Kredit foto: Instagram Datuk Seri Vida
Jutawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) membuat kejutan di Pavilion dengan memandu kereta Lamborghini miliknya berwarna merah jambu sambil menggayakan baju tidur rona sedondon.
Vida atau Datuk Seri Hasmiza Othman membuat kemunculan di Red Box, Pavilion semalam untuk pelancaran muzik video rasmi lagu I Am Me.
Muzik video arahan Ghaz Abu Bakar itu menelan kos pembikinan hampir RM1 juta!
"Saya rasa bersyukur kerana single pertama saya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Selepas video lirik mencapai lebih lapan juta tontonan, kini saya tampil pula dengan muzik video arahan pengarah terkemuka, Ghaz Abu Bakar.
"Ghaz berjaya memvisualkan idea saya dan proses penggambaran muzik video ini berjalan sangat lancar. Saya sangat berpuas hati dengan muzik video ini," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.
Vida akui dia bekerja keras dalam usaha memartabatkan karier nyanyiannya untuk mendapat perhatian ramai.
Malah dengan kos besar yang dilaburkan kepada muzik video itu, dia mengharapkan pulangan lumayan termasuk kejayaan menembusi pasaran antarabangsa.
"Kos untuk proses pembikinan muzik video ini mencecah hampir RM1 juta, termasuklah kos produksi, props, busana, aksesori dan sebagainya. Saya benar-benar serius untuk tampil dengan muzik video berkualiti dan menyimpan hasrat untuk menembusi pasaran antarabangsa," dedahnya lagi.
Muzik video rasmi I Am Me akan dilancarkan di laman YouTube dalam masa terdekat ini menerusi saluran DSV Entertainment.
Sumber berita: Astro Gempak