Nama aku Hossein Derakshan.
Hujung tahun 2014, aku dibebaskan daripada Penjara Evin yang terletak di Utara Tehran secara mengejut. Walhal sebelum itu pada tahun 2008, aku baru saja dihukum penjara 20 tahun atas sebab aktiviti menulis di laman web. Aku dah pasrah menerima takdir yang seumur hidup aku akan dihabiskan dalam penjara, namun nasib aku berubah.
BESARKAN TEKS A- A+
Aku dipenjarakan atas tuduhan negara asal aku sendiri yang aku ini pengintip Israel, hanya kerana aku melawat Israel dan cuba melapor sendiri apa yang aku nampak.
Di luar penjara, semuanya rasa berbeza selepas enam tahun aku di dalam. Tehran yang aku tinggalkan, banyak menerima perubahan. Rumah-rumah kecil kini diganti dengan kondominium mewah. Jalan baru, lebuh raya baru, pelbagai kenderaan jenis SUV memenuhi jalan raya. Wanita memakai tudung berwarna-warni ditemani lelaki yang berambut segak dengan jambang kemas. Beratus kafe berkonsepkan barat dibuka untuk warga Tehran berborak sepanjang hari.
Semua perubahan itu mungkin biasa pada orang lain, tetapi bagi individu yang dikurung dalam penjara seperti aku, perubahan ini datang mendadak.
Kembali aktif selepas penjara
Dua minggu selepas bebas, aku mula menulis kembali di internet.
Aku menyertai sebuah laman blog kelolaan rakan aku, menulis berkenaan gerakan seni. Menulis tetap tabiat yang aku kenali dengan selesa, tidak banyak berubah. Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan orang untuk membaca apa yang ditulis sudah berbeza.
Aku diberitahu bagaimana media sosial sudah jadi perkara wajib. Aku cuba gunakan media sosial untuk meletakkan pautan kepada blog kami. Dapatlah 3 like. Agak besar perubahan budaya menulis yang aku rasai sebelum dipenjarakan dan apa yang aku alami dalam tahun 2014.
Blog satu masa dulu adalah medium besar ketika aku ditahan. Setiap hari, aku mempunyai pembaca seramai 20 ribu sehari yang setia mengunjungi tulisan aku.
Pembaca blog akan membaca tulisan aku dan meninggalkan komen yang relevan, walaupun mereka sedang mengkritik aku. Telefon pintar pada waktu itu hanyalah untuk menelefon, menghantar SMS, menyemak emel dan melawat web. Tidak ada aplikasi canggih seperti sekarang. Instgram? Whatsapp? Snapchat? Semua itu tidak ada. Yang ada hanyalah laman web di internet. Di situlah semuanya terkumpul. Berita, analisa, tulisan, pengumuman, bahan bacaan.
Hidup aku dulu semuanya berpusat di situ tetapi pada 2014, segalanya amat berlainan.
The Blogfather of Iran
Aku mula menulis selepas peristiwa 11 September 2001. Ketika itu aku berada di Toronto. Kami sedang bersarapan ketika kapal terbang menghentam World Trade Centre. Bagi mencari berita tentang apa yang berlaku, aku terjumpa beberapa blog yang ditulis individu yang tidak aku kenali, secara sukarela.
Maklumat yang mereka kongsikan berguna pada aku, jadi aku mula berminat hendak mencipta blog sendiri. Aku belajar membangunkannya dan mula mengajar orang lain bagaimana membina blog. Zaman kemuncaknya, Iran menjadi antara negara paling ramai blogger ketika itu dan aku kerap kali dijadikan individu rujukan mereka. Atas sebab itulah agaknya, aku digelarkan 'blogfather' komuniti blogger Iran.
Hyperlink merupakan matawang penting pada waktu itu, menjalinkan kami dalam laman web di internet. Apa yang kami buat memenuhi visi sebenar pencipta internet, Tim Berners Lee; laman web adalah jaringan yang tidak dikawal sesiapa dan tidak ada hirarki. Hyperlink boleh dikongsi dengan sesiapa saja yang sudi tanpa ada mana-mana pihak mengawalnya. Pada 2014, aku dapati hyperlink boleh dikatakan sudah ketinggalan zaman dari segi penggunaannya oleh orang ramai.
Hyperlink dianggap kurang relevan dalam media sosial. Kita dibenarkan meletakkan hyperlink dalam perkongsian media sosial namun capaiannya terhad. Ada pihak yang mengawal capaian kita bergantung kepada jumlah 'like, heart atau suka' pada link tersebut.
Objek-objek perkongsian seperti teks dan imej yang dikongsi terus kepada pengendali media sosial dianggap lebih penting. Penulisan kita terus dalam ruang media sosial diberikan pendedahan lebih besar berbanding pautan kepada penulisan tersebut, yang memerlukan pengguna membuka pautan lain.
Ramai yang memulakan rutin penggunaan internet mereka tanpa menyedari mereka tidak pernah keluar daripada aplikasi media sosial.
Jika dibandingkan, sistem capaian kini lebih mementingkan status usia perkongsian dan populariti perkongsian. Ini dapat dilihat jelas dalam Newsfeed Facebook sebagai contoh. Orang ramai mula disalurkan informasi dari internet dan semakin kurang individu yang gemar mencari sendiri apa untuk dibaca. Semuanya dikawal oleh algoritma media sosial yang tidak diketahui apa kaedahnya yang disalurkan kepada pembaca dalam bentuk strim atau saluran tiada noktah.
Pengguna internet tidak lagi memerlukan laman web. Kita sudah jarang membuka banyak tingkap pelayar internet serentak. Mungkin juga ada antara anda yang tidak lagi menggunakan pelayar internet seperti Chrome atau FIrefox.
Trend zaman ini, pengguna hanya perlukan satu aplikasi media sosial dan layari saja apa yang disampaikan, kerana semuanya dipilih untuk kita. Memang rasa seronok tak perlu membuang masa mencari sendiri bahan bacaan menarik, namun apa yang kita korbankan atas kesenangan itu?
Kebangkitan masyarakat yang gemarkan populariti
Kebanyakan media sosial menggunakan sistem 'undian' yang lebih menitik beratkan populariti, berbanding isi kandungan sesuatu perkongsian. Selebriti mempunyai pengaruh besar dalam perkongsian mereka, kerana kepentingan media sosial meletakkan reaksi dan maklum balas sebagai kayu ukur. Media sosial memeriksa tabiat kita, minat kita kemudian memaparkan gambar, teks dan video serta pautan yang mereka 'rasakan' kita minat, bergantung kepada populariti topik tersebut.
Hari ini, arus informasi berbentuk saluran strim ini menjadi kaedah dominan media digital dalam mengawal sebaran informasi. Semua media sosial menggunakan kaedah sama. Besar kemungkinan tidak lama lagi laman web pun terpaksa menggunakan kaedah sama dalam mempersembahkan maklumat mereka. Informasi yang disalurkan seperti saluran strim ini sedikit sebanyak menghilangkan kuasa pengguna internet dalam mengawal apa yang mereka baca. Apa yang menyedihkan, ini juga bertentangan dengan visi sebenar penciptaan World Wide Web, yang mahu informasi mampu disebarkan secara mudah, cepat tanpa halangan atau kawalan mana-mana pihak.
Memusatkan informasi kepada syarikat-syarikat gergasi media sosial membimbangkan aku, kerana kini sesuatu itu lebih berisiko untuk hilang sebegitu saja, kerana tahap kebergantungan kita pada media sosial bersifat total. Bagaimanapun, perkara yang paling membimbangkan aku berkenaan pemusatan informasi di media sosial ini adalah berkenaan kuasa yang kita serahkan pada syarikat gergasi dan seterusnya, kepada pihak kerajaan.
Ironinya, sesebuah negara yang bekerjasama dengan syarikat media sosial mempunyai informasi yang lebih mendalam tentang rakyat mereka sendiri, berbanding negara seperti Iran, yang mengawal selia akses internet, tetapi tidak mempunyai akses kepada penyelia media sosial. Itu adalah contoh mudah besarnya pengaruh penyelia media sosial kepada dunia dan aku memandang perkara itu sebagai sesuatu yang negatif.
Menghalalkan trend informasi melampau
Warga Iran kumpulan pertengahan sama seperti individu lain di dunia, sangat obses dengan trend.
Instagram meletup pada tahun 2014 mengakibatkan media sosial kini lebih dipenuhi dengan video dan gambar berbanding teks. Adakah ini bukti nyata berlakunya perubahan pada cara orang ramai melayari internet? Adakah tabiat membaca semakin tidak mendapat sambutan?
Jika kita lihat balik, laman web di internet pada awalnya, bermula dengan media-media yang lebih mirip dengan buku dan disambungkan menggunakan pautan-pautan URL atau hyperlinks. Dulu, Google meletakkan nilai tinggi pada kandungan ini dan fokus ini menjadikan Google syarikat gergasi yang kita kenali sekarang.
Bagaimanapun, dengan kemudahan pengimejan gambar dan kamera video yang semakin menular ekoran penggunaan telefon pintar, jelas sekali trend ini sudah berubah. Enjin carian mula mementingkan algoritma yang mampu mengesan gambar dengan lebih tepat, dengan pihak-pihak pengiklan pun mula melaburkan wang bagi mengiklan di mana trend memuncak.
Saluran strim maklumat, aplikasi mobil yang diguna secara meluas serta berjuta video membuktikan perubahan drastik telah berlaku kepada internet, yang sebelum ini lebih mirip kepada sebuah perpustakaan gergasi berbentuk digital. Kaedah menyebarkan informasi serta berkomunikasi dalam internet juga berubah. Sebelum ini semua hubungan dilakukan dalam bentuk tidak selari dengan setiap individu mempunyai 'tanah' sendiri, namun kini informasi dan maklumat disampaikan dalam bentuk lurus, pasif dan terkawal melalui strim media sosial.
Bila saya masuk ke Facebook, saya rasa seperti menonton televisyen. Saya hanya perlu skrol untuk mengikuti apa yang terhidang : perkongsian rakan, sedikit pautan tentang isu semasa, iklan, video perkongsian orang ramai. Kadangkala saya tekan butang like dan share, baca komen balas orang lain atau membalas komen. Ada masanya saya buka dan baca artikel.
Tetapi semua tindakan saya itu hanya mengingatkan saya, yang saya masih berada dalam Facebook. Facebook memaparkan apa yang mereka rasakan saya suka. Ini bukan internet dan web yang saya kenal sebelum ini. Ini juga patut tidak menjadi masa depan dunia web.
Kerap saya rasakan menggunakan media sosial, sama seperti menonton televisyen.
Bebaskan masa depan internet
Andai diikut trendnya, satu hari nanti internet mungkin tidak lagi memerlukan laman web dengan aplikasi yang perlu dimuat turun menjadi pengganti serta media sosial terus mengawal selia informasi yang popular, untuk dihidangkan. Waktu puncak kini bukan lagi merujuk kepada televisyen, tetapi waktu di mana pengguna media sosial paling ramai mengakses akaun.
Semua ini perubahan-perubahan yang drastik berlaku sekelip mata yang dapat saya lihat. Usia saya yang semakin meningkat membuatkan saya serba sedikit tidak dapat menerima perubahan ini. Adakah ini perubahan semulajadi bagaimana teknologi berevolusi? Tidak. Teknologi sepatutnya memperkuatkan individu bukannya melemahkan dan mengawal mereka.
Satu ketika dulu web dan internet merupakan sesuatu yang besar kesannya, sehingga pengaruhnya mampu dijadikan alasan untuk memenjarakan saya. Kini semuanya rasa seperti sebuah bentuk hiburan yang besar. Masyarakat dunia lebih fokus kepada berita viral, gosip dan keseronokan.
Aku akui aku rindu era web di mana individu menulis dengan cermat pandangan mereka sebelum diterbitkan dalam blog mereka sendiri, menggunakan domain mereka sendiri.
Tidak perlu kita melakukan promosi dalam media sosial hanya untuk mendapatkan pembaca membacanya. Pembaca hadir kerana mereka tahu alamat laman kita dan bila tak ada artikel baru, mereka rasa kecewa namun akan tetap kembali keesokannya. Tak ada orang peduli berapa yang 'like' artikel tersebut. Tak ada orang peduli bila waktu paling baik menerbitkan tulisan baru.
Itu dunia web yang aku kenal sebelum aku ke penjara. Pada aku, itu sesuatu yang berbaloi untuk diselamatkan sebelum kita semua hanyut dengan 'televisyen' yang kita gelarkan internet sekarang ini.
Artikel ini adalah terjemahan tulisan 'The Blogfather of Iran' Hossein Derakshan yang diterbitkan pada 29 Disember 2015 bertajuk 'Iran's Blogfather : Facebook, Instagram and Twitter are killing the web.'