Ramai di antara kita tahu Yang Di-Pertuan Agong, individu bergelar ketua negara dalam sistem demokrasi berperlembagaan negara kita - sebagai pemimpin nombor satu Malaysia.
Diberikan kuasa untuk mengesah dan mengiktiraf perlantikan ketua kepada badan eksekutif, ketua kepada badan kehakiman, lantikan senator serta bergelar pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan suruhanjaya jelas memberikan kelebihan besar YDP Agong dalam aspek skop pentadbiran kerajaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun jika kita selidik ada beberapa aspek berkait bidang kuasa dan hak YDP Agong itu sendiri sebenarnya agak kurang, jika kita bandingkan dengan seorang ahli parlimen biasa. Apa kelemahan yang ada?
1. Timbalan YDP Agong tidak boleh dilantik berdasarkan pilihan Baginda
Dalam sistem parlimen kita seorang Perdana Menteri mempunyai kuasa penuhmenentukan keperluan beliau untuk mempunyai seorang Timbalan, bergelar Timbalan Perdana Menteri.
Ini kerana jawatan tersebut tidak wujud secara rasmi dalam perlembagaan negara kita, tetapi dibenarkan kewujudannya atas kuasa atau pilihan Perdana Menteri sendiri.
Berbeza dengan seorang Perdana Menteri - YDP Agong wajib mempunyai seorang Timbalan bagi memangku jawatan Baginda, sekiranya Baginda sakit atau ke luar negara.
Timbalan YDP Agong juga dilantik sama seperti bagaimana YDP Agong dilantik, berdasarkan kepada turutan giliran perlantikan mengikut Raja-Raja Negeri; yang telah disusun dalam perlembagaan kita.
2. YDP Agong tidak boleh memanjangkan penggalnya
Semua YDP Agong yang dilantik hanya memegang kuasa selama satu penggal, bersamaan lima tahun maksima.
Selepas tamat tempoh tersebut, tidak ada sebarang kelonggaran untuk YDP Agong memanjangkan tempoh kuasanya - melainkan kesemua Raja-Raja dalam giliran bersetuju untuk tidak menggalas jawatan tersebut, meletakkan kembali bekas YDP Agong sebagai pilihan utama.
Dalam parlimen kita, cadangan dan idea untuk seorang Perdana Menteri hanya dibenarkan menjawat jawatan tersebut secara maksima 2 penggal atau 10 tahun masih belum benar-benar dapat dilaksana.
Ini bermakna seandainya seorang Perdana Menteri masih mendapat mandat untuk menjadi ketua badan eksekutif walaupun melebihi 2 penggal sekalipun - dia boleh meneruskannya.
3. YDP Agong tidak boleh bercuti sesuka hati
Kisah bagaimana ahli parlimen kita bebas bergerak ke sana ke mari, sekejap ada dalam negara, tiba-tiba dah sampai ke benua berbeza untuk bermacam tujuan baik peribadi ataupun urusan kerja, biasa kita dengar.
Ini kerana dalam undang-undang kita, seorang ahli parlimen atau lebih tepat ahli Dewan Rakyat tidak ada kekangan untuk ke luar negara dalam tempoh tertentu; asalkan mendapat kebenaran daripada Yang Di-Pertuan Dewan Rakyat, apabila melibatkan persidangan parlimen.
YDP Agong tidak ada kebebasan sebegitu.
Jelas termaktub dalam perlembagaan kita seorang YDP Agong tidak boleh meninggalkan persekutuan (yakni Malaysia) melebihi 15 hari melainkan untuk tujuan lawatan rasmi sebagai Ketua Negara.
Nak keluar pun, seorang YDP Agong perlu memaklumkan kepada Majlis Raja-Raja tentang niatnya terlebih dahulu bagi mendapatkan kebenaran.
4. YDP Agong dan Permaisuri tidak boleh memegang dua jawatan serentak
Di kalangan ahli parlimen, ramai di antara mereka memegang beberapa jawatan serentak.
Sebagai contoh, seorang Perdana Menteri boleh juga bergelar Menteri Kewangan. Seorang ahli parlimen boleh bergelar ahli dewan undangan negeri serentak. Itu dua contoh yang biasa kita nampak.
Situasi ini tidak terpakai kepada individu bergelar YDP Agong.
Tatkala Baginda mengangkat sumpah menjawat jawatan sebagai Ketua Negara, fungsi beliau sebagai Raja kepada negeri Baginda dianggap terlucut atau tertangguh kecuali tanggungjawab sebagai Ketua agama Islam negeri.
Isteri Baginda iaitu Raja Permaisuri Agong juga dikenakan kekangan serupa. Bagi seorang YDP Agong dan Permaisuri Baginda, mereka tidak lagi boleh memegang jawatan yang membawa pendapatan serta melibatkan diri dalam apa saja bentuk perusahaan komersial.
Bagi ahli parlimen, tidak ada kekangan sama dikenakan kepada pasangan mereka.
5. YDP Agong hilang kuasa apabila dituduh di mahkamah
Ekoran insiden yang pernah berlaku melibatkan konfrontasi di antara kerajaan pusat dengan Majlis Raja-Raja berkait kekebalan Raja-Raja daripada didakwa di mahkamah, insiden itu telah meninggalkan perubahan besar kepada masyarakat kita.
Tahukah anda, dalam perlembagaan negara mengikut Perkara 33A (1), sekiranya seorang YDP Agong dituduh atas suatu jenis kesalahan di mahkamah - secara automatik Baginda dianggap hilang kelayakan untuk meneruskan fungsi Baginda sebagai YDP Agong.
Tidak perlu kes itu sampai ke peringkat prima facie atau membela diri, cukup sekadar tuduhan atau dakwaan. Bagi ahli parlimen atau dewan undangan negeri, peraturan sama tidak terpakai.
Seorang wakil rakyat dianggap masih layak meneruskan tanggungjawab sebagai seorang yang dilantik, walaupun beliau menghadapi tuduhan atau sudah dalam perbicaraan.
Dari segi undang-undang, tidak ada keperluan untuk seorang wakil rakyat melepaskan jawatan atau 'dicutikan' sekiranya dia sibuk ke mahkamah, walaupun ada desakan sebegitu sering kedengaran.
Bagaimana? Menarik tak taksiran bagaimana perlembagaan negara kita mendefinisikan kuasa dan kekangan yang ada di antara YDP Agong dengan wakil rakyat?
Apa pendapat anda dalam isu ini? Wujudkah keperluan untuk wakil-wakil rakyat kita sama-sama dikenakan kekangan yang sedia ada digalas Ketua Negara demi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kuasa?
Nyatakan pendapat anda.