Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida
Jutawan kosmetik Datuk Seri Vida meletakkan sasaran sebanyak 100 juta tontonan di laman Youtube untuk muzik video rasmi terbaru I Am Me.
Vida menganggap angka itu mampu dicapai dalam tempoh tiga bulan berdasarkan populariti termasuk rangka promosi yang bakal dijalankan.
“Apa saya katakan saya akan lakukan! Insya-Allah dengan populariti lagu ini dan promosi berterusan pasti dapat mencapai angka berkenaan.
“Strategi saya bukan hanya untuk peminat dan pendengar tempatan sahaja sebaliknya kita mahu melangkau ke luar negara,” katanya memetik laporan portal Mstar Online.
Vida membuat kenyataan tersebut di Majlis Pelancaran Muzik Video Rasmi I Am Me yang berlangsung di Red Box, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.
Di bawah arahan pengarah Ghaz Abu Bakar, muzik video bernilai RM1 juta itu menjalani rakaman penggambaran di kediaman Vida di Ipoh, Perak.
Membawa konsep mewah, glamor, cekal dan ranggi, Vida memberitahu dia mengambil masa sehingga tiga minggu memerah idea demi mendapatkan hasil yang berlainan.
Malah, ejekan 'ayam' terhadap video liriknya dahulu menjadi inspirasi untuk penggunaan bulu ayam sebagai kostum.
“Perkara yang orang parodi dan ejek itu sebenarnya beri saya idea dan saya sanggup ke Thailand dan Hong Kong untuk membeli perhiasan bulu ayam yang digunakan oleh penari sebagai pelengkap gaya.
“Ditambah dengan kepakaran Ghaz sebagai pengarah dia berjaya merialisasikan apa yang saya gambarkan menerusi muzik video ini.
“Saya memang cukup berpuas hati dengan apa dihasilkan Ghaz dan Insya-Allah jika ada peluang kami akan bekerjasama lagi,” ujarnya.
Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida
Dalam perkembangan lain, Vida merancang untuk mengadakan jualan lelong barangan dalam muzik video itu termasuk kostum, barang kemas dan beg tangan berjenama.
Hasil kutipan akan disumbangkan ke tabung dana pembinaan sekolah tahfiz di Kelantan.
“Insya-Allah jika tiada halangan saya bercadang untuk lelongan barangan yang digunakan dalam muzik video itu pada hujung tahun ini.
“Ia dibuat bagi tujuan baik demi mengumpul dana pembinaan sebuah sekolah Tahfiz di Kelantan.
“Barang yang ingin saya jual itu bukan barang terpakai tetapi semuanya baru,” katanya.
Sumber berita: Mstar