Mendapat nikmat syurga Allah S.W.T adalah matlamat utama semua orang yang bergelar Islam. Walaupun sejahat manapun seseorang itu, hatinya pasti menginginkan syurga.

Di zaman Rasulullah S.A.W, antara salah satu cara untuk mendapatkan syurga Allah S.W.T adalah dengan berkorban dalam perang-perang menentang musuh Islam sehingga syahid.

Baginda mempunyai ramai sahabat-sahabat yang sangat setia dan sanggup berkorban apa sahaja. Dan dalam semua sahabat Rasulullah S.A.W, ada di antara mereka yang telah dijamin untuk masuk syurga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan 10 sahabat Rasulullah S.A.W yang telah dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T..

1. Abu Bakar As-Siddiq R.A.

abu bakar as siddiq r a sahabat nabi muhammad s a w yang dijanjikan syurga

Abu Bakar As-Siddiq adalah lelaki pertama yang mengisytiharkan keislaman beliau kepada Rasulullah S.A.W.. Sejarah mencatatkan pengorbanan dan keberanian beliau dalam bersama-sama berjuang dengan Rasulullah S.A.W.

Malah, beliau diabadikan dalam al-Quran dalam surat at-Taubah ayat ke-40:

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah, 40)

Saidina Abu Bakar mengambil alih tampuk kepimpinan dengan menjadi khalifah yang pertama selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.. Sepanjang hidup beliau, Saidina Abu Bakar telah meriwayatkan 142 buah hadis.

2. Umar al-Khattab R.A

kisah sahabat sahabat nabi

Antara salah soerang yang paling dikasihi oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda masih hidup adalah Saidina Umar al-Khattab. Beliau merupakan khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar meninggal dunia.

Umar merupakan penentang Islam yang paling ditakuti sebelum beliau memeluk Islam. Dan apabila beliau menerima hidayah daripada Allah S.W.T yang membuatkan beliau mengucapkan kalimah syahadah, Umar menjadi benteng Islam yang paling kuat.

Ini sekaligus membuatkan kaum Quraisy teragak-agak untuk menentang Rasulullah S.A.W dan para sahabat pada ketika itu. Umar memeluk Islam pada tahun ke-6 selepas Nabi Muhammad S.A.W diangkat menjadi nabi dan rasul.

Islam berkembang dengan pesat ketika pemerintahan khalifah Umar. Dari kerajaan Parsi sehingga Rom Timur, kerajaannya hanya mengambil masa kurang dari tahun untuk menaklukinya.

3. Usman Bin Affan R.A

usman bin affan r a sahabat nabi muhammad s a w yang dijanjikan syurga

Saidina Uthman bin Affan diangkat menjadi khalifah ketiga setelah Saidina Umar meninggal dunia. Ketika pemerintahan beliau, semua tulisan wahyu yang pernah dicatatkan telah dikumpulkan dan disusun seperti yang ditetapkan oleh Rasulullah.

Ketika beliau menjadi khalifah, berlaku pertelingkahan dalam kalangan umat Islam mengenai cara bacaan al-Quran.

Disebabkan oleh itu Uthman bin Affan telah meminjam suhuf, (kumpulan penulisan al-Quran daripada Hafsa).

Kemudian Saidina Uthman telah memerintahkan empat orang sahabat untuk menyalin semula al-Quran dalam bentuk yang sempurna yang dikenali sebagai Mushaf Uthman.

Salinan Mushaf Uthman tersebut dihantar ke seluruh pusat jajahan bagi menggantikan salinan-salinan yang lain.

Usaha yang sangat hebat ini telah membuatkan wujudnya sebuah kitab suci yang ada pada hari ini, iaitu al-Quran.

Beliau memerintah selama 12 tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam. 

4. Ali Bin Abi Thalib R.A

ali bin abi thalib r a sahabat nabi muhammad s a w yang dijanjikan syurga

Saidina Ali bin Abi Thalib adalah sepupu dan menantu Rasulullah S.A.W selepas mengahwini puteri baginda iaitu Fatimah Az-Zahra.

Saidina Ali dikenali sebagai seorang yang sangat cerdas, sangat berilmu dan terkenal dengan strategi perang beliau yang menakjubkan.

Beliau merupakan Khulafa al-Rasyidin yang ke-4, memerintah dari tahun 656 hingga 661 Masihi. Penganut Syiah mengganggap beliau sebagai Imam pertama dan waris sah selepas Rasulullah SAW.

Saidina Ali sentiasa menyokong Nabi Muhammad S.A.W. semasa kezaliman terhadap orang Muslim berlaku.

Pada tahun 622 Masihi, semasa peristiwa hijrah berlaku, Saidina Ali mengambil risiko dengan tidur di katil Rasulullah S.A.W. lantas berjaya mengelakkan satu percubaan membunuh baginda.

5. Thalhah bin Ubaidillah R.A

thalhah bin ubaidillah r a sahabat nabi muhammad s a w yang dijanjikan syurga

Thalhah bin Abdullah memeluk Islam melalui perantara Saidina Abu Bakar. Beliau sangat aktif mengikuti perang-perang menentang musuh Islam termasuklah Perang BAdar.

Ketika Perang Uhud, Thalhah mengorbankan dirinya dengan mempertahankan Rasulullah S.A.W ketika mana baginda dihunus pedang oleh musuh, yang membuatkan jari-jarinya beliau putus.

Rasulullah S.AW menggelarkan Thalhah sebagai "Syahid yang hidup" kerana keadaan fizikalnya ketika itu yang sudah cedera akibat terlibat dengan banyak pertempuran bersama baginda.

Hadis Nabi berkenaan kehebatan beliau:

"Barangsiapa yang ingin melihat syahid yang sedang berjalan di muka bumi ini, lihatlah pada Talhah ibn Ubaidillah"

Beliau gugur dalam Perang Jamal ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan jenazah beliau dimakamkan di Basrah, Iraq.

6. Zubair Bin Awwam

zubair bin awwam sahabat nabi muhammad s a w yang dijanjikan syurga

Sama seperti Thalhah, Zubair bin Awwam juga memeluk Islam melalui Saidina Abu Bakar.

Zubair pernah berhijrah ke Habsyah sebanyak 2 kali dan sangat aktif dalam menyertai peperangan.

Zubair adalah perajurit dakwah yang berani menyandang senjata untuk melawan orang-orang yang hendak menghalang penyebaran Islam.

Kepahlawanannya dibuktikan pertama kali dalam Perang Badar. Dalam peperangan itu, pasukan Quraisy menempatkan pendekar hebat mereka di barisan paling hadapan yang dipimpin oleh Ubaidah bin Said Ibnul Aash.

Beliau dikenali sebagai seorang yang paling berani, mahir dalam menunggang kuda dan paling kejam terhahdap lawannya.

Walaupun seluruh tubuh Ubaidah berbalut dengan baju besi sehingga menyukarkan senjata menembusinya, Zubair tidak gerun dan tetap bertempur yang melihatkan pertempuran hebat antara kedua-dua pahlawan.

Akan tetapi, kehebatan Zubair tidak dapat disangkal Ubaidah apabila Zubair berjaya menghunus lembingnya ke mata Ubaidah yang akhirnya menusuk kedua-dua mata hingga ke belakang kepala. 

Zubair juga gugur dalam Perang Jamal seperti Thalhah dan dimakamkan di Basrah ketika berusia 64 tahun.

7. Sa’ad Bin Abi Waqqas

sa ad bin abi waqqas sahabat nabi muhammad s a w yang dijanjikan syurga

Sa'ad Bin Abi Waqqas merupakan antara salah seorang yang memeluk Islam ketika masih remaja di usia 17 tahun. Beliau sangat berani memandangkan telah menyertai semua peperangan Islam.

Sa’ad berpangkat bapa saudara kepada Nabi Muhammad S.A.W kerana beliau merupakan sepupu ibu baginda, Aminah binti Wahab yang merupakan suku kaum Bani Zuhrah dan berasal dari kota Makkah.

Beliau mempunyai tubuh yang agak rendah tetapi tegap serta memiliki rambut hitam yang lebat.

Semasa umat Islam masih ditindas di Makkah pada awal penyebaran Islam, Sa'ad pernah membelasah dan mencederakan seorang musyrikin, menjadikan beliau orang pertama menumpahkan darah dalam sejarah Islam.

Ketika pemerintahan Khulafa al-Rasyidin ke-3, iaitu Saidina Uthman bin Affan, Sa'ad dilantik untuk mengetuai rombongan umat Islam ke tanah besar China untuk menyebarkan agama Islam di sana sekaligus menyebabkan Sa'ad dikenali sebagai perintis kepada permulaan tamadun Islam di China.

makam sa ad bin abi waqqas

Sa’ad bin Abi Waqqas kemudian menetap di Guangzhou dan dia mendirikan Majid Huaisheng yang menjadi salah satu tonggak sejarah paling berharga dalam sejarah Islam di China.

Masjid ini menjadi masjid tertua yang ada di daratan China dan ia sudah berusia 1300 tahun terletak di jalan Ta Lu Guang.

Pelawat yang tiba di Guangzhou merasa tidak lengkap jika tidak menjejakkan kaki di makam Sa’ad bin Abi Waqqas. Namun, ada yang mengatakan bahawa Sa’ad bin Abi Waqqas meninggal di Baqi ‘, dekat Madinah, dan dimakamkan makam daerah sahabat.

8. Sa’id Bin Zaid 

sa id bin zaid sahabat nabi muhammad s a w yang dijanjikan syurga

Sa’id Bin Zaid adalah suami kepada Fatimah binti al-Khattab, adik kepada Saidin Umar bin Khattab.

Beliau merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam dan sangat menjunjung tinggi adab Islam. 

Sa'id mengikuti semua peperangan yang disertai Rasulullah S.A.W kecuali Perang Badar. Ketika itu, baginda mengutus beliau untuk mengintai kafilah Quraisy.

Sekembalinya beliau dari tugas tersebut, perang sudah pun tamat. Meskipun begitu, Sa'id tetap dianggap terlibat dalam perang itu dan mendapat harta rampasan perang.

Sa'id meninggal di Aqiq, 100 kilometer di selatan kota Madinah dan jenazah beliau dimakamkan di Madinah.

9. Abdur Rahman Bin Auf

abdurrahman bin auf

Melalui Saidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf mengucapkan syahadah ketika beliau masih kecil.

Beliau menggunakan nama Abdul Rahman selepas memeluk Islam, iaitu 2 hari selepas keislaman Saidina Abu Bakar.

Seperti kebanyakan sahabat Rasulullah S.A.W, Abdurrahman juga mengikuti semua peperangan bersama baginda.

Abdur Rahman juga merupakan ahli jawatankuasa Syura berenam. Sewaktu pemilihan khalifah ke-3 selepas peristiwa pembunuhan Saidina Umar Al-Khattab, beliau merupakan salah seorang calonnya.

kisah para sahabat

Namun, Abdul Rahman enggan sebaliknya menetapkan pemilihan khalifah jatuh kepada Saidina Uthman bin Affan.

Beliau terkenal sebagai seorang sahabat Rasullah S.A.W yang sanggup berkorban dan berjihad di jalan Allah S.W.T..

Beliau sanggup menyumbangkan barang-barang keperluan yang dimuatkan di atas 700 ekor unta penduduk Madinah.

Abdul Rahman juga menjual tanahnya dengan harga 40 ribu dinar dan membahagikan harta tersebut kapada kaumnya, isteri-isteri nabi dan fakir miskin.

10. Abu Ubaidah bin al-Jarrah

Abu Ubaidah bin al-Jarrah atau nama sebenarnya Amir ibn Abdullah ibn al-Jarrah salah seorang Muhajirin yang hadir semasa saqifah Bani Sa'ad.

Beliau berasal dari kaum Quraisy, suku al-Harith ibn Fihr. Abu Ubaidah adalah antara sahabat Rasulullah S.A.W yang terawal dan merupakan antara sahabat yang berhijrah ke Habsyah, dan kemudian ke Madinah.

Dalam satu peristiwa dalam Perang Uhud, Abu Ubaidah menunjukkan keberanian dan kesetiaannya kepada Rasulullah S.A.W.. Dalam perang tersebut, beliau yang melihat baginda tercedera dengan sepantas kilat meluru ke arah Rasulullah S.A.W

Abu Ubaidah kemudiannya mencabut besi yang tertusuk pada rahang baginda menggunakan dua gigi hadapan beliau.

Antara hadis-hadis Rasulullah S.A.W mengenai kelebihan Abu Ubaidah adalah:

  1. "Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah"
  2. "Tiga orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy memiliki sifat yang terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu Bakar, Uthman bin Affan dan Abu Ubaidah al-Jarrah"

makam abu ubaidah bin al jarrah 939

Salah seorang sahabat Rasulullah dan pahlawan Islam terkemuka iaitu Khalid Al-Walid segan dan kagum akan kehebatan serta karisma Abu Ubaidah. Sehingga dalam peperangan menentang Rom Byzantine, sewaktu proses penyerahan tugas dari Abu Ubaidah kepada beliau, Khalid berkata:

"Demi Allah, kalau bukan kerana mematuhi arahan khalifah, aku tidak akan memerintahkan kamu ataupun berada di atas kamu. Kamu lebih mulia dari aku. Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang sahabat Nabi. Tapi kamu adalah yang dihormati. Kamulah yang baginda panggil 'Penjaga Amanah Umat'."

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, Abu Ubaidah merupakan antara calon pilihan Abu Bakar untuk menjadi khalifah bersama Umar.

Namun umat Islam ketika itu sepakat untuk memilih Abu Bakar sebagai Khalifah Rasulullah yang pertama.

Beliau juga dikenali oleh orang Islam dan Yahudi Madinah pada ketika itu sebagai perunding dan pembuat keputusan yang terbaik di kalangan para sahabat.

Rujukan:

1. Muslim Inc

2. Satujam

3. Muwatta




Hakcipta iluminasi.com (2017)