Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, startup baru wujud bagai cendawan selepas hujan. Lebih ramai orang muda menggunakan pendekatan ini bagi menghasilkan produk mereka dan menjualnya kepada orang ramai.

Berbanding syarikat konvensional, sesebuah startup pada peringkat awalnya akan cuba mendapatkan pelaburan daripada pihak-pihak atau individu tertentu yang yakin akan kemampuan produk yang dihasilkan. Uber, AirBNB, Snapchat dan SpaceX adalah antara syarikat yang bermula sebagai sebuah startup sebelum menjadi sebuah syarikat gergasi dan kekal utuh pada masa kini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi mendapatkan pelaburan, seseorang pemilik startup itu biasanya akan membuat persembahan (pitching) untuk memperkenalkan produk tersebut kepada bakal pelabur. Terdapat beberapa faktor mengapa seseorang pelabur itu akan melabur ke atas sesuatu produk, antaranya adalah idea yang menarik dan potensi produk tersebut untuk membuat keuntungan berkali-kali ganda apabila dijual kelak.

Walaupun sudah mendapat pelaburan jutaan ringgit, itu tidak bermakna sama sekali sesuatu startup itu akan terus berkembang maju. Malah, ada yang akhirnya gagal. Kali ini, kami ini berkongsi beberapa startup yang mendapat pelaburan besar pada awalnya tetapi akhirnya terpaksa gulung tikar pada tahun 2017 ini.

1. Juicero

mesin menghasilkan jus juicero

Pernah lihat mesin membuat kopi keluaran Keurig? Juicero mengambil konsep yang serupa dan pengasasnya membangunkan mesin Juicero bagi memudahkan pengguna menghasilkan air minuman jus dengan mudah dan memiliki rasa yang terbaik. Idea menghasilkan Juicero ini berjaya menarik minat beberapa pelabur besar seperti Google Ventures dan Kleiner Perkins dan jumlah pelaburan dianggarkan sebanyak RM481 juta.

Walau bagaimanapun, terdapat 2 sebab utama produk ini gagal. Pertama, harganya boleh dikatakan agak mahal, dijual sekitar RM1600. Kedua, dalam satu kajian yang dilakukan mendapati pengguna sebenarnya boleh memicit sendiri pek jus yang diberi kepada pengguna, tanpa memerlukan mesin Juicero! Jadi, mengapa pembeli harus membazir membeli sebuah mesin yang mahal?

2. Auctionata

auctionata

Auctionata adalah sebuah laman web yang dibangunkan pada tahun 2012 yang memudahkan pemilik barangan antik, seni dan kraftangan membuat lelongan secara dalam talian. Setiap acara lelongan boleh dibuat secara langsung atas talian dan pembeli yang berminat boleh membuat bidaan secara atas talian.

Idea ini sangat menarik dan sangat dinanti-dinantikan oleh mereka yang gemar mengumpul barang. Malah, startup ini mendapat pelaburan keseluruhan sebanyak RM390 juta daripada beberapa orang pelabur ternama. Malangnya, akibat daripada masalah teknikal disebabkan oleh laman web mereka, startup ini akhirnya terpaksa gulung tikar.

Terdapat pengguna yang melaporkan mereka menghadapi kesukaran membuat bidaan, laman web yang mengambil masa terlalu lama untuk dibuka, khidmat pelanggan yang tidak responsif dan pelbagai masalah lain.

3. Beepi

beepi

Beepi merupakan sebuah startup yang menyediakan satu platform dan pasaran bagi memudahkan pemilik dan pembeli kenderaan menjual kereta terpakai dengan lebih mudah. Penggunaan platform Beepi ini juga semestinya dapat menjimatkan kos pembeli dan penjual kerana mereka tidak perlu menanggung kos yang perlu dibayar kepada syarikat atau agen penjual kereta terpakai.

Idea Beepi ini sememangnya diminati ramai dan mempunyai potensi yang tinggi. Maka tidak hairanlah startup ini mampu memperolehi pelaburan sebanyak RM607 juta. Malangnya, pada tahun ini syarikat ini menemui penghujungnya.

Antara sebab utama startup ini gagal adalah kerana masalah pengurusan kewangan dan pentadbiran. Ketika zaman kemuncaknya, syarikat ini dikatakan mempunyai 300 orang pekerja dan membelanjakan kira-kira RM28.5 juta setiap bulan. Mereka akhirnya membuang kira-kira 200 orang pekerja sebelum dijual kepada Fair.com

4. Yik Yak

yik yak

Yik Yak adalah satu platform laman sosial yang sangat popular di Amerika Syarikat. Maka tidak hairanlah ianya mampu memperoleh pelaburan sebanyak RM300 juta daripada pelbagai pihak. Laman sosial ini juga sangat unik dimana nama dan identiti pengguna tidak akan didedahkan kepada kenalan mereka dalam aplikasi tersebut.

Setiap pengguna boleh berkongsi apa sahaja gambar, video dan berchat dengan pengguna lain aplikasi ini yang berada berdekatan mereka. Malangnya, masalah lain pula timbul. Kerana setiap pengguna tidak akan didedahkan identiti asal mereka, maka timbul isu pembuli siber yang menghantar kata-kata kesat dan tidak sepatutnya kepada pengguna lain.

Kes ini dikatakan sangat serius sehinggakan banyak sekolah terpaksa mengharamkan aplikasi ini digunakan di sekolah. Selain itu, Yik Yak juga dikatakan tidak telus dalam menjaga privasi pengguna mereka. Walaupun identiti setiap pengguna tidak didedahkan kepada pengguna lain, ianya tidak bermakna bahawa pihak Yik Yak tidak akan mendedahkan identiti pengguna kepada pihak polis dan pihak berkuasa yang lain untuk tindakan undang-undang.

Disebabkan hal ini, jumlah peratusan pengguna Yik Yak jatuh mendadak menjelang hujung tahun 2016 dan startup ini mula membuang kebanyakan pekerja mereka. Yik Yak secara rasminya ditutup apabila mereka bersetuju untuk menjual teknologi dan beberapa jurutera mereka kepada syarikat Square pada jumlah RM4 juta.

Apakah pengajaran penting yang boleh diperolehi daripada kegagalan startup di ini?

Duit bukan segalanya. Kesemua startup di atas mendapat pelaburan besar daripada individu-individu dan syarikat-syarikat besar dan ternama tetapi masih juga gagal akhirnya.

Dalam kata lain, duit bukanlah masalah utama yang dihadapi startup ini untuk terus membuat penyelidikan dan pemasaran bagi mengembangkan produk mereka. Walau bagaimanapun, kerana masalah lain yang dihadapi seperti masalah pengurusan kewangan, pentadbiran, kekurangan inovasi, masalah teknikal, khidmat servis pelanggan yang buruk dan sebagainya, mereka tetap gagal untuk terus bertahan.

Kredit:

  1. Bloomberg
  2. TechCrunch
  3. Forbes
  4. CNet



Hakcipta iluminasi.com (2017)