China merupakan pasaran filem kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat. Jika sesebuah syarikat penerbitan mahukan filem mereka 'box office' dan menguntungkan, penting bagi mereka untuk mendapatkan tarikh tayangan di China.

Walau bagaimanapun, kerajaan China telah menghadkan jumlah filem antarabangsa yang boleh ditayangkan di sana. Pada tahun 2017, mereka hanya membenarkan 40 filem asing sahaja memasuki pasaran China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu, terdapat garis panduan yang sangat ketat untuk sesebuah filem itu diluluskan di China. Tanpa kelulusan, filem itu secara rasmi diharamkan untuk ditayangkan di China. Berikut adalah 10 filem popular yang telah diharamkan China.

1. Ghostbuster (2016)

ghostbuster 2016 diharamkan di china

Walaupun filem ini merupakan reboot filem popular Ghostbusters yang dikeluarkan pada 1984 tetapi ia tidak dibenarkan untuk ditayangkan di China kerana hantu dan makhluk ghaib yang dimuatkan dalam filem itu.

Kerajaan China mengeluarkan garis panduan menentang sebarang filem yang mempromosikan "ajaran sesat dan tahyul". Sony juga telah berusaha untuk mengatasi isu ini dengan menukar tajuk filem itu kepada "Super Power Dare Die Team" untuk ditayangkan di China tetapi tetap gagal. (sumber)

2. Back to the Future (1985)

back to the future diharamkan di china

Kerajaan China telah mengharamkan Back to the Future kerana filem itu mempromosikan pengembaraan masa kerana ia "tidak menghormati sejarah" dan sering menggambarkan tokoh dalam sejarah dengan cara yang tidak tepat.

Lembaga penapisan China telah mengharamkan apa-apa bentuk hiburan yang mempunyai unsur pengembaraan masa pada tahun 2011. Ketika itu, pengembaraan masa adalah sesuatu yang popular dalam rancangan TV dan filem di seluruh dunia. (sumber)

3. Deadpool (2016)

deadpool diharamkan di china

Jelas sekali, Deadpool ditolak untuk ditayangkan di China kerana melanggar banyak garis panduan yang ditetapkan kerajaan China. Antara alasan ia diharamkan ialah kerana filem itu mengandungi keganasan, adegan lucah dan kata-kata kesat.

Syarikat penerbitan 20th Century Fox cuba untuk memenuhi garis panduan yang ditetapkan lembaga penapisan China tetapi hampir mustahil untuk memotong bahagian filem itu tanpa menyebabkan masalah pada plot dan ceritanya. (sumber)

4. Star Wars - A New Hope (1977)

star wars a new hope diharamkan di china

Siri-siri filem sains fiksyen Star Wars seperti The Force Awakens dan The Last Jedi terbukti mendapat sambutan hangat dan box office di China. Namun, nasib tidak begitu baik bagi filem asal Star Wars - A New Hope yang diterbitkan pada tahun 1977 arahan pengarah terkenal, George Lucas.

Ini kerana filem asal Star Wars itu keluar selepas beberapa bulan selepas kematian Pengurusi Parti Komunis China, Mao Zedong. Semasa memerintah, Mao tidak membenarkan apa-apa sahaja budaya barat untuk masuk ke China. (sumber)

5. Avatar (2009)

avatar diharamkan di china

Sebenarnya, filem Avatar mendapat sambutan hangat di China tetapi hanya untuk tayangan versi 3D sahaja. Lembaga penapis mengharamkan versi 2D filem arahan James Cameron itu disebabkan latar belakang politik dan tema pemberontakan yang ditayangkan.

Terdapat dua lagi sebab mengapa China hanya membenarkan tayangan filem Avatar versi 3D sahaja. Pertama, filem itu telah memonopoli sebahagian besar pasaran filem China ketika itu. Kedua ia boleh mempengaruhi rakyat negara itu untuk memberontak dan mencetuskan keganasan.

Sebahagian pakar filem di seluruh dunia memberi pandangan bahawa, filem Avatar versi 2D adalah lebih baik berbanding versi 3D. (sumber)

6. The Dark Knight (2008)

the dark knight diharamkan di china

Daripada berhadapan dengan penolakan secara rasmi, Warner Bros. memilih untuk membatalkan penghantaran filem The Dark Knight bagi proses saringan lembaga penapisan China. Mereka hanya memberi alasan bahawa terdapat "sensitiviti budaya" dalam beberapa elemen filem itu.

New York Times pula menegaskan bahawa syarikat Warner Bros. mungkin khuatir bahawa lembaga penapisan akan tersinggung dengan beberapa adegan yang dirakam di Hong Kong, termasuk di mana Batman mencekup seorang gangster. (sumber)

7. The Da Vinci Code (2006)

the da vinci code diharamkan di china

Walaupun pada awalnya The Da Vinci Code lulus proses saringan penapisan filem China, tidak lama selepas itu filem itu ditarik balik dan diharamkan tayangannya di semua pawagam.

Ini kerana kandungannya yang penuh kontroversi dan rekaan palsu mengenai watak anak perempuan kepada Jesus of Nazareth. Kumpulan Katolik China telah membantah pelancaran filem arahan Ron Howard ini, menyebabkan ia diharamkan di seluruh negara. (sumber)

8. Noah (2014)

noah

Filem Noah arahan Darren Aronofsky yang menelan belanja USD 125 juta ini telah diharamkan di semua pawagam di seluruh China. Ini kerana pihak kerajaan China tidak selesa dengan tema agama filem itu dan mereka sememangnya negara yang menentang sekular.

Filem lakonan Russel Crowe itu juga telah menaikkan kemarahan di kalangan penganut agama Islam dan Kristian. Selain China, filem ini juga diharamkan di Malaysia, Indonesia, Qatar, Bahrain, UAE dan beberapa lagi negara lain. (sumber)

9. Christopher Robin (2018)

filem diharamkan china pooh 307

Tiada alasan rasmi yang dikeluarkan kerajaan China bagi pengharaman filem kanak-kanak Christoper Robin. Namun, imej Winnie the Pooh sebelum ini telah diharamkan di China sejak 2017 selepas pengguna media sosial menyamakan watak Pooh dengan pemimpin China iaitu Xi Jinping.

Ini membuatkan watak Pooh mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan politik di China. Satu lagi teori mengatakan bahawa filem itu ditolak kerana persaingan sengit filem luar untuk memasuki pasaran China yang mempunyai kuota terhad. (sumber)

10. World War Z (2013)

world war z diharamkan china

Filem ini diharamkan di China atas beberapa sebab. Antaranya ialah ia memaparkan makhluk zombie, di mana lembaga penapisan China tidak membenarkan filem berunsurkan magik dan tahyul. Selain itu, dalam satu babak filem ini menunjukkan wabak zombie itu bermula di China.

Satu lagi sebab mengapa ia diharamkan ialah kerana pelakon utamanya, Brad Pitt. Dia diingati melalui filem lakonannya pada tahun 1997 "Seven Years in Tibet" yang menekankan perjuangan Tibet untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah China. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)