Tenaga solar dihasilkan daripada radiasi cahaya matahari. Matahari adalah sumber tenaga yang sangat kuat, dan sumber tenaga ini boleh dimanfaatkan dengan pemasangan panel solar. Tahukah anda bahawa tenaga yang dihasilkan oleh matahari kepada bumi untuk tempoh satu jam, boleh mencapai keperluan penggunaan tenaga secara global untuk tempoh satu tahun? Kita hanya mampu memanfaatkan 0.001 peratus daripada tenaga tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Terdapat alasan mengapa tenaga solar telah menjadi satu topik hangat apabila berbicara tentang pembaharuan. Ketika ia dikritik secara meluas kerana harganya yang mahal dan tidak terlalu efisyen, tenaga solar kini telah terbukti menjadi sangat berguna - tidak hanya untuk alam sekitar tetapi juga bagus jika diambil kira tentang faktor perbelanjaan. Tambahan lagi, disebabkan oleh permintaan yang tinggi, teknologi telah ditambah baik dengan ketara, menjadi sumber tenaga yang bersih yang sangat berkesan.
Tetapi ia terpulang kepada setiap individu untuk memutuskan samada penggunaannya adalah bagus atau tidak, dan ia boleh diputuskan dengan mengambil tahu tentang kelebihan, kebaikan dan juga keburukan yang ada jika mahu mengaplikasikannya.
Kelebihan Tenaga Solar
1. Sumber Tenaga Yang Boleh Diperbaharui
Dari semua kebaikan yang ada pada panel solar, perkara yang paling penting adalah tenaga solar ini boleh diperbaharui. Ia boleh dimanfaatkan di mana-mana kawasan diseluruh dunia dan sentiasa ada pada setiap hari. Tenaga solar tidak akan habis, tidak seperti beberapa sumber tenaga yang lain. Tenaga solar akan sentiasa boleh dihasilkan selagi mana wujudnya matahari, jadi cahaya matahari akan sentiasa ada untuk kita sekurang-kurangnya selama 5 bilion tahun, iaitu tempoh sebelum matahari akan 'mati' mengikut kajian saintis.
2. Mengurangkan Bil Elektrik
Memandangkan tenaga solar mampu memberikan keperluan yang sama seperti mana yang anda mahukan dengan menggunakan tenaga elektrik, jadi ia akan mengurangkan bil anda. Berapa banyak yang anda boleh berjimat bergantung kepada saiz sistem solar tersebut dan juga tenaga elektrik atau penggunaan haba. Malah, bukan sahaja anda boleh menjimatkan penggunaan elektrik, tetapi jika anda menjana lebih banyak tenaga elektrik daripada apa yang anda gunakan, lebihan tersebut akan dieksport kembali ke grid dan anda akan menerima pembayaran bonus untuk jumlah tersebut (memandangkan sistem panel solar anda disambungkan ke grid). Simpanan boleh terus berkembang jika anda menjual lebihan elektrik pada kadar yang tinggi pada siang hari dan kemudian membeli elektrik dari grid pada waktu petang ketika harganya adalah lebih rendah(di Malaysia boleh rujuk kepada TNB).
3. Aplikasi Yang Pelbagai
Tenaga solar boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Anda boleh menjana elektrik (photovoltaics) atau haba (solar thermal). Tenaga solar boleh digunakan untuk menghasilkan elektrik di kawasan tanpa akses kepada grid tenaga, untuk menapis air di kawasan dengan bekalan air bersih yang terhad dan kepada satelit kuasa di ruang angkasa. Tenaga solar juga boleh dimasukkan ke dalam bahan yang digunakan untuk pembinaan bangunan. Tidak lama dahulu Sharp telah memperkenalkan tingkap telus tenaga solar.
4. Kos Penyelenggaraan Yang Rendah
Sistem tenaga solar secara umumnya tidak memerlukan banyak penyelenggaraan. Anda hanya perlu memastikannya sentiasa bersih, jadi dengan membersihkannya beberapa kali dalam setahun sudah mencukupi. Jika masih ragu-ragu, anda sentiasa boleh bergantung kepada syarikat pembersihan yang khusus, dengan kos yang tidaklah begitu tinggi. Pengeluar panel solar yang boleh dipercayai selalunya memberikan jaminan sehingga 20-25 tahun. Malah, disebabkan ia tidak mempunyai mana-mana bahagian yang bergerak, jadi tidak ada bahagian yang akan haus dan lusuh. Inverter adalah satu-satunya bahagian yang perlu diubah selepas 5-10 tahun kerana ia secara berterusan berfungsi untuk menukarkan tenaga solar kepada tenaga elektrik dan haba. Selain inverter, kabel-kabel yang ada juga memerlukan penyelenggaraan untuk memastikan sistem tenaga solar anda berjalan dengan kecekapan maksimum. Oleh itu, selepas menampung kos awal sistem solar, anda hanya memerlukan perbelanjaan yang rendah untuk penyelenggaraan dan kerja pembaikan.
5. Pembangunan Teknologi
Teknologi dalam industri tenaga solar sentiasa berkembang maju dan peningkatan akan terus berlaku pada masa akan datang. Inovasi dalam quantum physics dan nanotechnology berpotensi meningkatkan keberkesanan panel solar dan mampu meningkatkan input elektrik sistem tenaga solar secara berganda, atau mungkin juga sebanyak tiga kali ganda.
Kekurangan/Keburukan Tenaga Solar
1. Kos Yang Tinggi
Kos awal untuk membeli sistem solar cukup tinggi. Sebagai contoh, walaupun jika kerajaan memperkenalkan beberapa skim untuk menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, anda masih perlu menampung kos pendahuluannya. Ini termasuk membayar harga panel solar, inverter, bateri, pendawaian dan pemasangan. Walau bagaimanapun, teknologi solar sentiasa berkembang, jadi tidak salah untuk menganggap bahawa harganya akan turun pada masa akan datang.
2. Bergantung Pada Keadaan Cuaca
Walaupun tenaga solar masih boleh dikumpulkan pada hari-hari dimana cuaca yang mendung dan hujan, kecekapan sistem solar tersebut akan berkurangan. Panel solar bergantung kepada cahaya matahari sepenuhnya untuk mengumpul tenaga solar secara berkesan. Oleh itu, jika cuaca yang mendung dan hujan berterusan selama beberapa hari, ia boleh memberi kesan yang ketara kepada sistem tenaga tersebut. Malah, anda juga perlu ingat bahawa tenaga solar tidak boleh dikumpulkan pada waktu malam. Sebaliknya, jika anda memerlukan sistem pemanasan air anda untuk berfungsi pada waktu malam atau semasa musim sejuk (di negara dengan empat cuaca), panel termodinamik adalah alternatif yang boleh dipertimbangkan.
3. Penyimpanan Tenaga Solar Adalah Mahal
Tenaga solar harus digunakan dengan kadar segera, atau ia boleh disimpan di dalam bateri yang besar. Bateri ini, yang digunakan dalam sistem solar yang tidak disambungkan ke grid, boleh dipasang pada siang hari supaya tenaga yang disimpan boleh digunakan pada waktu malam. Ini adalah penyelesaian yang baik untuk menggunakan tenaga solar sepanjang hari tetapi pada masa yang sama ia juga agak mahal. Dalam kebanyakan kes, adalah lebih bagus untuk menggunakan tenaga solar pada waktu siang dan mengambil tenaga dari grid pada waktu malam (anda hanya boleh melakukan ini jika sistem anda disambungkan ke grid). Apa yang menguntungkan adalah permintaan tenaga biasanya lebih tinggi pada waktu siang jadi kita dapat memenuhi sebahagian besarnya dengan penggunaan tenaga solar.
4. Menggunakan Ruang Yang Banyak
Semakin banyak tenaga elektrik yang anda ingin hasilkan, semakin banyak dan semakin besar panel solar yang anda perlukan kerana anda perlu mengumpul sebanyak mungkin cahaya matahari. Panel solar memerlukan ruang yang besar dan sesetengah bumbung rumah atau mana-mana bangunan tidak cukup besar untuk disesuaikan dengan jumlah panel solar yang anda inginkan. Salah satu alternatif yang anda boleh lakukan adalah dengan memasang beberapa panel solar di bahagian halaman rumah atau pejabat anda tetapi ia perlu mempunyai akses kepada cahaya matahari. Bagaimanapun, jika anda tidak mempunyai ruang yang cukup untuk memasang semua panel yang anda mahu, anda hanya boleh mendapatkan tenaga yang lebih sedikit namun sudah mencukupi jika ia sudah mampu memberikan sebanyak mana tenaga yang sebenarnya anda mahukan.
5. Berkaitan Dengan Pencemaran
Walaupun pencemaran yang berkaitan dengan sistem tenaga solar adalah jauh lebih rendah berbanding dengan sumber tenaga yang lain, ia masih boleh dikaitkan dengan pencemaran. Pengangkutan dan pemasangan sistem solar telah dikaitkan dengan pelepasan gas rumah hijau. Terdapat juga bahan-bahan toksik dan produk berbahaya yang digunakan semasa proses pembuatan photovoltaic solar, yang secara tidak langsung boleh menjejaskan alam sekitar. Walau bagaimanapun, pencemaran yang dihasilkan oleh tenaga solar masih jauh lebih rendah berbanding sumber tenaga alternatif yang lain.
Rujukan: GreenMatch