kerjaya sebagai seorang guru

(Kredit: Instagram Cikgu Afifah)

Setuju atau tidak, kerjaya sebagai seorang guru atau tenaga pengajar tidaklah begitu diraikan di seluruh dunia. Malah, tugas sebagai seorang guru adalah antara yang paling sukar dan rumit di mana mereka bukan sahaja mengajar dari segi akademik tetapi juga membentuk sahsiah dan jati diri pemimpin masa depan.

Selain daripada mesej "Selamat Hari Guru" secara sepintas lalu di media sosial atau nota "Terima kasih" di pengujung semester, adakah kita benar-benar meraikan mereka yang berada dalam bidang mulia ini? 

Namun, hal ini sangat berbeza di kebanyakan bahagian di Asia.

Menurut satu kajian yang dilakukan di Penyelidikan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan dengan kerjasama Yayasan Varkey, negara-negara Asia cenderung untuk memandang jawatan guru lebih tinggi berbanding dengan bahagian lain di dunia.

guru di malaysia antara yang paling dihormati di seluruh dunia

(Kredit: Astro Awani)

Paling ketara, China, Malaysia dan Taiwan berada di 3 kedudukan teratas dalam kajian ini yang dikenali sebagai Indeks Status Guru Global 2018 atau GTSI 2018.

Malah, negara-negara Asia menggondol hampir kesemua 10 kedudukan teratas dalam indeks ini yang mana merupakan satu tinjauan antarabangsa untuk menilai peranan status sosial dalam kedudukan guru di setiap negara.

Para guru di negara-negara ini didapati sangat dihormati dan dipandang tinggi, satu faktor yang harus dipertimbangkan bagi mereka yang ingin mengajar di luar negeri.

Negara-negara Asia lain yang menduduki kedudukan 10 teratas termasuklah Indonesia, Korea Selatan, India dan Singapura.

guru antara kerjaya yang paling tidak diraikan

(Kredit: JPN Terengganu)

Menurut laporan BBC, kajian ini adalah susulan kepada penyelidikan serupa terhadap sikap mengajar 5 tahun yang lalu, berdasarkan tinjauan ke atas 35,000 orang awam.

Hasil kaji selidik itu dibentangkan dalam 5 bahagian iaitu:

  1. Status guru dan perhitungan GTSI 2018
  2. Mengajar sebagai satu kerjaya
  3. Pendapatan dan jumlah jam bekerja
  4. Pandangan yang lebih menyeluruh dan tersirat terhadap status serta GTSI dan bagaimana ia berkaitan dengan GTSI 2013
  5. Memahami Hubungan Utama antara GTSI 2018, guru, dan hasil Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA( murid

Sunny Varkey, pengasas Yayasan Varkey berkata, "Indeks ini akhirnya memberikan bukti akademik kepada sesuatu yang selalu kita ketahui secara semulajadi iaitu hubungan antara status guru dalam masyarakat dan prestasi kanak-kanak di sekolah."

"Kini kita dapat mengatakan dengan yakin bahawa menghormati guru bukan sahaja satu tugas moral yang sangat penting tetapi ia tersangat penting untuk hasil pendidikan negara" - Sunny Varkey

Di China, kaji selidik mendapati bahawa 81% orang percaya bahawa murid menghormati guru mereka, berbanding dengan purata antarabangsa iaitu pada tahap 36%.

penerima anugerah tokoh guru kebangsaan 2019 nawi ismail dan tokoh kepemimpinan pendidikan kebangsaan 2019 datuk asariah mior shaharuddi

(Penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail dan Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019, Datuk Asariah Mior Shaharuddin, Kredit: MalaysiaAktif)

Berlawanan dengan ini, Brazil, Israel dan Itali merupakan negara di mana para guru dipandang pada kedudukan sosial terendah.

Laporan itu menyatakan bahawa murid-murid di 10 negara teratas, seperti China dan Singapura, juga merupakan kumpulan pelajar terbaik dalam ujian antarabangsa.

Oleh itu, para penyelidik mencadangkan bahawa profesion yang dianggap baik dan hormat seperti mengajar menarik kakitangan yang berbakat dan berdedikasi, yang mana memainkan peranan penting dalam mencapai piawaian yang tinggi.

Satu lagi persoalan mengenai kaji selidik ini telah mengajukan soalan kepada ibu bapa sama ada mereka melihatkan kerjaya ini sebagai kerjaya yang wajar bagi anak-anak mereka.

Di China, India, dan Ghana, jumlah ibu bapa yang mengatakan mereka akan menggalakkan anak-anak mereka untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini adalah sangat tinggi.

guru di china paling dihormati di dunia

(Guru di China paling dihormati di dunia)

Walau bagaimanapun, jawapan dari tinjauan di Rusia, Israel dan Jepun menunjukkan bahawa ibu bapa secara aktif tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk menjadi guru.

Hasil dari kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa orang ramai memandang rendah jumlah masa kerja oleh guru, di kebanyakan negara yang dikaji termasuklah di Panama atau Mesir yang mana tempoh kerja guru adalah antara yang paling singkat di dunia.

"Apabila kami mengendalikan Indeks Status Guru Global 5 tahun yang lalu, kami terkejut dengan bukti yang menunjukkan kepada status guru yang rendah di seluruh dunia. Inilah yang memberi inspirasi kepada kami untuk mencipta Hadiah Guru Global, yang menyinari segala usaha dan titik peluh yang dilakukan para guru di seluruh dunia" - Sunny Varkey

Ia merupakan sesuatu yang amat menggembirakan kerana sejak Indeks Status Guru Global yang pertama, berlaku kenaikan sederhana terhadap status guru di seluruh dunia.

Namun masih banyak yang harus dilakukan dan dilalui sebelum semua guru di seluruh dunia diberikan penghormatan yang mereka sepatutnya terima.

Lagipun, guru adalah golongan yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan dunia.

Ini adalah senarai 10 negara yang paling menghormati guru:

  1. China
  2. Malaysia
  3. Taiwan
  4. Rusia
  5. Indonesia
  6. Korea Selatan 
  7. Turki
  8. India
  9. New Zealand
  10. Singapura

Rujukan:

1. Varkey Foundation

2. Study International

3. Nea Today



Hakcipta iluminasi.com (2017)