Semenjak NASA mengumumkan rancangan untuk misi pelancaran mereka yang akan datang pada tahun 2022, semua orang berasa teruja tentang 16-Psyche. 16-Psyche adalah sejenis asteroid 'rare' yang berada dalam jaluran asteroid antara Marikh dan Musytari.

Asteroid 16-Psyche

16-Psyche adalah asteroid yang unik kerana ia merupakan asteroid jenis-M, bermaksud ia diperbuat daripada logam bukannya ais atau batu seperti kebanyakan asteroid yang lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ia merupakan asteroid logam pertama yang akan dilawati NASA. Walaupun ia hanyalah misi untuk mengumpulkan maklumat penting, para pelabur melihat 16-Psyche ini pada potensi nilainya.

Jika besi pada asteroid 16-Psyche ini dapat diekstrak, ia akan bernilai sekitar RM 41 quntillion - iaitu bersamaan RM 41130 quadrillion atau RM 41,130,000 trillion. Anggaran nilai semasa ekonomi dunia pada hari ini hanyalah sekitar 304 trillion sahaja. Ini bermakna nilai 16-Psyche adalah 135,000 kali ganda berbanding semua wang yang ada di dunia.

lukisan gambaran 16 psyche

Lukisan gambaran 16-Psyche

Dalam erti kata lain, asteroid ini mungkin tidak akan menghentam Bumi tetapi ia berpotensi untuk meruntuhkan sistem ekonomi dunia.

Ketua projek ini tidak berfikir bahawa itu yang akan terjadi dan berpendirian bahawa misi itu hanyalah bertujuan untuk pembelajaran sahaja. Namun, seorang bekas pekerja NASA telah melaporkan bahawa perlombongan di ruang angkasa lepas adalah tidak mustahil dengan teknologi terkini yang dimiliki NASA.

Orang ramai juga ingin melihat perkara ini berlaku pada masa hadapan. Kerajaan Luxembourg telah menubuhkan dana perlombongan angkasa lepas dan syarikat Planetary Resources juga telah mengumumkan rencana yang sama pada tahun 2012 lagi.

jaluran asteroid

Jaluran Asteroid

16-Psyche merupakan salah satu daripada sepuluh asteroid paling besar. Ia mewakili 1% dari jumlah jisim keseluruhan jaluran asteroid. Ukuran diameternya ialah kira-kira 225km persegi dan ianya berbentuk tidak teratur. Ia mengorbit bumi dalam masa lima tahun Bumi tetapi melengkapkan putaran penuh pada paksi (satu hari 16-Psyche) dalam masa empat jam Bumi.

Pesawat angkasa NASA untuk misi ke 16-Psyche ini akan dilancarkan pada Ogos 2022. Ia dijangka akan mendarat di asteroid itu pada awal tahun 2026 dengan menerima rangsangan graviti daripada Marikh pada 2023. Ia merupakan lawatan NASA yang pertama ke asteroid itu setelah ditemui oleh ahli astronomi Itali, Annibale de Gasparis pada tahun 1852.

Selain merupakan lawatan pertama mereka ke asteroid jenis-M, terdapat beberapa lagi permulaan baru berkaitan misi ini. Kapal angkasa 16-Psyche ini juga merupakan kapal pertama dikuasakan dengan teknologi pendorongan jet baru yang menggunakan tenaga elektrik dari susunan panel suria.

gambaran kapal angkasa misi 16 psyche

Gambaran stesen angkasa misi 16-Psyche

Semasa penerbangan kelak, ia juga akan menggunakan sistem komunikasi berasaskan cahaya laser buat pertama kali berbanding gelombang radio yang digunakan sekarang.

Matlamat utama yang dinyatakan dalam misi ini adalah untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang asteroid ini, bermula dengan topografinya. NASA kini hanya mempunyai gambaran tentang 16-Psyche melalui lukisan sahaja dan para saintis mengakui bahawa mereka tidak tahu apa bakal diharapkan kerana asteroid logam ini kelihatan jauh berbeza dari batu dan ais. 

Oleh kerana asteroid logam ini begitu jarang ditemui, 16-Psyche ini dipercayai adalah teras besi atau nikel sebuah planet yang mungkin sebesar Marikh. Mungkin telah berlaku pelanggaran kuat yang menghancurkan planet ini sehingga terdedah pecahan mantelnya.

bagaimana 16 psyche mungkin terhasil

Bagaimana 16-Psyche mungkin terhasil

NASA akan menggunakan alat pengukur yang canggih bagi memeriksan dan mengesahkan kemungkinan bahawa 16-Psyche sememangnya adalah teras kepada protoplanet.

Melalui data yang diperolehi ini, ia dapat membantu saintis untuk memahami dengan lebih baik tentang teras Bumi ini sendiri kerana buat masa ini, mereka tiada cara untuk mengakses atau mengukur teras Bumi secara langsung.

Selain itu, para saintis juga sedang mencari bukti mengenai medan magnet 16-Psyche pada masa lalu. Melalui pemerhatian ini, ia mungkin akan memperlihatkan sama ada gunung berapi sulfat pernah wujud pada asteroid ini atau tidak.

saiz asteroid 16 psyche

Bukan sahaja misi ini boleh menjadi misi perlombongan angkasa lepas tetapi maklumat yang akan dikumpulkan nanti adalah begitu berharga untuk kegunaan sendiri. Seorang saintis utama misi ini, Lindy Elkins-Tanton memberitahu bahawa mereka mengkaji ruang dalaman Bumi dengan melawat angkasa lepas.

Apa yang lebih menarik, Psyche dalam bahasa Yunani membawa maksud "jiwa". Mungkin melalui kajian asteroid ini kita mampu memahami jiwa kepada planet yang kita diami selama ini.

Rujukan:

1. NBC News

2. The Sun

3. Extreme Tech




Hakcipta iluminasi.com (2017)