Sumber foto: Sinar Online
Sekitar tahun lepas, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) telah mendedahkan terdapat kes melibatkan pemalsuan wang kertas RM100 yang didalangi oleh sebuah sindiket. Biarpun insiden wang kertas palsu di negara kita masih rendah dan dianggap kes terpencil, namun seeloknya kita mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak menjadi mangsa.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebenarnya, mengenalpasti sama ada wang kertas yang anda terima itu benar-benar tulen atau palsu tidaklah sesukar mana. Ini kerana wang kertas Malaysia menggabungkan ciri-ciri keselamatan terkini yang sukar dipalsukan.
Ia boleh dikenal pasti melalui 4 aspek iaitu ‘Rasa, Lihat, Padan dan Periksa‘. Mari kita sama-sama tengok dan semak ciri-ciri penting berikut.
1. Rasa dan bezakan kualiti serta ciri cetakan yang timbul.
Wang kertas tulen dicipta menggunakan substrat atau bahan yang bermutu tinggi. Ini menjadikannya unik dan berbeza dengan kertas biasa yang mempunyai cetakan kurang bermutu serta ciri-ciri keselamatan tiruan. Periksa ciri cetakan timbul yang terdapat pada potret di wang kertas, angka denominasi dan teks.
Ciri-ciri "peak"
Ciri-ciri "peak" ini dapat dikesan di bahagian tengah wang kertas. Jika dilihat dari sudut yang berbeza, anda akan nampak angka denominasi di pertengahan kotak. Contohnya, angka 50 dicetak untuk wang kertas denominasi RM50.
Tandang palang telus
Bunga raya di bahagian atas dan bawah wang kertas adalah sama pada kedua- dua belah permukaan depan dan belakang wang kertas.
Cetakan Intaglio
Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama, nombor denominasi corak dan perkataan ‘Bank Negara Malaysia’ adalah dicetak dengan beberapa lapisan dakwat halus untuk menghasilkan kesan timbul.
Harus diingat, wang kertas palsu berkualiti rendah. Ia kebiasaannya dicetak pada kertas biasa menggunakan pencetak dan mesin salinan warna yang lazim. Justeru, laporan media yang mengatakan terdapatnya wang kertas palsu berkualiti tinggi, serta dicetak menggunakan teknik canggih sehingga kertasnya mempunyai ciri dan kualiti yang sama dengan kertas wang sebenar adalah tidak benar sama sekali.
2. Pegang dan halakan ke arah cahaya lampu putih.
Sekiranya dihalakan ke arah cahaya, imej samar-samar Potret Yang di-Pertuan Agong Pertama dapat diperhatikan pada petak kosong di sebelah kiri wang kertas. Potret 3 dimensi DYMM Yang di-Pertuan Agong pertama kelihatan lebih terang dan nyata jika dibandingkan dengan warna kertas di sekitarnya. Potret ini akan kelihatan tanpa garis-garis yang jelas.
Imej daripada cahaya ini bercorak 3 dimensi dengan alunan warna gelap dan terang yang berlainan dalam keadaan lembut dan berbayang, tanpa garisan luar yang nyata. Terdapat angka berkaitan di bahagian bawah potret tanda bayang ini. Sebagai contoh, angka 50 dipaparkan untuk denominasi RM50.
Tanda pandang telus reka bentuk grafik pada bahagian depan dan belakang wang kertas akan kelihatan selari dan membentuk imej corak dan numeral yang lengkap. Benang keselamatan dengan ciri teks mikro yang dijalin secara bersulam pada wang kertas.
Kertas yang digunakan untuk menghasilkan wang kertas adalah bertekstur. Sementara itu, wang kertas polimer diperbuat daripada plastik khas. Kedua-dua wang kertas dan polimer mempunyai kesan cetakan timbul pada potret Yang di-Pertuan Agong pertama dan teks.
3. Sengetkan wang kertas untuk melihat perubahan pada jalur holografik dan benang keselamatan.
Kalau anda ingin melihat benang keselamatan kanta mikro bagi wang kertas RM100, wang kertas tersebut perlulah disengetkan di bawah cahaya terang. Benang keselamatan ini ditenun di permukaan sebelah belakang wang kertas.
Semasa dilihat pada cahaya, benang ini nampak seperti satu garisan lurus yang kehitaman dengan huruf dan nombor yang berkaitan dicetak berulang kali. Contohnya, “BNM RM50” dicetak berulang kali pada wang kertas denominasi RM50.
Ciri-ciri Lead
Di sebelah kanan wang kertas denominasi RM50 dan RM100, terdapat jalur hologram yang berkilau serta mengandungi 3 perkara, iaitu:
1. Imej yang serupa dengan yang terdapat di sebelah kanan potret Yang di-Pertuan Agong Pertama.
2. Imej yang menunjukkan angka denominasi, contohnya RM50.
3. Imej huruf-huruf “BNM”.
4. Semak menggunakan kanta pembesar atau lampu sinaran UV.
Wang kertas negara kita cuma mengandungi 2 elemen warna fluorescent. Sementara itu, teks, logo dan jalur fiber akan berwarna kemerahan, kekuningan dan kebiruan dibawah pencahayaan UV.
Untuk maklumat lanjut tentang ciri-ciri wang kertas, anda bolehlah memuat turut aplikasi "My Ringgit" di Apple Store dan Google Play. Aplikasi ini memberikan panduan interaktif dan ciri-ciri keselamatan mata wang Malaysia. Ia termasuk piawaian kualiti bagi mata wang tempatan, nasihat umum dan maklumat tambahan.
Rujukan:
2. Mynewshub
3. Banking Info
4. Bernama