Oleh pada 14 Jul 2017 kategori

temuduga kerja 450

Jika anda mendapat panggilan temuduga kerja, sudah pastinya anda akan menyiapkan diri anda secukupnya untuk menjalani temuduga tersebut dengan jayanya. Segala persiapan akan dibuat termasuklah mengkaji mengenai syarikat tersebut serta mempersiapkan penampilan diri agar kelihatan segak dan kemas.

Namun, ramai yang tersilap ataupun tidak tahu langsung bahawa mereka akan melakukan kesilapan-kesilapan yang tidak disedari yang mana boleh memberikan impak yang sangat besar kepada peluang untuk mendapatkan pekerjaan tersebut. 

Iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 10 kesilapan yang anda boleh lakukan ketika temuduga kerja sama ada anda sedar atau tidak.

kerja 614

1. Tanya anda ditemuduga untuk apa

Memang nampak macam kelakar, tapi ramai yang buat. Kadang-kadang anda menghadiri terlalu banyak temuduga sehinggakan anda terlupa temuduga itu untuk kerja dan posisi apa. Jangan sesekali tanya anda ditemuduga untuk apa, sebaliknya tanya apakah tugas anda setiap hari jika diterima bekerja.

2. Memberi tanda-tanda yang anda tak akan bekerja lama

Ini sangat selalu terjadi. Ya betul jika anda berniat untuk menyambungkan pelajaran itu menunjukkan anda seorang yang bercita-cita tinggi, namun bagi pihak syarikat, anda kelihatan seperti tidak mahu bekerja lama. Mereka tidak mahu mengambil pekerja yang hanya akan bekerja untuk jangka masa yang singkat. Jadi, jangan tunjukkan yang anda hanya ingin bekerja untuk seketika sahaja.

3. Menyampuk

Juga nampak macam jelas tapi ramai juga yang buat. Jika anda mempunyai idea untuk dilontarkan, atau anda terlalu bersemangat untuk bercakap, jangan sesekali menyampuk atau memotong cakap pihak temuduga. Anda akan memberikan satu pandangan yang buruk kepada diri sendiri, lebih kurang macam kurang ajar dan tidak sopan. Ada juga orang menyampuk kerana berasa gementar.

interview

4. Menipu

Ramai orang cuba menipu untuk mendapatkan kerja. Mereka berasakan pihak syarikat tidak akan pernah tahu mengenai penipuan mereka. Sama ada mengenai latarbelakang, kelayakan mahupun pekerjaan sebelum ini, anda tidak sepatutnya menipu. Jika pihak temuduga tahu bahawa anda menipu, kemungkinan besar anda akan gagal mendapatkan pekerjaan itu.

5. Membawa telefon bimbit

Memang anda perlukan telefon bimbit, tapi jika boleh, tinggal saja di dalam kereta ataupun switch off terus telefon anda. Terlalu kerap ketika ditemuduga, telefon anda berdering dan mengganggu semua yang ada di dalam bilik tersebut. Ia agak tidak sopan jika itu berlaku. Walaupun anda sudah silent telefon anda, namun apabila telefon anda vibrate, anda pula akan terganggu. 

6. Kelihatan terdesak

Walaupun hidup anda bergantung kepada kerja yang anda sedang ditemuduga, tapi jangan tunjukkan anda terlalu terdesak untuk mendapatkan kerja itu. Jadi diri anda sendiri dan sentiasa tenang. Jika anda kelihatan terdesak, ia akan membuatkan pihak temuduga berfikiran negatif mengenai anda, walaupun mereka tidak tahu apa hal sebenarnya.

konfiden

7. Cakap perkara negatif mengenai diri anda

Memang anda perlu jujur, tapi bukan lah sehingga anda perlu menceritakan perkara negatif mengenai diri anda. Seperti contoh, jika anda sukar untuk bangun pagi, ataupun anda selalu lewat ke kerja disebabkan kesesakan lalulintas, jangan beritahu pihak temuduga, melainkan anda mempunyai jalan penyelesaian untuk mengubah situasi itu.

8. Jangan hanya tanya mengenai diri anda

Memang benar anda perlu tahu mengenai kerja anda, gaji, cuti dan sebagainya. Namun jangan terlalu obses bertanya perkara yang hanya berkaitan dengan diri anda, sebaliknya lebih baik bertanya mengenai syarikat dan bagaimana anda boleh membantu syarikat serta menyesuaikan diri di masa hadapan.

duduk

9. Berlaku tidak sopan dengan pegawai lain

Biasanya anda akan hanya menghormati individu yang menemuduga anda, dan tidak berasa pegawai-pegawai lain itu adalah penting. Ia adalah tanggapan yang salah. Anda perlu menghormati semua staf yang bekerja di situ. Disebabkan mereka tidak menemuduga anda, tak semestinya mereka tidak akan ditanya mengenai anda. Semuanya bermula dari pintu masuk sehinggalah anda meninggalkan tempat tersebut.

10. Tanya bagaimana prestasi temuduga anda

Jangan sesekali tanya di akhir temuduga bagaimana prestasi anda ataupun apa yang mereka fikirkan tentang anda. Ia seolah-olah anda mahu mereka memberikan anda jawapan dan anda tidak berhak untuk tanya perkara seperti itu. Biarkan pihak temuduga membuat kerja mereka sendiri, anda tak perlu ambil tahu. Walau seyakin mana pun anda dengan temuduga anda, tindakan ini boleh menghancurkan peluang anda untuk diterima bekerja.


tags : , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)