Ramai orang mencari panduan dan tip berguna untuk menghadapi temuduga. Ada calon yang mencari laman web yang menyenaraikan contoh-contoh soalan temuduga untuk mempersiapkan mereka agar lebih bersedia apabila diajukan soalan. Ada yang bertanya dengan rakan-rakan yang lebih berpengalaman.
Boleh kata hampir kesemua orang berasa sedikit tertekan sebelum menghadiri temuduga kerana tidak boleh menjangka apa yang bakal terjadi di dalam bilik temuduga.
Dengan persaingan yang amat sengit kerana terlalu ramai calon yang memohon, ada sesetengah majikan suka bertanyakan soalan-soalan 'cepumas' ketika sesi temuduga dijalankan untuk mendapatkan calon yang paling kreatif dan tahu berfikir di luar kotak.
Laman web Glassdoor telah mengeluarkan senarai 10 soalan ganjil pernah ditanya oleh bakal majikan. Harap tidak ada calon yang tergeliat lidah semasa menjawab soalan-soalan begini:
#10 Uniqlo
Jika anda mempunyai 2,000 dolar, bagaimana anda akan gandakan wang itu dalam masa 24 jam?
#9 Delta Air Lines
Berapa bijikah bola keranjang yang boleh dimuatkan di dalam bilik ini?
#8 Boston Consulting Group
Jika anda adalah sebuah jenama, apa moto anda?
#7 Trader Joe's
Apa yang anda akan buat jika anda menjumpai seekor penguin di dalam peti ais anda?
#6 HubSpot
Jika saya berikan 40,000 dolar kepada anda untuk memulakan perniagaan, apa yang anda akan buat?
#5 J.W. Business Acquisitions
Bagaimana anda akan menjual minuman koko panas di Florida?
Nota: Florida merupakan salah sebuah bandar beriklim panas sepanjang tahun di Amerika.
#4 Urban Outfitters
Apakah judul album debut anda?
#3 Dropbox
Jika anda merupakan CEO, apakah 3 perkara pertama yang anda akan semak mengenai perniagaan sejurus selepas bangun tidur?
#2 Whole Foods Market
Adakah anda lebih rela bertarung dengan seekor itik yang bersaiz seperti seekor kuda ataupun 100 ekor kuda yang bersaiz seperti itik?
#1 SpaceX
Apabila seketul hot dog mengembang, arah manakah yang akan terbelah dan mengapa?
Sepanjang hidup berkerjaya penulis, soalan paling pelik secara peribadi yang pernah ditanya adalah semasa sesi temuduga oleh sebuah syarikat IT di Singapura. Panel penemuduga bertanyakan apakah cara terbaik untuk membuat sandwic mentega kacang dan jeli. Hampir terkedu seketika kerana ia benar-benar tidak dijangka.