Kredit foto: Instyagram Wani Kayrie

Tahniah diucapkan kepada penyanyi remaja yang meletup dengan lagu Jangan Jangan, Wani Kayrie, 17, kerana menerima keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.

Beliau yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya dalam aliran seni memperoleh gred A menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Information and Communication Technology (ICT), Tasawwur Islam serta B dalam mata pelajaran Matematik dan C+ bagi subjek Akaun.

Wani berkata, dia tetap bersyukur meskipun pada awalnya menjangkakan gred A dalam kesemua subjek.

“Alhamdulillah keputusan SPM saya baik tapi tidak mencapai sasaran untuk mendapat A dalam semua mata pelajaran yang saya ambil.

“Bagaimanapun apabila cikgu mengumumkan saya mendapat keputusan cemerlang apabila meraih lebih 5A, saya sudah berasa lega dan syukur," katanya kepada Harian Metro.

Di kesempatan sama, pemilik nama Syazwani Abdullah ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kejayaannya dalam mencatatkan keputusan cemerlang menerusi ujian itu.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli keluarga, guru-guru, syarikat pengurusan serta peminat yang sentiasa mendoakan saya mendapat keputusan yang baik,” katanya.

Bercerita lanjut, Wani akui tidak merancang melanjutkan pengajian buat masa ini meskipun ada menerima beberapa tawaran daripada universiti swasta.

“Tahun ini saya mahu fokus untuk kerjaya seni nyanyian terlebih dulu. Saya mahu membina nama yang kukuh sebagai penyanyi selepas memberi sepenuh komitmen terhadap pelajaran beberapa tahun lalu," katanya.

Bahkan, beliau mempunyai beberapa komitmen pertandingan nyanyian luar negara yang perlu dijayakan sepanjang tahun ini.

“Lagipun saya bakal mengikuti beberapa pertandingan di luar negara tahun ini membuatkan saya tidak boleh melanjutkan pelajaran.

“Insya-Allah tahun depan saya bercadang untuk mengikuti kursus dalam bidang perakaunan perniagaan,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)