Kredit foto: Instagram Azarra Band

    

Vokalis kumpulan Azarra Band iaitu Ejai Aziz hilang ingatan selepas mengalami pendarahan di kepala akibat gegaran otak yang kuat.

Ia susulan kemalangan dialaminya sewaktu bermain futsal pada malam Ahad.

Berita itu disahkan sendiri oleh salah seorang ahli kumpulan Azzara Band iaitu Mohd Hairol Azhar.

Hairol atau nama panggilannya, Boy selaku pemain dram, berkata, Ejai yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kini tidak dapat mengenali anggota keluarga termasuk sahabat rapat.

“Dia pergi bermain futsal bersama kawan-kawannya dan saya diberitahu dia terjatuh dan kepalanya terhantuk, kemudian dia terus dibawa ke hospital.

"Doktor beritahu ada gegaran pada otaknya sehingga membuatkan dia hilang ingatan. Kami terkejut apabila mengetahui perkara ini, bingung jadinya apabila Ejai tidak dapat mengenali individu terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan,” katanya memetik laporan Mstar.  

Dalam pada itu, Hairol berkata, pihak mereka kini memberi ruang untuk Ejai berehat, manakala beberapa persembahan yang sudah dipersetujui dalam tempoh terdekat ini terpaksa dibatalkan.

    

azarra band

Kredit foto: Instagram Azarra Band

   

“Kami ini belum terima sebarang perkembangan lanjut kerana dia masih berada dalam pemerhatian pakar, namun setakat ini kami terpaksa menangguhkan beberapa persembahan bagi memberi ruang kepadanya untuk sembuh,” katanya.

Ejai atau Mohd Azrizal Aziz, 32, merupakan vokalis kumpulan Azarra Band yang cukup dikenali menerusi lagu Alalala Sayang.

Azarra Band antara lain dianggotai Mohd Khairul Azam, Mohd Fauzan dan Mohd Hairol Azhar.

   

Sumber berita: “Kami Bingung Dia Hilang Ingatan” - Vokalis Azarra Band Cedera Di Kepala Selepas Terhantuk Ketika Main Futsal

   




Hakcipta iluminasi.com (2017)