covid 19 ventilator

Tidak ada sesiapapun yang mahu dijangkiti virus pandemik COVID-19. Mengikut rekod yang sudah dilaporkan oleh kementerian kesihatan seluruh dunia, bukan sahaja orang tua tetapi orang muda yang sihat juga boleh maut akibat COVID-19 ini. Secara umumnya, Kementerian Kesihatan Malaysia mengklasifikasikan penyakit COVID-19 kepada 5 tahap atau kategori.

Pengkelasan sebegini dilakukan untuk memastikan keberkesanan sistem pengurusan kesihatan dimana tidak semua pesakit perlu dimasukkan ke wad dimana bagi pesakit Tahap 1 dan 2 yang bergejala ringan, KKM mengesyorkan mereka boleh melakukan kuarantin di rumah sahaja.

Apabila mengikut perkembangan COVID-19 di media sosial, kita mungkin banyak kali sudah mendengar atau menemui perkataan "ventilator". Penggunaan ventilator digambarkan sebagai talian hayat terakhir pesakit COVID-19 yang mempunyai masalah pernafasan untuk diselamatkan.

Apakah itu ventilator? Mengapakah penggunaan ventilator ini penting kepada pesakit COVID-19 dan memberikan pesakit harapan untuk terus bertahan?

Apa itu "ventilator"?

mesin ventilator

Ventilator adalah alat bantuan pernafasan mekanikal yang mengepam udara ke paru-paru seseorang yang mengalami kegagalan pernafasan yang teruk. Udara di ventilator sering mempunyai peratusan oksigen yang lebih tinggi daripada udara bilik.

COVID-19 boleh menyebabkan gejala pernafasan seperti batuk, kesukaran bernafas dan sesak nafas. Dalam kes yang teruk, ianya boleh menyebabkan keadaan yang mengancam nyawa yang disebut sindrom gangguan pernafasan akut.

Ventilator boleh menyelamatkan nyawa orang yang mengalami gejala pernafasan yang teruk. Kira-kira 2.5 peratus pesakit COVID-19 di Amerika Syarikat memerlukan bantuan ventilator mekanikal. Virus yang menyebabkan COVID-19 dapat memasuki badan pesakit melalui hidung, mulut atau mata.

Sebaik sahaja ia memasuki badan pesakit, ia boleh masuk ke bahagian paru-paru di mana ia akan menyerang sel epitelium yang melapisi saluran pernafasan pesakit. Keradangan yang disebabkan oleh jangkitan ini boleh mengganggu kemampuan paru-paru pesakit membersihkan cecair dan debu. Keadaan ini boleh menyebabkan hipokemia, satu keadaan di mana tubuh pesakit mengalami kekurangan oksigen.

Ventilator mempunyai tugas menyelamatkan nyawa dengan memberikan bantuan agar paru-paru terus berfungsi. Mesin-mesin ini dapat memberikan udara dengan kandungan oksigen yang tinggi dan membuat tekanan di paru-paru untuk membantu pernafasan. Ventilator juga membantu membersihkan karbon dioksida dan mengimbangi tahap pH darah pesakit.

Bagaimana ventilator berfungsi?

mekanisma ventilator 941

Ventilator mekanikal disambungkan ke tiub yang dimasukkan ke kerongkong pesakit. Ia sering digunakan di unit rawatan rapi (ICU) hospital untuk membantu orang yang mengalami gejala COVID-19 yang teruk. Namun, jumlah unit yang dimiliki setiap hospital adalah terhad kerana harganya mahal dan jarang digunakan. 

Ventilator ini membantu paru-paru pesakit dengan membantu mengekalkan tekanan udara yang optimum dan memberi oksigen pada paru-paru. Ventilator boleh mengambil sebahagian atau sepenuhnya proses pernafasan untuk pesakit, bergantung pada keadaan kesihatan semasa pesakit.

Ventilator mekanikal boleh menjadi penting dalam situasi di mana pesakit tidak dapat bernafas sendiri. Adalah penting untuk anda tahu bahawa ventilator bukan ubat untuk merawat COVID-19, tetapi ventilator dapat menyokong tubuh pesakit ketika melawan jangkitan virus COVID-19.

Secara amnya, pesakit akan diberi ubat penenang terlebih dahulu sebelum prosedur pemasangan ventilator dilakukan. Dalam kes-kes sindrom gangguan pernafasan akut yang teruk, pesakit akan diletakkan dalam keadaan koma. Tujuan pemberian ubat penenang ini adalah bagi mengelakkan pesakit panik dan mengelakkan pesakit mencederakan diri sendiri kerana cuba mengeluarkan tiub.

Prosedur pemasangan ventilator juga mempunyai risiko yang tinggi kerana pesakit mungkin mengalami pelbagai komplikasi. Bagi petugas kesihatan, mereka juga terdedah kepada virus COVID-19 yang menjangkiti pesakit.

Salah satu komplikasi yang paling biasa terjadi ketika menggunakan ventilator mekanikal adalah Pneumonia atau radang paru-paru, kerana saluran tiub pernafasan yang dimasukkan membolehkan bakteria dan virus masuk ke paru-paru pesakit dengan mudah. 

Berapa lamakah pesakit perlu bergantung pada ventilator?

Jumlah masa yang diperlukan oleh seseorang pesakit untuk menggunakan ventilator bergantung pada tahap keadaan pesakit dan berapa lama masa yang diperlukan sebelum paru-paru pesakit boleh bernafas sendiri. Ianya mungkin hanya beberapa jam atau mungkin 2 atau 3 minggu atau lebih lama lagi.

Kajian yang diterbitkan pada bulan Ogos 2020 mendapati bahawa dua kumpulan kecil pesakit yang dimasukkan ke ICU untuk COVID-19 menghabiskan masa rata-rata 7.97 dan 9.85 hari bergantung terhadap penggunaan ventilator. Proses membuang ventilator daripada pesakit juga dilakukan secara beransur-ansur.

Pada mulanya, seorang petugas kesihatan secara perlahan akan menurunkan peratusan oksigen di udara yang dihantar oleh ventilator ke saluran udara pesakit. Setelah ventilator memberi pesakit sokongan minimum, petugas kesihatan akan berusaha membiarkan pesakit bernafas sendiri dan kemudian mengeluarkan saluran tiub pernafasan pesakt.

Otot pesakit mungkin berada dalam keadaan lemah setelah mendapat sokongan dari ventilator dan mungkin memerlukan sedikit masa untuk menjadi lebih kuat sebelum bersedia untuk dicabut sepenuhnya. Sekiranya pesakit tidak dapat bernafas sendiri tanpa ventilator setelah beberapa ketika, petugas kesihatan akan memasangnya semula dan proses ini akan berulang sehingga pesakit mampu bernafas sendiri.

Adakah ventilator mampu merawat pesakit COVID-19?

tiub pernafasan ventilator

Seperti yang sudah dinyatakan di atas, ventilator tugasnya bukanlah untuk merawat penyakit COVID-19, sebaliknya hanya memberikan talian hayat kepada pesakit agar mereka terus dapat bernafas dan melawat penyakit ini.

Dalam kata mudah, sekiranya pesakit sudah memerlukan bantuan ventilator pesakit umpama sudah berada di antara hidup dan mati. Tahap peratusan pesakit yang selamat daripada COVID-19 setelah menggunakan ventilator sangat berbeza mengikut beberapa kajian yang dilakukan di seluruh dunia. 

Satu kajian yang diterbitkan pada Januari 2021 terhadap 57420 orang pesakit mendapati bahawa kadar kematian pesakit yang terpaksa menggunakan ventilator adalah antara 43% hingga 64%. Angka kematian dianggarkan 47.9% pada orang di bawah usia 40 tahun dan 84.4% pada orang berusia lebih dari 80 tahun.

Sekiranya anda masih merasakan bahawa COVID-19 ini hanyalah satu penipuan, mungkin anda perlu melihat sendiri betapa siksanya pesakit yang bergantung pada ventilator di mana hidup mereka adalah umpama antara hidup dan mati. 

Kredit:

  1. WebMD
  2. BBC News
  3. Healthline


Hakcipta iluminasi.com (2017)