baju perlindungan radiasi

Tahukah anda bahawa barangan yang ada disekiling kita dalam kehidupan seharian juga menghasilkan radiasi? Ya, pisang, arak dan lampu antara contoh beberapa barangan yang menghasilkan radiasi. Walau bagaimanapun, jangan risau kerana tahap radiasinya terlalu rendah dan pendedahan kepada barang-barang ini tidak akan mempunyai kesan sampingan.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Nuclear Regulatory Commission terhadap rakyat Amerika Syarikat mendapati bahawa secara purata, setiap manusia akan terdedah kepada radiasi sebanyak 620 milirems setiap tahun. Jumlah ini jauh lebih rendah daripada had pendedahan yang dibenarkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir apakah yang akan berlaku apabila anda terkena keracunan radiasi? Kali ini iluminasi ingin berkongsi beberapa kemungkinan yang berlaku sekiranya anda terdedah kepada radiasi yang berlebihan. Kesan yang dialami oleh setiap orang mungkin berbeza bergantung kepada pelbagai faktor antaranya tempoh pendedahan terhadap radiasi, sumber radiasi dan kekuatan radiasi.

1. Pendarahan dalaman yang sangat teruk dan menyakitkan

pendarahan mata

Apabila anda mengalami kemalangan, apa yang lebih menakutkan dari kecederaan anggota badan adalah pendarahan dalaman. Berbanding kecederaan luaran yang mudah dirawat, pendarahan dalaman kadangkala tidak dapat dikesan dan lebih merbahaya jika tidak dirawat. Gabriela Maria Ferreira merupakan salah seorang mangsa dalam satu kejadian pada tahun 1987 di Brazil dimana satu mesin terapi radiasi telah dicuri daripada sebuah hospital lama. Kejadian ini digelar "Goiania Accident” dan telah meragut beberapa nyawa.

Beliau telah tersentuh serbuk berwarna biru yang bercahaya daripada mesin tersebut dan tiga hari kemudiannya jatuh sakit. Beliau mengalami pendarahan dalaman yang sangat teruk di beberapa organ dalaman seperti perut, mata, kaki dan banyak lagi. Selain itu beliau turut mengalami cirit-birit dan halusinasi sebelum mati kira-kira sebulan selepas menyentuh serbuk radioaktif tersebut.

2. Kebakaran dalaman 

kemalangan radioaktif

Kebakaran dalaman atau digelar doktor “three-dimensional sunburn” adalah kesan yang dirasai oleh Louis Slotin, seorang ahli fizik Kanada yang bekerja dalam penghasilan senjata nuklear di Los Alamos. Dalam kejadian yang berlaku pada tahun 1946 itu, satu kesilapan kecil telah menyebabkan unsur plutonium menjadi "reaktif".

Akibat pendedahan kepada bahan radioaktif tersebut, beliau mengalami kesakitan yang teramat sangat. Kulitnya seperti terbakar daripada bahagian dalam akibat radiasi tersebut. Kesan dari keracunan radiasi tersebut juga menyebabkan jumlah sel darah putihnya berkurang secara drastik, suhu dan denyutan nadinya juga menaik dan menurun secara mendadak. Beliau kemudiannya koma dan mati kira-kira 9 hari selepas insiden tersebut.

3. Kehilangan air yang sangat banyak

hisashi ouchi

Kejadian ini berlaku pada tahun 1999, Hisashi Ouchi yang pada ketika itu sedang bekerja dalam sebuah makmal memproses uranium di Tokaimura, Jepun. Satu insiden telah menyebabkan beliau terkena pancaran neutron yang sangat kuat.

Akibat daripada kejadian tersebut, beliau terpaksa hidup dengan bantuan mesin dan kehilangan 20 liter air setiap hari. Kulitnya juga tertanggal daripada kulit dan badannya tidak lagi mampu menghasilkan sel darah merah, sel darah putih dan platelet. Beliau akhirnya mati akibat kegagalan beberapa organ berfungsi.

4. Dikebumikan dalam keranda yang diperbuat daripada plumbum

pengebumian mayat mengandungi radioaktif

Seseorang yang mati akibat keracunan radiasi tidak boleh ditanam dan diuruskan seperti mayat biasa. Walaupun mereka sudah mati, radiasi yang ada pada tubuh badan mereka masih wujud. Itulah yang berlaku pada Leide das Neves Ferreira apabila beliau mati. Mayatnya telah diletakkan dalam keranda fiberglass yang diselaputi lapisan plumbum. Kuburnya juga kemudiannya telah disimen.

Leide das Neves Ferreira merupakan seorang lagi mangsa kejadian “Goiania Accident”. Leide hanyalah seorang kanak-kanak berusia 6 dan beliau telah menyapu serbuk biru dan bercahaya yang diambil daripada sebuah mesin yang dicuri sebuah hospital lama. Tanpa beliau ketahui, serbuk tersebut adalah sebuah bahan radioaktif.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. The New Yorker
  3. The Japan Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)