Oleh pada 10 Jul 2021 kategori

Menyebut nama Bruce Lee - pasti ramai terus membayangkan kemampuan seorang pelakon aksi kacak yang cukup mahir seni pertahanan diri.

Nama mendiang begitu diingati walau sudah berdekad meninggalkan kita. Apa saja topik atau isu berkait dengan Bruce Lee akan menarik perhatian, dibantu penerbitan filem bercorak biografi atau semi-biografi yang memaparkan kisah hidup beliau.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada beberapa perspektif berkenaan mendiang Bruce Lee yang jarang diceritakan orang ramai tidak melibatkan kung-fu cukup menarik untuk kita ketahui. Berikut adalah lima cerita tentang bakat Bruce Lee yang lain daripada yang biasa.

1. Bruce Lee mengajar seni pertahanan diri kepada selebriti

bruce lee sharon tate

Bruce Lee terkenal sebagai guru mengajar seni pertahanan diri.

Satu kisah menarik sebelum Bruce Lee menjadi nama besar. adalah bagaimana Bruce Lee dipujuk oleh seorang penulis skrip terkenal di Hollywood bernama Stirling Silliphant untuk mengajarnya kung-fu.

Silliphant semasa bertemu Lee sudah berusia 45 tahun, jadi Silliphant diminta Lee untuk membuktikan kemampuannya terlebih dahulu. Seorang pemain pedang aktif, Silliphant berjaya meyakinkan Lee.

Bruce Lee menerimanya sebagai anak murid dengan bayaran $100 untuk sesi satu jam, menjadi orang kenamaan pertama dilatih secara peribadi. Namun Silliphant yang teruja menceritakan tentang sesi latihannya, mengakibatkan semakin ramai selebriti menampakkan minat untuk cuba dididik Lee.

Ini mengakibatkan Bruce Lee agak jengkel.

Dia dengan sengaja menaikkan yuran kepada $250 satu jam. Ini tetap tidak menghalang ramai selebriti terkenal era tersebut di Hollywood seperti pengarah Roman Polanski dan isterinya Sharon Tate serta pelakon terkenal Steve Mcqueen untuk mencuba nasib.

Demi upah, Bruce Lee ke sana ke sini menjalankan latihan yang disifatkan beliautidak mengubah apa-apa; namun dia terpaksa melakukannya kerana memerlukan wang ketika itu.

2. Bruce Lee adalah seorang ulat buku

bruce lee ulat buku

Seperti ramai kanak-kanak lain, Bruce Lee memulakan hobi membaca dengan menelaah komik berkisarkan wira kung-fu sebelum mula membaca novel bertemakan alam keperwiraan Cina atau wuxia.

Selepas berhijrah ke Amerika Syarikat, bahan bacaan Bruce Lee berkembang menggabungkan karya penulis Cina dengan bahan bacaan barat. Dia gemar membaca karya-karya klasik masyarakat Cina serta buku yang membincangkan berkenaan falsafah, selain buku berkaitan seni pertahanan diri.

Senarai buku yang dimiliki Lee menampakkan keterbukaan beliau untuk meneliti bukan saja seni pertahanan diri Cina bahkan dia juga gemar mengkaji seni dari Jepun seperti judo dan aikido, seni perlawanan pedang barat, yoga dan ilmu mistik.

Dalam perpustakaan kecil milik beliau juga terdapat sebuah buku tentang Islam yang tidak diketahui siapa penulisnya. Sama ada dia membeli buku itu sendiri atau dihadiahkan orang lain tidak diketahui apa kisah di sebaliknya.

3. Bruce Lee ada darah Yahudi?

adik beradik bruce lee

Dalam buku tulisan Matthew Polly berkenaan Lee berjudul 'Bruce Lee : A Life' ada dibincangkan berkenaan asal-usul datuk moyang kepada mendiang; lelaki bernama Mozes Hartog Bosman.

Bosman lahir pada tahun 1839 di Amsterdam, Belanda mempunyai sejarah yang menarik - dia datang dari sebuah keluarga Yahudi yang bekerja sebagai pemotong daging sebelum menyertai Syarikat Belanda Timur (VOC) yang membawanya ke Hong Kong.

Berikutan pengaruhnya, Bosman berjaya menjadi orang kenamaan di Hong Kong serta menjalinkan hubungan dengan seorang wanita tempatan bernama Sze Tai, dikurniakan enam cahayamata. Salah seorang anak kepada pasangan itu dinamakan Ho Kom-Tong membesar dalam suasana mewah, mewarisi perangai ayahnya gemar berpelesaran sehingga mempunyai ramai anak luar nikah.

Ibu Bruce Lee, Grace Ho merupakan salah seorang bayi yang lahir hasil kacukan darah Cina melalui Ho Kom-Tong dan ibunya seorang wanita Inggeris.

Grace terkenal di kalangan ahli masyarakat sebagai seorang penggerak teater menjadi seorang wanita berpengaruh dalam masyarakat. Perkahwinannya dengan seorang lelaki bernama Lee Hoi Chuen melahirkan Lee Jun Fon atau 'Bruce Lee Jun Fon.'

Status Bruce Lee sebagai seorang anak kacukan bukan berdarah Cina tulen menjadi penghalang utama untuk beliau diterima ke dalam sekolah kung-fu pada peringkat awal beliau menceburi bidang ini.

4. Bruce Lee hanya dapat C dalam subjek gimnastik

kumpulan pertama pelajar bruce lee

Lahir di San Francisco sebelum dibawa pulang ke Hong Kong oleh ayahnya, Bruce Lee memilih untuk kembali ke Amerika Syarikat pada usia 18 tahun selepas kerap berdepan masalah di tanah air sendiri.

Dia ke bandar Seattle bagi menyambung pelajaran selepas menamatkan latihan seni pertahanan diri dengan gurunya Ip Kai-Man atau 'Ip Man', menyambung pengajian sekolah tinggi di Edison Technical School (kini dikenali sebagai Seattle Community College), yang membawanya berkenalan dengan seorang lelaki tempatan pengamal judo handal bernama Jesse Glover pada tahun 1959.

Pengaruh Glover ketika itu seorang pelajar jurusan psikologi kepada Lee sangat besar, bukan saja sebagai rakan tetapi kedua-dua saling bertukar idea dalam hidup.

Glover akhirnya menjadi murid rasmi pertama Lee dalam era awal Lee memulakan sekolah pusat latihannya. Sebelum Glover sendiri akhirnya memulakan sekolah seni pertahanan diri sendiri, meneruskan aliran yang dicipta oleh Bruce.

Lee menyambung pengajian dalam bidang falsafah di University of Washington pada awal dekad 1960-an, mempamerkan pencapaian yang teruk.

Dia hanya mencatat skor GPA 1.84 keseluruhan serta diberikan gred C dalam subjek gimnastik. Namun dalam masa yang sama, dia berusaha memperkembangkan kelas kung-fu beliau serta mula menyertai kelas lakonan drama, bagi memperbaiki kemampuannya.

Selepas lebih 3 tahun dalam universiti, Lee memilih untuk tidak menamatkan pengajian sebaliknya menambah satu lagi pusat latihan ketika itu dikenali sebagai Jun Fan Gung Fu ke beberapa negeri lain di Amerika Syarikat.

5. Bruce Lee adalah seorang penari cha-cha yang hebat

bruce lee gemar menari cha cha

Walaupun terkenal sebagai seorang ahli seni pertahanan diri, latar belakang keluarga Bruce Lee yang rapat dengan pergerakan teater di Hong Kong banyak membentuk bakatnya.

Dalam masa latihannya bersama Ip Man berlangsung, Bruce turut mencari jalan lain bagi melatih kemahiran pergerakan kaki serta keseimbangan badan.

Jadi Lee menyertai kelas latihan tarian cha-cha! Dia mengambil latihan tarian ini dengan serius, sehingga berani mendaftarkan dirinya dalam pertandingan tarian Cha-Cha terbuka Hong Kong pada tahun 1958.

Oleh kerana tidak mahu mengecewakan beberapa orang teman wanitanya (yang ada) sekiranya hanya seorang terpilih menjadi teman tarian, Bruce Lee mengajak adik lelakinya Robert Lee menjadi 'pasangannya' dalam pertandingan itu.

Mereka berdua berlatih selama 3 bulan setiap hari bagi memastikan tahap persediaan mereka benar-benar mantap. Persembahan mereka berjaya memukau juri yang menamakan remaja berusia 18 dan 15 tahun itu sebagai johan pertandingan tarian cha-cha.




Hakcipta iluminasi.com (2017)