Secara semula jadinya tidak semua haiwan itu kelihatan cantik dan mengagumkan, terutamanya serangga pelik yang terdapat di sekeliling dunia kita. Ada antara serangga ini kelihatan seperti makhluk yang berasal dari planet lain manakala sesetengah yang lain pula agak cantik walaupun pelik.

Kebanyakan orang agak takut dengan serangga, namun serangga pelik dalam senarai yang kami ingin kongsikan bersama anda ini pasti akan membuatkan anda berasa lebih takut lagi. Berikut adalah beberapa serangga pelik yang mungkin anda tidak tahu ianya wujud.

10. Isopod gergasi

isopod gergasi

Isopod adalah serangga kecil yang kelihatan seakan ulat gonggok dan ianya hidup dalam air mahupun di darat. Akan tetapi, Isopod gergasi yang merupakan serangga laut ini kelihatan agak menakutkan.

Isopod biasanya memakan bangkai haiwan dan dianggap tidak merbahaya kepada hidupan laut yang lain. Ia biasanya hidup di dasar laut di mana keadaannya gelap-gelita. 

Isopod gergasi ini banyak mendiami Lautan Pasific, Lautan Atlantik dan juga Lautan Hindi. Bahagian bawah badan dan matanya boleh memberikan anda perasaan takut kerana ia seakan menyerupai bentuk makhluk asing.

9. Rama-rama Hummingbird

rama rama hummingbird

Rama-rama Hummingbird ini kelihatan seakan sama dengan Hummingbird (atau dikenali sebagai Burung Madu dari keluarga Burung Kelicap). Seperti Hummingbird, rama-rama Hummingbird ini juga boleh mengibaskan sayapnya dengan kelajuan tinggi dan berhenti secara statik di udara.

Spesies rama-rama ini banyak ditemui di Sepanyol, Perancis dan China. Jika dilihat dari jauh, rama-rama ini mempunyai saiz dan bentuk badan yang hampir sama seperti burung Hummingbird, dengan sesungut seakan paruh burung. Rama-rama ini aktif pada waktu malam dan juga siang.

Serangga ini juga diketahui cenderung untuk berhijrah ke Algeria, India atau negara-negara Asia Tenggara yang lain ketika musim sejuk. Rama-rama ini sering kali disalah anggap sebagai burung Hummingbird oleh pengkaji dan juga pemerhati.

8. Mentadak Bunga

mentadak bunga

Mentadak Bunga, seperti namanya akan meniru dan menyamar mengikut bunga untuk menangkap mangsanya. Teknik mendatak ini juga sering membantunya untuk mengelak daripada pemangsa berbahaya yang lain.

Serangga ini juga diketahui mempunyai kepintaran kerana ia akan memanjat sehingga pucuk pokok dan menyamar seperti sekuntum bunga sambil menunggu mangsanya dekat dalam jarak yang boleh dicapainya sebelum menyerang.

Kebiasaannya Mentadak Bunga ini berwarna merah jambu atau putih. Mentadak ini biasanya akan melambai-lambai lengannya untuk menarik perhatian mangsa seperti lalat untuk duduk di titik hitam di bahagian badannya sebelum menangkap mangsa.

7. Kumbang Titan 

kumbang titan

Kumbang Titan merupakan salah satu spesies kumbang paling besar di dunia dengan saiz ukuran maksimumnya boleh mencecah 17 cm panjang. Tiada satu spesies kumbang di hutan hujan Amazon pun yang mampu menandingi saiz Kumbang Titan ini.

Ia juga diketahui mempunyai kekuatan seperti mampu memotong sebatang pensel dengan mudah sahaja apatah lagi menembusi kulit manusia. Kumbang ini biasanya mendiami bawah kayu mati dan memerlukan masa selama beberapa tahun untuk mencapai tahap matang. Kumbang Titan ini banyak ditemui di hutan Amazon, Vanezuela, Peru dan beberapa kawasan lain di Utara Brazil.

6. Pepijat Air

pepijat air

Pepijat air yang juga dikenali sebagai "Indian toe-biters" atau "Kutu Buaya" ini banyak ditemui di sekitar Amerika Utara, Amerika Selatan dan Asia Timur. Ia juga sangat agresif secara semula jadi diketahui kerap menyerang haiwan lain seperti ikan, katak dan juga ular.

Pepijat air juga akan berlakon seolah ia mati sehinggalah mangsa mendekatinya dalam jarak yang dekat untuknya menyerang. Walaupun begitu, apabila dikira dari segi penampilannya, pepijat air ini agak menjijikkan dengan belakang badan mereka dipenuhi dengan cengkerang telur.

Ia juga diketahui akan menyebabkan kesakitan yang kuat kepada manusia apabila digigit serangga ini kerana mereka akan menyuntik cecair yang berbahaya ke dalam badan manusia.

5. Kumbang Zirafah

kumbang zirafah

Serangga ini digelar Kumbang Zirafah kerana mempunyai leher panjang yang serupa dengan zirafah. Kumbang Zirafah jantan memiliki leher yang lebih panjang, 2 atau 3 kali ganda berbanding betina. Madagascar merupakan tempat terkenal bagi penemuan baru spesies serangga dan Kumbang Zirafah ini hanya terdapat di sana sahaja.

Leher Kumbang Zirafah yang panjang ini memudahkan serangga ini membina sarang dan juga melawan pemangsa. Ketika proses pembiakan, spesies betina serangga ini akan menggulung daun sebagai perumah, sebelum menetaskan sebiji sahaja telur setiap kali bertelur.

4. Semut Madu

semut madu

Semut Madu atau dikenali juga dengan nama Semut Honeypot ini kelihatan agak menakutkan kerana bahagian perutnya yang membengkak. Semut Madu ini seperti namanya, menyimpan madu pada bahagian perutnya untuk kegunaan pada masa hadapan. Semut lain kemudiannya akan menyedut nutrisi yang berada dalam perut Semut Madu.

Kajian yang dilakukan telah membuktikan bahawa madu yang tersimpan dalam perut serangga ini agak manis, walaupun rasanya sedikit pelik. Tidak seperti lebah atau penyengat yang menimpan manisan dalam sarang mereka, semut ini menyimpan madu dalam perut mereka sepanjang masa tanpa mendepositkan dalam sarang. Semut Madu ini hanya terdapat di bahagian selatan Amerika Syarikat sahaja.

3. Kumbang Pembunuh

kumbang pembunuh

Kumbang Pembunuh ini merupakan salah satu spesies serangga paling luar biasa di dunia. Ini kerana ia membawa bangkai serangga lain di belakang badannya untuk kelangsungan hidup. Kumbang ini berupaya menyuntik air liur berbisa terhadap serangga lain seperti semut dan lipas dan akan membawa mereka semua di belakangnya.

Bulu halus yang terdapat pada badan Kumbang Pembunuh ini membantu untuk mengekalkan banyak bangkai serangga di belakangnya sambil berlawan dengan serangga lain. Enzim yang terdapat pada mulut kumbang ini mampu melarutkan tisu, di mana dapat membantunya untuk membunuh mangsa.

2. Katydid Berduri

katydid berduri

Katydid Berduri ini merupakan serangga yang mempunyai rupa yang menakutkan dan ianya boleh ditemui di hutan hujan di timur Queensland dan utara New South Wales di Australia. Seperti namanya, serangga yang kelihatan seakan belalang ini mempunyai fizikal yang penuh dengan duri tajam.

Terdapat lebih kurang 6400 spesies Katydid, akan tetapi Katydid berduri dianggap spesies paling pelik kerana penampilannya. Kebiasaannya, Katydid berduri ini akan duduk diam di atas daun atau permukaan hijau untuk menyamar bagi memerangkap serangga lain.

1. Treehopper Brazil

treehopper brazil

Anda mungkin biasa melihat riang-riang yang terkenal kerana bunyinya yang kuat, tetapi serangga yang dipanggil Treehopper Brazil ini kelihatan amat pelik berbanding serangga lain dalam dunia. Serangga ini boleh ditemui hampir di setiap benua kecuali Antarctica.

Kerana fizikalnya yang pelik, ramai penyelidik berminat untuk mengkaji serangga ini. Serangga ini mempunyai mata atau antena di atas kepalanya yang berfungsi menakutkan pemangsa lain sekiranya berasa terancam.

Bahagian atas kepala treehopper ini berbeza bergantung kepada kelainan spesies serangga ini dan boleh dikatakan kesemua nampak menakutkan dan pelik. Serangga ini banyak terdapat pada daun dan dahan pokok kerana ia biasanya menghisap daun dan pucuk sebagai diet utamanya.

Rujukan:

1. Conservation Institute

2. Listamaze

3. The Mysterious World


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)