Umum sudah mengetahui bahawa terdapat beribu kilometer jarak antara setiap lapisan permukaan bumi dari tanah yang kita pijak sehinggalah ke teras bumi. Pernahkah anda terfikir, berapa dalamkah yang dapat anda pergi? Terdapat beberapa tempat di dunia ini yang mempunyai kedalaman yang menakjubkan dan merupakan antara tempat paling dalam di dunia. Ada yang terjadi secara semula jadi dan ada juga yang dibuat manusia. Kami kongsikan 10 tempat paling deep itu bersama anda:

10. Telaga Woodingdean, Brighton, United Kingdom

BESARKAN TEKS     A-  A+

Telaga Woodingdean adalah telaga buatan manusia sedalam 850 kaki di bawah aras laut. Telaga ini juga memegang rekod dunia sebagai telaga paling dalam yang digali menggunakan tangan. Kerja menggali bermula pada tahun 1858 oleh sekumpulan lelaki dan siap empat tahun kemudian dengan kedalaman keseluruhan mencecah 1,285 kaki walaupun rancangan asal hanyalah 400 kaki sahaja. Telaga ini masih wujud sehingga kini namun bahagian permukaannya telahpun ditutup daripada orang ramai. (sumber)

9. Tagebau Hambach, Jerman

tagebau hambach

Dengan kedalaman 961 kaki di bawah paras laut, Tagebau Hambach merupakan lombong batu lignit yang terletak di Elsdorf, Jerman. Ia merupakan lombong dedah yang paling dalam di dunia. Jarak kedalaman lombong ini ialah 1,213 kaki dan mengandungi mesin pengorek paling besar di dunia di mana ia memproses purata 24 ribu tan batu lignit sehari iaitu bersamaan saiz sebuah stadium.

Di kawasan ini juga terdapat Sophienhöhe, gunung kayu buatan manusia di mana para pengunjung boleh meninjau lombong Tagebau Hambach dari sana. Bukan itu sahaja, ia juga memegang rekod sebagai gunung buatan paling tinggi di dunia dengan ketinggian 990 kaki di atas paras laut. Berbaloi jika anda mengunjungi tempat ini kerana ia mempunyai lokasi ketinggian dan kedalaman di kawasan yang sama. (sumber)

8. El Zacatón, Mexico

el zacat n

Sinkhole ataupun lubang benam ialah salah satu fenomena alam semula jadi yang terjadi tanpa sebarang tanda atau amaran. Bayangkan jika ia berlaku pada kawasan yang mempunyai populasi penduduk. Bagaimanapun, sinkhole Zacatón yang cantik dan berair biru jernih di Mexico ini telah terbentuk sejak zaman purba Pleistocene atau Ice Age lagi.

el zacaton pasukan penyelidik sinkhole paling dalam dunia

Dengan menggunakan robot untuk membantu mengukur kedalaman, penyelidik telah mendapati ia mencatat kedalaman sehingga 1,112 kaki di bawah paras laut. Selain robot, manusia juga pernah mencuba untuk mencapai dasar paling dalam sinkhole ini. Pada 1994, sepasang penyelam telah mencuba dan berjaya tiba sehingga 925 kaki dalam. Malangnya salah seorang daripada penyelam tersebut iaitu Sheck Exley telah mati akibat sindrom tekanan saraf pada kedalaman 900 kaki. Ini menunjukkan kedalaman sebegini sangat merbahaya walaupun kepada penyelam yang berpengalaman (Exley ialah seorang pakar selam dan telah menulis banyak buku mengenai penyelaman). Sejak itu, tiada siapa lagi yang berani mencuba untuk berenang ke dasar sinkhole ini. (sumber)

7. Tasik Baikal, Rusia

tasik baikal

Tasik indah yang menggambarkan keajaiban alam semula jadi ini merupakan tasik paling dalam di dunia dengan jarak 5,387 kaki. Telah banyak eksplorasi yang dijalankan di Tasik Baikal yang terletak di Rusia ini. Misalnya, pada tahun 2008, pihak Akademi Sains Rusia telah menghantar kapal selam kecil untuk turun ke dasar dan mencapai sehingga 5,180 kaki dalam namun gagal memecahkan rekod yang dilakukan Anatoly Sagalevich pada 1990 dengan rekod sedalam 5,371 kaki.

Bukan sahaja para saintis yang berminat dengan tasik Baikal ini, malah tempat yang juga dikenali dengan nama Mutiara Siberia ini juga menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Banyak hotel dan pusat peranginan telah dibina berhampiran tasik ini.

6. Gua Krubera Voronya, Georgia

gua krubera voronya

Gua yang terletak di Georgia ini merupakan gua yang paling dalam iaitu sedalam 7,208 kaki. Gua ini mempunyai dua nama berlainan iaitu Krubera - yang diberi pada tahun 1960-an bersempena nama ahli geografi Alexander Kruber dan juga Voronya Cave yang sering digunakan oleh peneroka-peneroka selepas itu.

Saban tahun, ekspedisi penjelajahan gua ini yang disertai oleh pasukan dari Ukraine, Britain, Perancis dan Sepanyol akan dijalankan. Mereka akan cuba mengkaji dan menjelajah sehingga ke dasar gua ini. Ini merupakan satu-satunya gua yang paling dalam melebihi jarak 2km.

5. Lombong Kidd, Ontario, Kanada

lombong kidd

Lombong paling dalam di dunia ialah Lombong Mponeng di Afrika Selatan dengan kedalaman 13,123 kaki. Walau bagaimanapun, lombong yang paling dalam di bawah paras laut ialah Lombong Kidd di Ontario, Kanada yang mencecah kedalaman 8,967 kaki di bawah paras laut. Kedalaman keseluruhannya ialah 10,000 kaki persegi dan dibuka pada tahun 1964.

Bermula sebagai lombong terbuka dan kemudiannya diteruskan dengan penambahgalian di bahagian bawah, kini Lombong Kidd merupakan lombong bijih timah paling besar di dunia dengan pekerja seramai 2,200 orang dan menghasilkan berjuta tan hasil galian setahun.

4. Litke Deep, Lautan Artik

litke deep

Litke Deep ialah jurang yang paling dalam di Lautan Artik yang terletak di Eurasian Basin, 350km ke utara dari Svalbard. Jurang ke-20 paling dalam di dunia ini mempunyai ukuran sedalam 17,881 kaki. Ia juga bersuhu sangat sejuk dan mungkin salah satu tempat paling bahaya di dunia.

Jurang ini diberi nama sempena kapal pemecah ais iaitu Fyodor Litke yang dijumpai pada tahun 1955. Kapal pemecah ais ini beroperasi sejak 1909 dan kerap digunakan semasa era Soviet bagi tujuan penjelajahan Artik. Kapal itu juga digunakan semasa perang dunia kedua sebelum akhirnya dijual sebagai besi buruk pada tahun 1960.

3. Milwaukee Deep, Lautan Atlantik

milwaukee deep

Terdapat banyak jurang yang terdapat di Lautan Atlantik antaranya Romanche Trench pada kedalaman 25,459 kaki dan South Sandwich Trench pada kedalaman 27,650 kaki. Namun, jurang paling dalam di Lautan Atlantik ialah Puerto Rico Trench atau lebih dikenali sebagai Milwaukee Deep yang mencecah sehingga 28,680 kaki di bawah paras laut. Ia terletak 76 batu arah utara dari Puerto Rico dan dinamakan sempena kapal USS Milwaukee yang menjumpai lubuk ini pada 14 Februari 1939. 13 tahun kemudian seorang penyelidik iaitu Theodore N. Gill juga telah mengukur dan merekodkan kedalaman sebanyak 28,560 kaki.

Puerto Rico Trench ini terletak di sepanjang sempadan yang menandakan berakhirnya kawasan Lautan Caribbean dan permulaan Lautan Atlantik. Ahli geologi meramalkan kawasan ini mungkin boleh menghasilkan gempa bumi yang kuat sekali gus menghasilkan tsunami yang besar.

2. Mariana Trench, Lautan Pasifik

mariana trench

Antara jurang paling dalam di Lautan Pasifik ialah Tonga Trench, Philippine Trench, Kuril-Kanchatka Trench dan Kermadec Trench dengan kedalaman melebihi 30,000 kaki. Namun, jurang yang paling dalam ialah Mariana Trench dengan kedalaman menakjubkan sehingga 35,994 kaki. Ia merupakan jurang di lautan yang paling dalam di dunia dan sering menjadi lokasi kajian para penyelidik.

james cameron melawan richard branson siapa yang boleh tiba dahulu ke jurang mariana 501

Pada tahun 2011, usahawan berjaya Richard Branson dan pengarah filem terkenal James Cameron pernah bertaruh siapa yang akan sampai ke dasar Mariana Trench terlebih dahulu. Cameron telah menang perlumbaan tersebut dan sampai pada dasar paling bawah pada Mac 2012. Dia telah menghantar kapal selam mininya menyelam selama 2 jam 36 minit untuk sampai ke bawah. Kemudian mereka mengambil bahan-bahan untuk diujikaji dan mendapati beberapa hidupan laut yang sedikit aneh di dasar laut yang paling dalam itu. (sumber)

1. Kola Superdeep Borehole, Murmansk, Rusia

kola superdeep borehole

Tempat yang paling dalam di dunia ini tidak pernah diterokai manusia walaupun ia adalah lubang yang digali sendiri oleh manusia. Dengan menggunakan mesin gerudi yang besar ia telah menggali sehingga 40,230 kaki (12,262 meter) ke dalam tanah.

Projek menggali ini bermula sejak 1970-an lagi dengan sasaran penggalian sedalam 49,000 kaki. Namun, mereka tidak menyangka apabila tiba pada kedalaman 40,000 kaki, suhu di dalam sudah mencatatkan sehingga 220.6 darjah Celsius.

kola superdeep borehole 516

Pasukan penggalian tersebut berpendapat suhu mungkin akan meningkat sehingga 300 Celcius pada kedalaman 49,000 kaki. Ini membuatkan kerja menggali menjadi mustahil walaupun mesin yang digunakan tahan panas dan tidak akan cair. Kerja menggali dihentikan pada tahun 1992 dan rekod paling dalam iaitu hampir 1/3 jarak menuju kerak bumi. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)