kaki dan seminit kemudian MH653 melaporkan bahawa ia mula menurun.
8.12 PM - Pelepasan seterusnya diberikan oleh Pusat Kawalan Singapura untuk pesawat menurun ke ketinggian 7,000 kaki.
Pusat Kawalan kemudian menghantar mesej seterusnya namun tidak diterima kemungkinan disebabkan terputus hubungan menyebabkan prosedur kecemasan dimulakan oleh kedua-dua Pusat Kawalan Kuala Lumpur dan Singapura.
8.30 PM - Menurut laporan polis, MH653 sedang menuju ke Tanjong Kupang di Mukim Gelang Patah, Johor ketika ini. Saksi di darat termasuklah Konstabel Polis yang kemudiannya melaporkan nahas itu dengan segera di balai polis berdekatan.
Menurut saksi berkenaan, pesawat MH653 meletup di udara, semua lampu terpadam dan beberapa saat kemudian ia terbabas lalu menjunam ke tanah diikuti dengan letupan kedua.
Pihak polis di Johor kira-kira 56 kilometer daripada lokasi nahas dengan segera melancarkan operasi menyelamat terdiri daripada ambulans, kereta bomba dan kenderaan penyelamat lain termasuk sepasukan polis, perubatan dan kakitangan lain.
Mereka tiba di tempat kejadian selepas jam 10 malam.
Mangsa nahas
Antara mangsa-mangsa yang diketahui butiran termasuklah:
Krew
- G. K Ganjoor - Juruterbang
- Kamarulzaman Jalil - Pembantu Juruterbang
- Karim Tahir dan Onn Jaafar - Pramugara
- Sharifah Sidah Syed Mohamad dan Azian Borhanuddin - Pramugari
Penumpang
- Datuk Sri Haji Ali bin Haji Ahmad - Menteri Pertanian
- Tan Sri Mahfuz Khalid - Ketua Pengarah Jabawan Kerja Raya
- Datuk Haji Khalid Mohamad - Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera
- Abu Bakar Othman Merican - Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan
- Hood Fadzil - Setiausaha Politik Datuk Sri Haji Ali
- Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya - Duta Cuba ke Malaysia
Teori rampasan pesawat MH653
(Staf Angkatan Tentera dengan beg polythene mencari mayat)
Terdapat beberapa teori yang menyebabkan berlakunya insiden menyayat hati ini. Antaranya termasuklah:
- Pesawat MH653 telah dirampas oleh ahli Tentera Merah Jepun. Walaubagaimanapun, teori ini telah dinafikan oleh Tan Sri Ghazali Shafie yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu
- Pesawat MH653 dirampas oleh kumpulan militan Vietnam. Teori ini dibuat berdasarkan penahanan 3 ahli militan Vietnam oleh Singapura berikutan rampasan pesawat DC3 Air Vietnam sebelum insiden rampasan MH653. Teori ini mencadangkan bahawa kumpulan militan ini mungkin merampas MH653 untuk membebaskan 3 ahli yang ditahan.
- Pesawat MH653 dirampas oleh penentang kerajaan Cuba, namun ia tidak mempunyai sebarang sokongan.
Tuduhan aktiviti pengganas
(P. Patto bekas ahli parlimen Menglembu)
Terdapat beberapa versi cerita di mana pengawal peribadi Datuk Seri Ali enggan menyerahkan senjata apinya kepada juruterbang semasa pesawat bakal berlepas.
Walaupun perkara ini kekal sebagai khabar angin, namun ia telah dipanjangkan ke Parlimen pada 27 Oktober 1978 oleh P. Patto, Ahli Parlimen Menglembu. Berikut adalah butirannya:
Tuan P. Patto: "Soalan tambahan, Tuan Speaker. Bolehkah Yang Berhormat Menteri berkenaan memberitahu sama ada benar juruterbang Boeing 737 MH 653 iaitu Kapten Ganjor pernah bertelingkah dengan pengawal peribadi Allahyarham Yang Berhormat Menteri daripada Kabinet Kerajaan oleh kerana pengawal peribadi tersebut enggan menyerahkan senjat apinya kepada juruterbang dan berikutan dengan itu sama ada benar bahawa satu pekeliling telah dikeluarkan oleh MAS menyatakan bahawa VIP dan pengawal peribadinya dibenarkan membawa senjata api ke dalam pesawat tanpa menyerahkannya kepada juruterbang dan sama ada pada hari tersebut iaitu 4 Disember 1977, pengawal peribadi Menteri yang berkenaan membawa senjata api bersama-samanya tanpa menyerahkannya kepada juruterbang, Kapten Ganjor,"
Yang Dipertua Dewan kemudian menjawab seolah-olah dengan bersikap mempertahankan diri :
Tuan Yang di-Pertua: "Siapa yang menyampaikan cerita ini? Sebab 100 orang penumpang semua sudah tidak ada. Soalan-soalan tambahan yang semacam ini tadi sudah dijawab oleh Yang Berhormat Menteri tidak benar, ini 100 cerita boleh dibuat. Jadi dari mana datang cerita ini? "
Tuan P. Patto: "Tuan Yang di-Pertua, saya sudah sebut ada sama ada benar atau tidak hendaklah dijawab sebab ada saluran-saluran yang saya".
Tuan Yang di-Pertua: "Tadi pun saluran mana diasaskan? Kalau Yang Berhormat Menteri ada hendak memberi jawapan,".
Walaupun ketepatannya tidak dapat dijamin, namun kenyataan yang dibuat oleh Patto itu sendiri selaras dengan apa yang diberitahu oleh beberapa bekas pegawai.
Laporan penyiasatan telah dikeluarkan pada tahun 1978, tetapi pengenalan perampas tersebut sama ada tidak diketahui atau tidak didedahkan.
Laporan selepas kejadian berlaku
(Menteri Pengangkutan Tan Sri V. Manickavasagam melawat lokasi kejadian)
2 hari selepas tragedi nahas ini, laporan akhbar menyatakan bahawa pelaku adalah berseorangan namun identitinya tidak dapat dipastikan.
Hubungan antara tragedi ini dengan kumpulan Tentera Merah Jepun tidak dapat dipastikan disebabkan kesemua daripada mereka yang menaiki pesawat tersebut telah terbunuh.
Masalah lain juga timbul termasulah kesukaran untuk mengebumikan mereka yang terbunuh kerana identiti mangsa-mangsa juga tidak dapat dikenalpasti.
Ia disebabkan oleh kemalangan yang tersangat dahsyat membuatkan mayat-mayat berada dalam keadaan tidak sempurna.
Menurut laporan, cebisan-cebisan mayat bertaburan di dalam paya dan ada yang tersangkut di atas pokok berhampiran.Juga ditemui beberapa pucuk senjata api dipercayai milik penumpang.
(Pihak berkuasa memeriksa barangan penumpang)
(Pihak polis dan pegawai MAS mencari serpihan pesawat)
Cebisan mayat tersebut kemudian dipungut dan dikumpulkan lalu dikebumikan di Perkuburan Khas Jalan Kebun Teh, Johor Bharu.
Pada hari Jumaat, 9 Disember iaitu 5 hari selepas kejadian berlaku, upacara pengebumian dilakukan mengikut adat dan ajaran agama termasuklah Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.
Siasatan kotak hitam
(Serpihan pesawat tersangkut di atas pokok)
9 bulan selepas tragedi nahas, satu laporan rasmi yang mengandungi hasil siasatan terhadap kotak hitam MH653 telah didedahkan.
Menurut laporan, juruterbang dan salah seorang daripada krew pesawat telah ditembak mati lebih awal oleh perampas sebelum pesawat meletup.
Terdapat rakaman suara yang kedengaran 3 das tembakan dan rayuan oleh Kapten G.K Ganjoor sebelum ditembak, yang berbunyi, "No, please, dont,".
Juga kedengaran suara yang menyebut, "You bluff us," oleh suara yang tak dikenali sebelum bunyi tembakan kedengaran. Antara suara lain yang kedengaran adalah perbualan bahasa asing.
Pesawat tersebut mula menjunam sebaik sahaja tembakan tersebut berlaku. Laporan rasmi tersebut juga memberitahu bahawa tiada letupan yang berlaku ketika pesawat berada di udara.
Rujukan:
1. SJ Post
3. Arkib Negara