kisah raja judi

Apabila bercakap tentang penipuan kasino, pasti ramai yang teringatkan filem menakjubkan berdasarkan kisah sebenar iaitu 21.

Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan pelajar dari MIT yang menjana keuntungan yang dahsyat menggunakan teknik pengiraan kad dalam permainan blackjack.

Apa yang dilakukan mereka adalah sangat menakjubkan kerana ia melibatkan perkara yang sangat rumit dan memerlukan kerjasama yang begitu terperinci. 

lontaran dadu

Dan sudah tentu ramai di antara mereka yang kerap mengunjungi kasino atau lokasi perjudian pasti mempunyai idea jahat untuk memperdaya pihak kasino bagi mendapatkan wang mudah yang banyak.

Sebenarnya terdapat pelbagai jenis teknik yang boleh dicipta bagi tujuan ini, dan kebanyakannya sememangnya terbukti berjaya. iluminasi.com kongsikan 5 kisah individu yang berjaya memperdaya dan menipu kasino.

5. Dominic LoRiggio

dominic loriggio

"Lelaki Tangan Emas" dan "The Dominator" merupakan nama gelaran bagi Dominic LoRiggio.

Melalui bertahun-tahun latihan, berjam-jam bagi setiap sesi, Dominic mempelajari dan menguasai "controlled shooting" atau lontaran terkawal, satu teknik untuk mendapatkan bacaan dadu yang diinginkan dalam permainan "crasp".

Kaedah ini melibatkan penetapan dadu dengan cara tertentu, mencengkam dadu dengan tepat, melemparkannya supaya dadu-dadu kekal bersama di udara, kemudian memastikan dadu mendarat dengan perlahan yang mungkin ke atas meja.

Dominic bermula dengan pakar kawalan dadu sebagai pasukan yang dikenali sebagai Rosebud. Bersama-sama, mereka adalah yang pertama menyerang rangkaian kasino Las Vegas dengan teknik yang sangat dahsyat ini.

Sehingga kini, ramai yang beranggapan bahawa mengawal dadu adalah sesuatu yang mustahil, namun The Dominator berkata dia boleh melakukannya dengan teknik fizik yang ringkas.

dominic loriggio 2

Dominic akhirnya meninggalkan kumpulan itu kerana dia berasakan bahawa kepatuhan kumpulan itu terhadap pertaruhan konservatif menghalangnya daripada mengaut keuntungan yang besar. 

Dia kemudiannya bekerjasama dengan penjudi terkenal dan penulis Frank Scoblete. Menggunakan teknik lontaran terkawal, mereka mendakwa telah memenangi wang yang sangat banyak dari pelbagai kasino.

Walaupun apa yang dilakukan oleh Dominic tidaklah melanggar undang-undang, namun kasino pada hari ini telah mengenal pasti teknik ini dan memaksa mereka yang bermain untuk melontar dadu menggunakan cara yang berbeza.

Kini Dominic LoRiggio mengendalikan kelas melontar dadu dan jika anda berminat, bolehlah mendaftarkan diri sebagai pelajarnya.

4. Keith Taft

keith taft

Keith Taft boleh dikatakan sebagai Inspector Gadget dalam dunia sebenar. Beliau merupakan seorang yang sangat genius dalam elektronik yang menghabiskan kira-kira 30 tahun untuk mencipta peranti yang mampu memperdayakan kasino.

Bersama-sama anaknya, Marty, Keith memulakan eksperimennya pada tahun 1970-an dan dianggap sebagai orang pertama yang mencipta komputer untuk mengambil video digital dan sebuah komputer mikro.

Beliau kemudiannya menjadi ketagih dengan permainan kad blackjack dan teringat bahawa Edward Thorp (di senarai pertama) telah menulis bahawa permainan ini boleh dikalahkan menggunakan matematik.

Keith cuba menggunakan teknik pengiraan kad (card counting) namun gagal membuatkan dia memutuskan untuk menggunakan komputer untuk mengalahkan kasino.

Dia menyempurnakan komputer seberat 6.8kg yang diberi nama George untuk membantunya dalam pengiraan kad yang mana dikawal menggunakan jari kakinya dan disembunyikan dalam pakaiannya.

mesin yang dihasilkan keith taft

Disebabkan komputer ini terlalu besar, Keith mencipta peranti yang lebih ringan dan diberikan nama David, lebih canggih berbanding George. 

Keith berjaya memperoleh RM167,000 dalam minggu pertama menggunakan David.

Melihat ia satu peluang untuk menghasilkan wang, Keith memasarkan komputer mininya dengan harga RM42,000 seunit dan mengajar pembeli untuk menggunakannya.

Dia akhirnya ditahan di sebuah kasino dan komputernya ditemui.

Namun disebabkan pihak kasino dan FBI langsung tidak tahu cara untuk menggunakannya dan tak dapat membuktikan bahawa ia digunakan untuk menipu, maka Keith dilepaskan tanpa sebarang tuduhan.

keith taft menunjukkan perantinya yang dimasukkan ke dalam kasut

Rekaan seterusnya oleh Keith dan Marty, "belly telly" merupakan kamera video kecil yang dipasangkan pada kepala tali pinggang dan mampu melihat semua kad dalam pegangan dealer.

Imej itu akan disampaikan kepada rakan sejenayah yang mempunyai satelit pada trak pikap menunggu di tempat letak kereta dan dia pula akan memberi isyarat kepada pemain tentang langkah terbaik yang perlu dilakukan.

Ciptaan genius yang lain termasuklah Thor, sebuah komputer yang dapat menyimpulkan kedudukan kad dalam dek jika ia di-shuffle dengan sempurna, dan Naina, sebuah komputer penjujukan yang mampu mengetahui kedudukan kad.

3. Louis Colavecchio

louis colavecchio

Pada lewat tahun 90-an, agensi penguatkuasa undang-undang dari pelbagai negeri, FBI, Perkhidmatan Rahsia dan beberapa yang lain menyerbu rumah Louis Colavecchio.

Di situ dan juga di perniagaan orthotic miliknya, mereka menjumpai beribu-ribu token slot daripada pelbagai kasino di seluruh Amerika Utara.

Apa yang membezakan Louis dengan pemalsu yang lain adalah dia mampu menduplikasikan apa sahaja yang diperbuat daripada logam atau batu berharga.

Token-token slot ini bukan sahaja palsu, malah ianya serupa dengan token asli yang digunakan di kasino dari segala segi. Pendek kata, ianya 100% seperti yang asli.

Untuk menghasilkan token ini, Louis yang diberi nama gelaran "The Coin", memerlukan beberapa peralatan khusus.

Bahan-bahannya juga sangat sukar diperolehi termasuklah logam berharga seperti tembaga, nikel dan zink, alat pemotongan laser untuk memotong, membentuk dan menghasilkan acuan, serta alat pemampat 150-tan dari Itali.

Hasil kerja Louis sangat menakjubkan sehinggakan apabila token-token tersebut dibawa oleh pihak berkuasa ke salah sebuah kasino yang diperdaya olehnya, para pakar sekuriti di situ tidak mempercayai bahawa ianya adalah palsu.

Louis sempat melarikan diri daripada sebahagian besar kasino di Las Vegas sebelum penguatkuasa undang-undang mempunyai syak wasangka terhadap jenayahnya.

token slot 719

Namun, mereka akhirnya menyedari akan aktiviti Louis apabila terdapat lebihan besar token yang muncul dalam inventori kasino di bahagian lain di negara itu dan Louis telah menukarkan token itu kepada wang tunai dalam sejumlah wang yang besar.

Masa beberapa minggu diperlukan untuk mengetahui berapa banyak wang yang telah dicuri oleh "The Coin" dari berpuluh-puluh kasino yang menjadi mangsa.

Ia adalah mustahil untuk memastikan jumlah tepat kerana kasino-kasino di Las Vegas tidak mahu mengaku bahawa mereka telah ditipu.

Anggaran berkisar di antara RM420,000 hingga RM2.1 juta dan amat jelas Louis tidak mempunyai sebarang niat untuk menghentikan aktivitiknya.

Kerajaan terpaksa menyewa dua kemudahan penyimpanan hanya untuk menyimpan semua barang-barang yang mereka rampas daripada Louis Colavecchio.

Perjanjian rayuan dicapai apabila Louis berjanji untuk menunjukkan kepada penguatkuasaan undang-undang dengan tepat bagaimana operasinya dilaksanakan bagi membantu mencegahnya di masa hadapan.

2. Richard Marcus

richard marcus 2

Richard Marcus mungkin boleh ditabalkan sebagai penipu paling sempurna dalam sejarah perjudian kasino.

Pada mulanya beliau cuba untuk menanggung hidupnya semata-mata dengan berjudi namun Richard mendapati dirinya tidur di bawah jambatan.

Beliau menyedari hakikat tersebut dan cuba untuk berubah lalu menjadi dealer blackjack dan baccarat. Namun ketika beliau bertindak sebagai pemain, pelbagai idea-idea jahat bermain di dalam mindanya.

Idea-idea ini bakal membuahkan hasil dan mencetuskan kacau-bilau terhadap kasino-kasino yang dikunjunginya. Satu teknik yang mudah tetapi tersangat sukar untuk dilaksanakan menjadikan Richard sebagai penipu elit.

richard marcus 590

Beliau memberikan nama kepada teknik tersebut, "The Savannah". Ia melibatkan pertaruhan cip bernilai rendah, seperti tiga cip $5 di meja roulette yang mana tidak langsung menimbulkan atau menarik sebarang perhatian.

Jika beliau menang, dia akan menjadi sangat teruja, menjerit dan berteriak sambil melambai-lambai tangan ke udara. Akan tetapi, dealer tersebut pasti akan pelik dan hairan mengapa seorang pemain begitu gembira hanya kerana memenangi jumlah yang sedikit.

Richard kemudiannya akan memaklumkan kepada dealer bahawa terdapat cip coklat bernilai $500 di bawah tiga cip $5 dan apabila dealer mengangkat tiga cip teratas, dia akan melihat bahawa memang ada cip $500 yang terletak di bawah.

richard marcus menunjukkan teknik yang digunakannya

Sebaliknya, sekiranya Richard kalah dalam pertaruhan tersebut, beliau dengan pantas dan secara sembunyi mengambil semula cip $500 di bahagian bawah cip yang dipertaruhkan, ketika dealer berpaling ke roda roulette.

Ini membuatkan Richard hanya kerugian $15 sahaja.

Teknik ini hanyalah ilusi optik asas namun sangat berkesan, seolah-olah aksi silap mata. Cip bernilai lebih rendah ditolak sedikit ke hadapan untuk menutup cip bernilai besar.

Dealer tidak menyedari kehadiran cip $500, melainkan jika pemain ingin dealer melihatnya. Idea penukaran cip atau dikenali sebagai pertaruhan lewat bukanlah sesuatu yang baru.

Namun apa yang membuatkan teknik Richard ini sangat inovatif adalah ia dilaksanakan dengan cara terbalik.

Mereka yang bertaruh lewat akan bertaruh dengan nilai rendah dan jika menang, mereka akan menambah cip secara senyap ke dalam pertaruhan asal mereka.

Apa yang dilakukan oleh Richard adalah beliau bertaruh besar dan kemudiannya menukarkannya kepada pertaruhan kecil, jika dia tewas. 

richard marcus 3

Ia mungkin tidak kelihatan sebagai satu perubahan yang begitu drastik namun kasino-kasino tidak pernah melihat perkara ini dan tidak menjejakinya kerana pihak sekuriti hanya dilatih untuk melihat kepada kemenangan, yang mana kemenangannya sememangnya sah.

Apa yang tidak sah adalah kekalahannya!.

Di kemuncak kegemilangan Richard, beliau dan rakannya meletakkan cip $5,000 di bawah cip $100. Beliau akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap, lalu didakwa.

Namun penangkapan itu tidak berlaku sehingga beliau memperoleh anggaran RM84 juta daripada kasino di seluruh dunia.

Richard kini menjual buku-buku perjudian dan mendakwa di laman webnya bahawa beliau masih terlibat dalam penipuan kasino tetapi dengan cara yang mana penguatkuasa undang-undang tak dapat menangkapnya.

1. Edward Thorp

edward thorp

Edward-Thorp diberikan gelaran "Bapa Pengiraan Kad". Beliau bukan sahaja berjaya menggunakannya dalam situasi dunia sebenar, malah Edward merupakan individu bertanggungjawab yang mencipta sistem ini.

Seorang profesor matematik yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang fizik dan ijazah kedoktoran dalam matematik, jelas sekali beliau mempunyai kepintaran yang melebihi orang biasa.

Pada awal tahun 60-an di mana ketika itu beliau sudah dewasa, Edward langsung tak tahu apa-apa tentang permainan kasino dan dunia perjudian.

Namun apabila rakannya, Claude Shannon, membawa Edward dan isterinya ke Las Vegas, beliau menjadi tertarik dengan blackjack.

Setelah bermain permainan ini beberapa kali, beliau yakin bahawa ada cara matematik di mana seseorang pemain itu boleh memperoleh keuntungan.

Edward mengkaji permainan ini dalam kaedah yang sistematik dan memeriksa dengan mendalam bagi setiap aspek permainan.

edward thorp ketika di kasino

Menggunakan komputer yang dimiliki oleh universiti yang di mana beliau mengajar, Edward membuat simulasi berbilion-bilion pemberian kad blackjack untuk menyelidik lebih dalam tentang teknik matematik dalam permainan ini.

Komputer ini begitu besar sehinggakan ia memenuhi seluruh bilik, namun ia tidaklah begitu hebat jika dibandingkan dengan komputer riba yang kita miliki pada hari ini.

Melalui perhitungan dan pengamatannya, Edward mencipta sistemnya yang menyumbang kepada variasi pada kad yang tersisa setelah ia diagihkan.

Pada dasarnya, Edward menyedari bahawa kad yang lebih kecil lebih memberikan manfaat untuk pihak dealer (kasino) dan apabila kad tersebut diagihkan, kelebihan tersebut beralih kepada pemain yang membolehkan mereka bertaruh lebih.

Pada masa yang sama, kad yang lebih besar lebih berfaedah kepada pemain dan apabila kad tersebut meninggalkan dek, kelebihan itu beralih kepada dealer, jadi pemain digalakkan untuk bertaruh dengan jumlah yang sedikit.

Dengan menggunakan kaedah ini Edward mengira bahawa pemain itu boleh memiliki kelebihan 1% hingga 5% ke atas dealer.

Edward Thorp dan Claude Shannon kemudiannya mengunjungi kasino dan akan pulang dengan poket yang dipenuhi dengan wang tunai.

Biasanya, satu hujung minggu akan memberikan pulangan hampir RM300,000 dan industri perjudian ketika itu bukanlah lawan bagi pelaksanaan taktik pengiraan kad Edward yang sangat sempurna.

edward thorp 2

Lagipun, pengiraan kad masih belum wujud dan tiada siapa yang tahu mengenainya ketika itu, jadi pihak kasino sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Akan tetapi, Edward Thorp menarik perhatian bos kasino apabila beliau mula memenangi wang dalam jumlah yang luar biasa dan kebanyakan daripada mereka yakin bahawa beliau menggunakan cara dengan menipu.

Mereka kemudiannya dengan khusyuk menyaksikan cara Edward bermain dan mengkaji rakaman video, namun mereka tidak dapat melihat apa-apa yang pelik berlaku.

Tidak lama kemudian, beberapa kasino meminta Edward untuk beredar hanya kerana beliau menang terlalu banyak dan masih tidak tahu bagaimana beliau melakukannya.

Pada tahun 1962, Edward Thorp menulis buku "Beat the Dealer" yang mendedahkan penghitungan kadnya iaitu "sistem kiraan sepuluh" dan menjadi mendapat sambutan hangat dengan begitu pantas.

Penjualan buku tersebut memberikan pulangan yang tersangat lumayah kepada Edward. Pada tahun 1966, beliau menulis edisi kedua di mana Edward mengembangkan selok-belok sistem kiraan tersebut. 

edward thorp bapa pengiraan kad

Apa yang menarik adalah kerana terlalu banyak orang yang menggunakan sistem kiraan kad ini, ia sebenarnya memberikan keuntungan kepada pihak kasino.

Ini disebabkan oleh ramai orang yang mencubanya tidak mampu melaksanakannya sepertimana yang dilakukan oleh Edward.

Walau bagaimanapun, penemuan dan kaedahnya telah menjadi asas untuk setiap sistem pengiraan kad berikutnya, termasuk pasukan MIT yang yang menginspirasikan filem 21.

Berikutan eksploitasi perjudiannya, Edward Thorp menggunakan kegeniusan beliau dalam matematiknya ke dalam pasaran saham dan menghasilkan kekayaan dahsyat dalam sektor sekuriti dan dana lindung nilai.

Oleh kerana dominasinya terhadap kasino dan pemikiran revolusioner, Edward Thorp adalah antara salah seorang daripada tujuh yang pertama yang dimasukkan ke dalam Blackjack Hall of Fame.

Rujukan:

1. Casino

2. Best Casino Sites

3. Blackjack



Hakcipta iluminasi.com (2017)