Tak dapat disangkal bahawa kereta adalah pengangkutan yang paling banyak di gunakan di dunia, sama ada kereta elektrik, hibrid, berenjin diesel atau yang paling popular, kereta berenjin petrol.

Selain daripada memudahkan pergerakan dari satu tempat ke tampat yang lain, kereta juga dilihat sebagai simbol status, atau cara mudah untuk menghabiskan wang. iluminasi.com kongsikan negara dengan pemilikan kereta per kapita paling tinggi di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Luxembourg - 739 kereta per 1,000 penduduk

luxembourg 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

Dengan hanya seluas 2,586 kilometer persegi, negara kecil yang tersangat kaya ini tidak terkecuali tersenarai dalam senarai ini. Terletak bersempadan dengan Jerman, Perancis dan Belgium, Luxembourg hanya mempunyai 602,005 penduduk.

Namun, penduduk-penduduk Luxembourg adalah sangat kaya, dengan KDNK per kapita sebanyak RM432,951, ketiga tertinggi di dunia selepas Macau dan Qatar. Jadi, anda boleh bayangkan kereta-kereta mewah di jalan-jalan di Luxembourg.Jumlah kereta di negara ini adalah sebanyak 739 unit bagi setiap 1,000 penduduk.

7. Australia - 740 kereta per 1,000 penduduk

australia 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

Dengan jarak di antara bandar-bandar utama sejauh beribu-ribu kilometer, untuk sampai ke sebuah tempat dari tempat yang lain di Australia bukanlah mudah tanpa kereta. Sebagai contoh, jarak daripada Melbourne ke Perth adalah sejauh 3,460 kilometer yang dianggarkan memakan masa selama 36 jam untuk sampai.

Negara Down Under ini mempunyai jalan berturap dan lebuh raya sejauh 322,000 kilometer, dan hampir 500,000 kilometer jalan tak berturap.Selain itu, Australia adalah negara ke-6 terbesar di dunia dengan keluasan 7.69 juta kilometer persegi, iaitu 23 kali ganda lebih luas daripada Malaysia.

Jadi, memiliki kereta adalah sesuatu yang boleh dikatakan wajib bagi penduduk Australia, iaitu sebanyak 740 buah kereta bagi setiap 1,000 penduduk.

6. Liechtenstein - 750 kereta per 1,000 penduduk

leichtenstein 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

Dengan populasi seramai 38,111 orang dan berkeluasan 160 kilometer persegi, Liechtenstein adalah sebuah negara kecil di Eropah Tengah, terletak di antara Switzerland dan Austria.

Walaupun kecil dan mempunyai stesen kereta api, stesen bas, lapangan terbang dan heliport, namun penduduk Liechtenstein lebih memilih untuk memandu, membuatkan pemilikan kereta di negara ini adalah sebanyak 750 buah bagi setiap 1,000.

5. New Zealand - 774 kereta per 1,000 penduduk

new zealand 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

New Zealand berada di tangga ke-4 dari segi pemilikan kenderaan tertinggi di dunia, iaitu 774 buah bagi setiap 1,000 prang.

Seperti Australia, jiran mereka di seberang Laut Tasman, ramai penduduk New Zealand sukakan cabaran dan mengembara kerana memiliki keindahan alam semula jadi yang sangat menakjubkan.

Oleh itu, memiliki kenderaan membenarkan akses yang mudah kepada banyak aktiviti dan hobi luar, membuatkan jumlah kenderaan di negara ini sangat tinggi.

4. Amerika Syarikat - 795 kereta per 1,000 penduduk

amerika syarikat 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

Agak tidak mengejutkan untuk melihat Amerika Syarikat berada dalam senarai ini. Menurut maklumat terbaru, terdapat kira-kira 253 juta unit kereta di Amerika Syarikat ketika ini.

Dengan jumlah populasi seramai 325.7 juta orang, jumlah kereta yang terdapat di negara ini bagi setiap 1,000 penduduk adalah sebanyak 795 unit. Amerika Syarikat merupakan negara kepada pasaran kenderaan penumpang yang paling besar di dunia.

Jumlah kenderaan meningkat dengan dengan mantap sejak tahun 1960.Negara ini juga mempunyai 3 pengeluar kenderaan yang sangat besar iaitu General Motors, Ford Motor Company dan Chrysler.

3. Monaco - 899 kereta per 1,000 penduduk

monaco 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

Tahap pemilikan kereta yang sangat tinggi di negara ini lebih mengejutkan kerana Monaco adalah antara negara terkecil di dunia dengan kawasan hanya seluas 2 kilometer persegi, sekitar keluasan sebuah bandar kecil. Terdapat 899 buah kereta bagi setiap 1,000 penduduk di Monaco.

Dan menjadi salah sebuah negara yang memiliki rakyat tersangat mewah di dunia, memiliki kereta mewah, klasik dan custom-made adalah hobi biasa, dan perlumbaan Grand Prix Formula 1 dan kereta rally merupakan beberapa acara sukan paling popular di negara ini.

2. Iceland - 1,018 kereta per 1,000 penduduk

iceland 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

Iceland adalah sebuah negara yang terpinggir daripada negara-negara lain, namun terdapat sebanyak 1,018 buah kereta bagi setiap 1,000 penduduk di negara ini. Iceland adalah merupakan satu daripada dua negara sahaja yang memiliki jumlah pemilikan kereta melebihi penduduknya.

Fakta ini membolehkan orang Iceland untuk menerokai kawasan desa yang indah dan monumental.

Jalan 1 atau dikenali sebagai "Jalan Lingkaran", terletak di sepanjang lilitan negara pulau ini dan menghubungkan sebahagian besar kawasan bandar utamanya.Kenderaan berenjin sangat penting di Iceland kerana ia tidak kekurangan infrastruktur kereta api yang agak signifikan.

1. San Marino - 1,263 kereta per 1,000 penduduk

san marino 8 negara yang memiliki jumlah kereta per kapita paling tinggi di dunia

San Marino adalah antara negara yang paling kecil di dunia, lebih kecil daripada Petaling Jaya, dengan keluasan 61.2 kilometer persegi. Namun, ia merupakan negara yang mempunyai kenderaan paling tinggi di dunia.

Dan bersama-sama Iceland, San Marino adalah negara yang mempunyai jumlah kereta melebihi jumlah populasi iaitu sebanyak sebanyak 1,263 unit kereta per 1,000 penduduk.

Populasi San Marino adalah seramai 33,557 orang dan ini bermakna jumlah kereta di San Marino adalah kira-kira 42,382 unit.




Hakcipta iluminasi.com (2017)