Kasino atau tempat perjudian adalah antara perniagaan yang mempunyai keuntungan paling tinggi di seluruh dunia. Sumber keuntungan mereka datang daripada sifat tamak pelanggan sendiri.

casino

Walaupun sering kalah dan kehabisan banyak wang, kaki judi akan terus mencuba nasib di kasino. Apakah yang membuatkan pelanggan terus berharap agar menang besar? Sebenarnya, terdapat helah yang digunakan kasino agar pelanggan terus berjudi dan berikut adalah beberapa di antaranya.

1. Permaidani pelik

karpet kasino

Kebanyakan kasino akan menghiasi lantai mereka dengan permaidani yang anda tidak sanggup gunakan di rumah. Ia biasanya mempunyai corak hodoh dan warna yang terang.

Namun, corak pelik dan warna terang ini boleh mewujudkan rasa semangat dan bertenaga terhadap pemain berbanding permaidani bercorak biasa dan berwarna lembut.

Pemain juga akan cenderung untuk memerhatikan meja dan mesin judi berbanding permaidani. Citarasa buruk ini jelas memberikan keuntungan besar.

2. Tiada jam atau tingkap

kasino

Sebahagian besar kasino tidak mempunyai jam atau tingkap. Ia adalah untuk membuatkan pelanggan tidak menyedari masa yang berlalu dan terus membelanjakan wang mereka.

Walaupun pelanggan boleh memeriksa masa pada jam atau telefon sendiri, masa yang berlalu tidaklah begitu terasa. Kasino juga tidak mahu pelanggan menyedari perubahan malam dan siang supaya mereka tidak terasa menghabiskan masa yang lama di dalam. 

3. Minuman, makanan dan bilik percuma

minuman percuma kasino

Kebanyakan kasino menjaga pelanggan dengan menawarkan minuman, makanan malah bilik percuma. Kasino tidak mahu pelanggan meninggalkan meja atau mesin kerana lapar atau dahaga.

Sesetengah kasino malah memberikan bilik percuma kepada pelanggan yang berbelanja besar untuk berehat dan kembali pada keesokan harinya. Siapa yang tidak suka benda percuma?

4. Tema

tema mesin slot

Hampir kebanyakan mesin judi di kasino mempunyai tema berbeza. Terdapat mesin slot dengan tema seperti cowboy, wheel of fortune, 007, lord of the rings dan banyak lagi. 

Setiap tema ini mempunyai cara permainan dan jumlah pembayaran yang berbeza. Kepelbagaian tema membuatkan pemain tidak berasa jemu dan mudah menarik minat mereka terhadap tema-tema tertentu. 

5. Susunan mesin judi

susunan mesin kasino

Strategi susunan meja dan mesin judi di kasino adalah penting bagi menarik minat pelanggan. Mesin disusun seperti maze (pagar sesat) agar pelanggan berpusing-pusing di dalamnya.

Malah, lorong laluan juga dijadikan sedikit sempit supaya pelanggan lebih hampir dengan mesin apabila berjalan. Susunan yang agak rapat membuatkan pelanggan boleh mendengar jika ada pemain lain yang memenangi jackpot sekali gus menaikkan semangat mereka.

6. Ilusi mengawal keadaan

craps casino

Tidak seperti mesin slot, permainan di meja membuatkan pemain berasa mereka dalam kawalan. Ada permainan meja yang membolehkan pemain melemparkan dadu atau memilih nombor sendiri untuk ditaruhkan.

Permainan seperti Blackjack pula membolehkan pemain meminta kad seterusnya atau menggandakan taruhan. Keadaan ini memberikan pemain ilusi mengawal keadaan dan percaya mereka mampu memenangi wang lumayan.

7. Mata ganjaran

kad loyalty kasino

Cara kasino membuatkan pelanggan tidak bertukar ke kasino lain adalah dengan memberikan mata ganjaran. Pemain boleh mengumpul mata ganjaran untuk ditebus dengan minuman, makanan, bilik atau hadiah lain. Mata ganjaran ini akan dikumpul di dalam "Loyalty Card" atau "Reward Card".

Walaupun kalah banyak wang, pemain merasakan mereka masih memperolehi faedah daripada mata ganjaran ini. Kasino tidak mahu pemain menyedari berapa banyak wang yang dihabiskan sebaliknya fokus kepada mata ganjaran dan hadiah yang boleh ditebus.

8. Mesin ATM

atm kasino

Kasino menyediakan mesin ATM (automated teller machine) di setiap penjuru premis bagi memudahkan pelanggan mengeluarkan wang tanpa perlu berjalan jauh. Pelanggan juga boleh mendapatkan pendahuluan tunai daripada kasino menggunakan kad kredit.  

Ia adalah kemudahan yang sangat menguntungkan dan dapat mengelakkan pelanggan daripada berubah fikiran apabila perlu keluar dari kasino untuk mendapatkan wang. Namun, cas menggunakan kad kredit dan ATM di kasino adalah lebih tinggi.

9. Pencahayaan dan bunyi

jackpot

Suasana di dalam kasino adalah seperti sebuah pesta yang berterusan di mana pencahayaan dan bunyi memainkan peranan penting. Lagu yang ceria dan cahaya yang berkelip-kelip akan membuatkan pemain sentiasa bersemangat dan tertarik untuk bermain.

Pada hari ini, kebanyakan mesin slot akan membuat bayaran secara digital. Namun, ia tetap mengeluarkan bunyi seperti syiling jatuh walaupun tiada yang bermain. Bunyi kuat dan kelipan lampu kemenangan jackpot ini membuatkan pemain lain rasa begitu hampir dengan kemenangan.

10.  Mesej terselindung

mesej terselindung kasino 525

Terdapat banyak mesej terselindung atau subliminal messages di dalam sesebuah kasino yang mampu mempengaruhi psikologi pelanggan. Antaranya ialah seperti poster pemain tersenyum riang dengan kemenangan mereka.

Malah, terdapat ratusan perkataan "jackpot", "win" dan "lucky" di dalam kasino. Keadaan ini mencipta suasana seperti kemenangan itu adalah pasti dan membuatkan pemain berasa bertuah.

** Agama Islam mengharamkan judi atau sebarang bentuk perjudian ke atas umatnya. Walau bagaimanapun, judi juga banyak keburukannya bagi mereka yang bukan beragama Islam. Elak daripada terjerumus dalam ketagihan judi sama ada secara langsung atau atas talian.



Hakcipta iluminasi.com (2017)