scam di china dan cara mengelakkannya

Penipuan ada di mana-mana dan ia bergantung kepada anda untuk ditipu atau tidak. Mereka yang tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman adalah golongan yang sangat mudah tertipu.

Antara penipuan yang paling kerap dan berlaku secara berterusan adalah di lokasi tumpuan pelancong di mana ramai manusia yang tidak berhati perut mengambil kesempatan.

Sudah tentu anda tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang sesuatu tempat yang asing, dan ini memudahkan anda ditipu. Dan antara salah satu negara yang mempunyai penipuan paling banyak adalah China.

iluminasi.com kongsikan 4 penipuan atau scam yang paling biasa dilakukan di China dan cara untuk mengelak daripada ditipu.

1. Penipuan wang palsu

scam wang palsu di china

Ini adalah penipuan yang paling mengecewakan di China. Pasti anda juga setuju bahawa anda tidak tahu cara membezakan antara wang tulen dan wang palsu kan? Ini memudahkan anda ditipu.

Namun, penipuan ini semakin jarang berlaku kerana hukuman ke atas wang palsu di China adalah berat dan keras. Tapi, anda masih perlu berhati-hati.

Terdapat 2 cara utama di mana penipuan ini dilakukan:

1. Anda berikan pemandu teksi wang 100 atau 50 RMB, dan wang itu ditukar secara senyap-senyap lalu diberikan kembali kepada anda oleh pemandu dengan mengatakan anda memberikan wang palsu.

Ini adalah cara klasik yang mana pihak polis tidak dapat membantu. Jadi jika anda tidak sedar wang anda ditukar, sudah tentu anda akan membayar 100 RMB untuk kali kedua.

2. Anda bayar jumlah kecil menggunakan wang kertas 100 RMB. Baki yang diberikan oleh penipu adalah dalam bentuk 50 RMB palsu manakala yang lain adalah asli.

Ini biasanya berlaku ketika menaiki teksi atau di kedai tepi jalan.

Cara elakkan ditipu

wang palsu di china

Jika anda berhati-hati, penipuan ini mudah untuk dielakkan dan tidak memerlukan cara untuk membezakan rupa bentuk wang China yang sebenar atau tidak. Apa yang anda perlu lakukan adalah:

Dapatkan wang tunai anda dari sumber yang boleh dipercayai. Ini bermakna anda harus mengeluarkan wang dari bank China, mesin ATM tempatan atau tukarkan wang tunai di pengurup wang yang bertauliah (bukannya orang di tepi jalan).

Adalah dinasihatkan untuk pecahkan wang 100 RMB di kedai atau perniagaan yang boleh dipercayai dan bukannya perkhidmatan seperti teksi dan sebagainya.

Sebagai contoh, berbelanja di kedai serbaneka dengan membeli sebotol air.

Jika anda tak tahu bagaimana rupa bentuk dan "rasa" wang kertas yuan, jangan takut untuk memeriksa wang tersebut. Bandingkan dengan wang yang anda terima dari bank yang anda tahu ia tulen.

Di China, amalan untuk memeriksa sama ada wang yang diterima adalah tulen atau palsu di kedai-kedai adalah sesuatu yang biasa, dan anda juga boleh melakukannya.

2. Penipuan pengangkutan

scam pengangkutan di china

Seorang lelaki menceritakan pengalamannya mendarat di lapangan terbang di China dan bertengkar dengan pemandu teksi mengenai kos teksi tersebut.

Pemandu teksi mahukan kadar rata (flat rate) yang mana terlalu mahal tetapi lelaki tersebut mahu menggunakan meter. Akhirnya, lelaki tersebut "menang" kerana dia tinggal di kawasan tersebut dan tahu caj yang dikenakan adalah sangat tinggi. 

Namun, ia masih menjengkelkan kerana harus bertengkar dengan pemandu teksi tersebut. Dan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi pelancong yang tidak mengetahui apa-apa tentang caj teksi.

Bagaimana ia dilakukan

Penipuan pengangkutan di China boleh dibahagikan kepada 3 jenis:

Scam teksi: Teksi yang mahu mengenakan caj kadar rata dan tidak menggunakan meter disediakan.

Scam teksi hitam: Penipuan ini merujuk kepada apabila teksi hitam tiba-tiba menukarkan caj. Sebagai contoh, pemandu teksi berkata bahawa dia tidak memberitahu caj tersebut adalah 30 RMB tetapi 300 RMB.

Ia mungkin berlaku dengan cara pemandu teksi membawa anda tanpa menawarkan harga dan kemudiannya mengenakan caj yang tak masuk akal apabila anda sampai.

servis teksi china

Scam bas pelancongan: Anda akan dapat apa yang anda bayar. Sudah tentu ada bas pelancongan yang tersangat murah tetapi apa yang berlaku adalah ia akan membawa anda ke setiap "perangkap" pelancong yang ada di bandar tersebut untuk mengimbangi kos tersebut.

Cara untuk elakkan ditipu

Penipuan pengangkutan di China sangat mudah untuk dielakkan hanya jika anda sanggup untuk melakukan perkara yang tidak selesa iaitu berunding dengan pemandu sebelum memulakan perjalanan.

Ia bukan sahaja melibatkan harga tetapi lokasi destinasi dan sama ada terdapat hentian yang dibuat dalam perjalanan. 

Dan juga, anda harus bersedia untuk teguh dengan pendirian anda. Mungkin anda rasa anda tegas namun wanita China terkenal dengan sifat yang berani dan akan membuat kecoh untuk memalukan anda.

Dan yang terakhir boleh anda lakukan terutamanya terhadap teksi yang sah adalah mengambil gambar pendaftaran yang terletak di bahagian cermin hadapan dan juga nombor plat.

Beritahu bahawa anda akan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka masih cuba untuk menipu anda. Ini adalah cara yang paling efektif.

3. Penipuan pengemis

scam peminta sedekah di china

Perkara ini tidak semestinya penipuan tetapi sangat menjengkelkan. Peraturan umum ketika melancong ketika di tempat tarikan adalah untuk tidak memberikan wang kepada pengemis.

Ini kerana tak semua daripadanya benar-benar memerlukan. Antaranya seperti:

  1. Peminta sedekah yang menarik baju anda dan melakukan isyarat meminta wang. Kebanyakan orang akan memberikan wang agar pengemis tersebut melepaskan baju mereka kerana ia dilakukan tanpa henti. Masalahanya adalah dengan memberikan wang, anda sebenarnya menggalakkan kelakuan ini yang akan menyukarkan pelancong ke China di masa akan datang.
  2. Pengemis "amal": Kadang-kala ketika dalam bas atau tren, anda akan didekati oleh seseorang yang biasanya pekak, bisu atau hanya berlakon kedua-duanya. Mereka akan memberikan anda kertas dan menceritakan tentang kerja amal. Disebabkan perkara ini sangat mudah untuk dipalsukan, apa yang anda harus lakukan adalah menolak pelawaan mereka.
  3. Pengemis cacat: Ini sangat menyedihkan. Biasanya mereka ini yang kehilangan anggota badan akan duduk di kaki lima dengan mata yang menyedihkan melihat anda. Anda akan tertarik untuk memberikan wang dalam hal ini dan wang sekecil 5 yuan (RM3) pun mampu membantu mereka.
  4. Pengemis "senyap": Anda akan melihat pengemis sebegini di kaki limat dengan kepala mereka tertunduk dan tanda di atas lantai menjelaskan situasi mereka. Jika anda tak memahami apa yang ditulis, ia biasanya berkait dengan situasi keluarga. Jika anda terasa ingin menderma, lebih baik untuk melihat apa yang dilakukan oleh orang tempatan terlebih dahulu.
  5. Sami palsu: Ini adalah penipuan sebenar yang mana orang berpakaian seperti sami dan meminta derma. Walaupun ada yang benar, tetapi kebanyakannya adalah palsu.

4. Penipuan "Rumah Teh" / "Sekolah seni"

scam china tea house atau rumah teh china

Penipuan "Chinese Tea House" adalah penipuan terancang yang masih dilakukan kerana ia masih berjaya menipu pelancong. Penipu biasanya terdiri daripada pelajar kolej atau gadis cantik.

Dan mangsa mereka adalah lelaki yang melancong berseorangan. Anda akan berhadapan dengan penipuan ini di kawasan pelancong di bandar-bandar besar seperti Beijing atau Shanghai.

Bagaimana ia dilakukan

Cara ia dilakukan adalah penipu tersebut akan datang mendekati anda dan memulakan perbualan yang mesra.

Selepas mendapat kepercayaan anda, mereka akan bertanyakan sama ada anda ingin menyertai mereka untuk minum teh atau melihat hasil seni tradisional mereka.

Anda kemudian akan dibawa ke sebuah tempat (Rumah teh atau sekolah seni) untuk merasa beberapa jenis teh dan "rakan-rakan" baru anda tadi akan lenyap. Ini meninggalkan anda keseorangan dan terpaksa membayar teh yang "tersangat mahal".

Rakan-rakan tadi diberikan komisyen kerana membawa anda ke tempat tersebut.

Bagi penipuan "Sekolah Seni" pula, mereka menggunakan kepercayaan yang diterima untuk mencetuskan rasa bersalah agar anda membeli hasil seni yang murah dengan harga tinggi.

scam sekolah seni di china

Cara elakkan ditipu

Cara paling mudah untuk elakkan ditipu dengan cara ini adalah berhati-hati dengan sesiapa sahaja yang memulakan perbualan dengan anda. Orang Cina biasanya sangat introvert dan jika hal ini berlaku, ia adalah tidak normal.

Anda tidak semestinya perlu mengelak daripada semua orang tempatan tetapi berhati-hati dengan mereka yang terlebih mesra.

3 tips untuk selamatkan diri:

1. Uji "kawan" baru anda. Jika anda diajak ke sesuatu tempat, uji mereka dengan memberi cadangan tempat lain yang anda tahu. Jika mereka enggan, maka ia adalah satu penipuan.

2. Jangan makan atau minum sebelum mengetahui harga. 

3. Yang terakhir adalah jangan takut untuk berkata "TIDAK". Ia mungkin agak kasar lebih-lebih lagi kepada "pelajar" yang mesra, tetapi anda tak perlu membeli atau minum teh yang ditawarkan.

Rujukan:

1. Travel China

2. Whats On Weibo

3. Hutong School


tags : , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)