Bagi memulakan sesuatu perniaga, cara biasa yang digunakan oleh kebanyakan pemilik bisnes adalah membuat pinjaman peribadi ataupun membina modal sedikit demi sedikit sebelum mengembangkan bisnes tersebut.
Pada zaman milenium ini, terdapat cara alternatif lain untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi mendapatkan modal. Sebelum ini kami pernah tulis satu artikel mengenai 5 startup yang akhirnya gulung tikar walaupun mendapat jutaan ringgit tajaan daripada pelabur-pelabur besar seperti Google, Bill Gates, Richard Branson dan Jeff Bezos.
Bagi sesuatu startup baru, mereka boleh mendapatkan pelaburan dengan melakukan sesi persembahan (pitching) di hadapan para pelabur berpotensi. Selain itu, mereka boleh cuba untuk mendapatkan dana kewangan melalui cara crowdfunding.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa it Crowdfunding?
Secara ringkasnya, crowdfunding adalah satu cara alternatif mendapatkan bantuan kewangan melalui pelaburan daripada banyak pihak. Berbeza dengan pelaburan biasa yang dilakukan oleh syarikat-syarikat besar atau individu ternama, wang yang diterima melalui crowdfunding dalam sumbang kecil banyak individu.
Selain itu, pengumpulan bantuan kewangan melalui crowdfunding ini tidak tertumpu untuk penghasilan produk semata-mata tetapi juga untuk tujuan lain seperti bantuan perubatan, projek seni kreatif dan sebagainya. Pada tahun 2015 sahaja, dianggarkan kira-kira RM145 bilion berjaya dikumpulkan melalui cara crowdfunding ini. Terdapat banyak laman web untuk tujuan crowdfunding ini dan antara yang popular adalah Kickstarter dan Indiegogo.
4 projek gagal walaupun dapat tajaan besar
Biasanya untuk sesuatu projek yang diletakkan di laman web crowdfunding, pemiliknya akan meletakkan sasaran jumlah wang yang mereka ingini untuk merealisasikan projek yang dirancang. Malangnya tidak semua projek yang mencapai sasaran ini berjaya seperti yang dirancang. Malah, ada projek yang mendapat tajaan berkali-kali ganda melebihi sasaran awal mereka tetapi akhirnya lenyap tanpa khabar berita.
1. Skarp Laser Razor
Skarp Laser Razor adalah satu projek untuk mencipta pencukur laser berbanding pencukur konvensional yang menggunakan bilah pencukur. Projek ini mendapat tajaan keseluruhan RM16 juta daripada 25 000 orang pelabur. Walau bagaimanapun, pihak Kickstarter akhirnya menarik balik promosi untuk projek ini memandangkan pemiliknya gagal menghasilkan protaip yang boleh berfungsi seperti yang dirancang.
Pemilik projek tersebut kemudiannya telah menghasilkan satu video demo bagaimana pencukur laser tersebut berfungsi. Walau bagaimanapun, pihak Kickstarter mendakwa ianya tidak mencapai standard persembahan prototaip yang ditetapkan dan ianya sangat meragukan. Pihak Kickstarter menyatakan bahawa produk tersebut mencurigakan dan mendakwa ianya satu scam. Para pelabur bernasib baik apabila pihak Kickstarter akhirnya memulangkan kembali duit mereka.
2. Zano
Zano adalah projek untuk menghasilkan sebuah drone kecil, bersaiz sebesar tapak tangan. Projek ini adalah idea Torquing Group dan mereka berjaya memperolehi RM13.9 juta, satu jumlah yang sangat besar. Drone yang dihasilkan kelak bakal dijual pada harga sekitar RM1100. Pada peringkat awal 600 buah drone telah dihantar kepada pelabur terpilih walaupun ianya siap lebih lewat daripada sasaran awal mereka.
Malangnya, drone tersebut tidak mencapai kualiti yang diingini. Drone kecil yang sepatutnya boleh mengambil gambar swafoto dan mengambil gambar serta video berkualiti tinggi itu kebanyakannya tidak boleh diterbangkan. CEO dan ketua jurutera syarikat tersebut meletakkan jawatan sebelum syarikat tersebut akhirnya diisytiharkan bankrap.
Sekiranya anda ingin membeli drone berkualiti, kami cadangkan drone daripada jenama DJi. Boleh baca artikel kami mengenai latarbelakang syarikat DJi ini yang menguasai 70% pasaran drone dunia.
3. CST-01
CST-01 adalah satu projek untuk menghasilkan jam tangan ternipis di dunia. Kempen crowdfunding di Kickstarter ini telah dilakukan oleh pihak Central Standard Timing selaku pemilik projek. Ianya berjaya mendapat kira-kira RM4.3 juta daripada 7600 orang pelabur. CST-01 merupakan satu projek yang sukar kerana mereka perlu mencari teknologi bateri yang sangat nipis untuk digunakan pada jam tersebut.
Masalah terjadi apabila syarikat tersebut terpaksa menamatkan kerjasama dengan syarikat Flextronics dan memerlukan tambahan RM5 juta lagi bagi menghasilkan produk tersebut dalam kuantiti yang banyak. Penyiasatan yang dilakukan terhadapnya mendapati syarikat tersebut menanggung liabliti yang sangat banyak. Hal ini bermakna para pelabur yang telah melabur untuk projek ini besar kemungkinannya tidak akan memperoleh kembali duit pelaburan mereka.
4. iBackPack
iBackPack merupakan antara projek crowdfunding scam yang terkenal. Ianya adalah satu projek menghasilkan beg sandang bagi generasi baru dimana ianya didatangkan khas dengan tempat mengecas telefon dan menjadi hotspot internet, selain beberapa ciri menarik.
Projek ini mendapat pelaburan keseluruhan hampir RM3 juta tapi tidak menjadi realiti. Masalah timbul apabila pemilik projek tersebut melambat-lambatkan penghasilannya dengan alasan keselamatan penggunaan bateri pada beg tersebut. Ramai pelabur merasakan ianya satu scam apabila pemiliknya telah memadamkan video promosi produk tersebut selain tidak lagi melayan sebarang pertanyaan daripada orang ramai. Nasib para pelabur masih lagi tidak dapat dipastikan tetapi besar kemungkinan mereka mungkin tidak akan memperolehi kembali wang pelaburan mereka.
Kredit: