Oleh pada 04 Mar 2017 kategori

Seorang pemandu kereta yang merempuh empat kereta dan sebuah motosikal sehingga mengakibatkan dua lelaki parah di kilometer 18.5, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) berhampiran Kampung Datuk Harun, teruk dibelasah orang awam.

Bagaimanapun, kejadian tersebut didakwa sudah berlaku pada 14 Februari lalu sekitar jam 2 pagi dan hanya tular di media sosial sejak kelmarin.

Dalam rakaman selama 1 minit 28 saat itu, tiga orang lelaki didapati sedang memukul dan menumbuk teruk pemandu kereta terbabit.

Lelaki berusia 24 tahun tersebut yang cedera parah dibelasah berkata dia memandu dalam keadaan letih dan mengantuk kerana baru pulang dari bekerja.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, mangsa didapati dengan tidak sengaja melanggar empat kenderaan yang diparkir di kawasan perumahan berhampiran.

Tambah beliau, kereta dipandu lelaki tersebut turut melanggar sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki berusia 19 dan 18 tahun.

Dua penunggang motosikal itu parah menyebabkan berlaku perselisihan faham antara orang awam dan pemandu terbabit.

Pemandu kereta itu turut parah dibelasah dan semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketiga-tiga mangsa masih dirawat di hospital berkenaan dan dilaporkan stabil. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit video: Facebook Malaysian Indian Viral News

Sumber berita: Harian Metro & thetrendingnow.blogspot.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)