Setiap kali tiba musim hujan, penulis akan mempersiapkan diri untuk satu kemestian yang berulang berlaku.
Apabila ada situasi di mana kepala penulis terdedah dengan kepada air hujan, penulis mula akan sakit kepala selepas itu. Bukan pening ya, sakit kepala.
Hendak tak hendak penulis kenalah berhati-hati, elak kepala kena air hujan yang turun. Adakah anda pun mengalami masalah sama?
BESARKAN TEKS A- A+
Pernahkah anda terfikir benarkah masalah itu wujud atau sebenarnya hanyalah salah tanggapan kita semata-mata? Jom kita fahami pengaruh air hujan kepada tahap kesihatan seseorang.
Tekanan atmosfera menjadi faktor utama perubahan
Kita setuju fenomena hujan menjadi salah satu elemen penting keseimbangan alam, layak digelar satu nikmat yang tidak terhingga buat semua manusia.
Sehinggakan ada pepatah menyebut 'hujan itu membawa rahmat.'
Bagaimanapun dalam masa yang sama, kita juga perlu sedar turunnya hujan turut membawa bermacam jenis mudarat tidak kelihatan.
Kami yakin ramai di antara anda pernah mengalami masalah sakit kepala tatkala berlaku perubahan cuaca, ketika cuaca seakan mahu hujan.
Adakah ada penjelasan di sebalik kejadian ini atau semuanya hanya andaian kita semata-mata? Memang ada penjelasannya.
Perubahan cuaca mampu menyebabkan manusia rasa sakit kepala, disebabkan oleh perubahan tekanan barometrik atau tekanan atmosfera yang terjadi.
Sebenarnya setiap masa kita berhadapan dengan tekanan ini, tetapi perubahan yang berlaku tidak dirasai kerana badan kita mampu mengadaptasi dengan cepat dalam situasi tidak ekstrim.
Dalam situasi ekstrim di mana tekanan barometrik menurun seperti kita duduk di ketinggian puncak gunung atau menaik ketika kita berada dalam laut, perubahan sebegini mampu mengakibatkan sesiapa yang tidak tahan...hilang kesedaran diri.
Itu dalam kes-kes yang ekstrim.
Sakit kepala akibat tubuh melawan perubahan
Satu contoh perubahan barometrik yang kerap berlaku kepada kita adalah perubahan tekanan telinga apabila kita melalui kawasan yang tinggi dalam kenderaan, sehinggakan rasanya seakan tertutup.
Apabila kita buat-buat menguap atau menelan air liur, tekanan udara yang terkumpul akan ditolak keluar mampu menyeimbangkan kembali tekanan dalam tubuh kita.
Sebarang perubahan pada cuaca seperti langit mendung, peningkatan kelembapan, guruh dan perubahan suhu mampu memberikan kesan sama kepada tekanan barometrik dalam persekitaran.
Perubahan yang berlaku memberikan kesan pada tubuh kita dalam 3 kaedah; rasa sakit kepala, kesakitan pada bahagian sendi dan mengacau-bilaukan tekanan darah kita.
Kajian yang dijalankan di Jepun pada tahun 2015 mendapati penurunan tekanan barometrik mengakibatkan salur darah dalam otak kita mengembang, mempercepatkan rembesan serotonin bagi membantu mengawal bukaan salur darah.
Kesan serotonin yang tinggi hasil proses itulah yang penyebab ramai individu boleh berhadapan sakit kepala semasa cuaca kurang elok.
Kita belum cerita pasal air hujan lagi.
Hujan itu rahmat....tetapi turut membawa mudarat
Penulis secara peribadi kurang terkesan dengan perubahan barometrik.
Namun ramai individu lain melaporkan bila cuaca dah mula mendung saja pun tanda hujan akan turun, mereka mula rasa sakit kepala.
Seperti yang sudah dinyatakan, penulis tak tahan dengan air hujan.
Air hujan mempunyai sifat lebih sejuk jika dibandingkan dengan persekitaran. Apabila titis-titis air hujan jatuh ke bahagian tubuh khususnya bahagian kepala, badan kita akan mula melakukan proses tindak balas bagi menyeimbangkan kembali suhu tubuh.
Pertarungan di antara tubuh kita cuba melawan penurunan suhu dengan kesejukan air hujan yang menimpa itulah punca utama kenapa ramai akan mengalami sakit kepala, sekiranya ditimpa air hujan.
Beberapa kajian telah dijalankan bagi memperhalusi fenomena ini
Dalam satu kajian yang dijalankan Cardiff University pada tahun 2005, didapati cuaca yang lebih sejuk suhunya berbanding biasa bukan saja mampu mengakibatkan sakit kepala, bahkan akan turut sama mengakibatkan lebih ramai orang mampu demam selesema.
Sebuah kajian lebih besar melibatkan 7,000 orang peserta di Boston, Amerika Syarikat - mendapati wujud hubungan jelas di antara perubahan suhu dengan serangan sakit kepala kepada seseorang individu; tak kiralah suhu itu menaik atau menurun tahapnya.
Ini bermakna ada orang bila cuaca mendung saja dia boleh sakit kepala. Ada orang bila sejuk, dia akan rasa sakitnya. Ada orang rasa sakit bila panas.
Ada juga orang macam penulis, kena hujan berdenyut-denyutlah kepala.
Sekiranya anda sama seperti penulis, sensitif dengan air hujan di kepala, apa yang perlu anda lakukan selepas itu adalah mandi air suam secepat mungkin.
Tindakan ini membantu 'menenangkan' sistem semulajadi tubuh kita kembali seperti biasa dan sakit kepala yang terhasil boleh reda.
Sekiranya masih berasa sejuk, balut diri dengan selimut, minum secawan teh dan rehatkan diri anda. Jika tetap tidak surut, ubat sakit kepala kan ada?
Rujukan