Pernahkah anda menonton video tular memaparkan bagaimana seseorang melakukan transaksi pembayaran seperti saman, dengan menggunakan syiling sepenuhnya?

Tindakan sebegitu kebiasaannya berlaku disebabkan protes dan rasa tidak puas hati terhadap apa yang telah berlaku; memang kelihatan melucukan.

Di sebalik apa yang kelihatan, kita harus terima golongan yang perlu bersusah payah menguruskan transaksi seperti itu adalah pegawai-pegawai tidak bersalah, yang menjadi mangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mari kita berpijak di bumi nyata dan persoalkan : boleh atau tidak pembayaran sebegitu dilakukan? Tidak boleh sebenarnya!

Apa itu 'had pembayaran dibenarkan'?

duit syiling lama negara malaysia

Anda pernah dengar tentang 'legal tender limit' atau 'had pembayaran dibenarkan'? Mesti ramai yang tak tahu tentang kewujudan peraturan ini.

'Had pembayaran dibenarkan' merupakan garis panduan yang melindungi amaun pertukaran melibatkan dua pihak berbeza dalam satu transaksi, sama ada dengan menggunakan mod pembayaran wang kertas atau syiling.

Berbeza dengan wang kertas, duit syiling mempunyai bentuk fizikal lebih berat dan memerlukan ruangan simpanan yang lebih besar, hanya dalam amaun yang rendah.

Tidak ramai tahu sebenarnya negara kita mempunyai had pertukaran maksima syiling dalam setiap transaksi yang dijalankan, tak kiralah untuk membayar pembelian, pembayaran hutang, pembayaran saman atau apa saja bentuk transaksi.

Ini bermakna, pihak penerima sebenarnya mempunyai hak untuk menolak pembayaran yang dilakukan seandainya pihak pembayar memilih untuk membayar dengan syiling melebihi jumlah yang telah ditetapkan.

Ya! Dari segi undang-undang, anda boleh menolak pembayaran yang menggunakan syiling sekiranya pembayar telah melanggar had minimanya.

Apa syaratnya?

Garis panduan had pembayaran syiling

bapa bayar saman pkp guna syiling

Untuk mengetahui apa syaratnya, kita perlu merujuk kepada seksyen 24 Akta Bank Negara Malaysia 1958 yang mewartakan apakah had pembayaran duit syiling yang dibenarkan.

Pembayaran menggunakan duit syiling sama ada syiling 1 sen, 5 sen, 10 sen dan 20 sen mempunyai had maksima RM2 untuk setiap satu transaksi.

Untuk syiling 50 sen dan RM1 pula (pernah ada dulu), had maksima amaun yang boleh digunakan untuk transaksi adalah kadar RM10.

Jenis bayaranHad maksima terima
1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 senRM2
50 sen dan RM1RM10

Pihak penerima dianggap tidak boleh menolak pembayaran yang dilakukan dengan syiling selagi mana amaun pembayarannya tidak melebihi RM2 dan RM10.

Jikaebih daripada itu?

Terpulang kepada penerima sama ada mahu menerimanya atau tidak.

Berbeza dengan kita dan kebanyakan negara lain, Amerika Syarikat tidak mengamalkan sekatan rasmi ke atas had pembayaran dibenarkan - walaupun melibatkan duit syiling, memberi kuasa kepada penerima untuk menerima atau tidak metod pembayaran.

Oleh sebab itulah di negara tersebut, kisah bagaimana individu membayar cukai dan saman menggunakan berguni-guni duit syiling kerap kali kedengaran.

Nak terima atau tidak? Itu dilemanya bila tiada garis panduan tetap.

Kisah-kisah pembayaran saman dengan syiling

berapa had pembayaran menggunakan duit syiling seringgit

Setiap tahun mesti ada saja kisah sesetengah individu menggunakan berguni-guni syiling untuk melunaskan pembayaran.

Antara kisah popular melinatkan pelakon dan pengarah terkenal Erma Fatima yang tewas saman mahkamah, bertindak membayar denda RM11,200 dalam bentuk bungkusan-bungkusan syiling 5 sen

Dalam kes melibatkan rakyat marhaen seperti kita ni, pada bulan April tahun 2020 tular kisah sedih bagaimana seorang bapa korek tabung, bagi membayar denda RM1,000 anaknya yang melanggar arahan PKP kerajaan.

Perkongsian kisah yang dilakukan netizen itu berjaya meraih simpati selepas bapa malang itu membayar kompaun, dengan menggunakan ikatan wang kertas RM1 serta kepingan-kepingan syiling untuk mencukupkan amaun diperlukan.

Selepas anda mempelajari tentang 'had pembayaran dibenarkan' seperti yang terkandung dalam seksyen 24 akta Bank Negara 1958, pasti anda mempunyai perspektif berbeza tentang kisah-kisah seperti itu bukan?

Nota : Walaupun Akta Bank Negara Malaysia 1958 sudah dimansuhkan digantikan dengan Aktab 701 BNM 2009, bahagian III akta 1958 yang mengandungi seksyen 24 dibincangkan di atas, masih terpakai seperti biasa.

Rujukan

Akta Bank Negara Malaysia 1958 (PDF)

Akta 701 Bank Negara Malaysia 2009 (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)