Sebagai salah satu hutan tertua di dunia, Hutan Amazon sememangnya kaya dengan khazanah alam. Hutan ini merangkumi kawasan yang sangat luas seluas 7,000,000 kilometer persegi dan meliputi wilayah 9 buah negara iaitu Brazil, Peru, Colombia, Venezuela, Ecuador, Bolivia, Guyana, Suriname dan French Guiana.

Hutan Amazon ini turut menjadi kediaman beberapa buah etnik pribumi dan masih banyak lagi kawasan ini yang masih belum diterokai. Di kawasan ini jugalah terdapatnya Sungai Amazon yang dikatakan sebagai sungai kedua terpanjang di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Suatu ketika dahulu, telah muncul idea untuk membina sebuah lebuh raya sepanjang 5000km yang akan merentasi Hutan Amazon. Lebuh raya ini dikatakan akan menyambungkan kawasan Joao Pessoa di pesisir pantai Brazil dengan sempadan negara baru.

Ketika itu, ramai pihak mempersoalkan pembinaan lebuh raya ini yang dianggap terlalu bercita-cita besar dan hampir mustahil. Ternyata sikap skeptikal itu terbukti benar apabila projek mega ini sememangnya satu kegagalan besar yang bukan sahaja menyebabkan pembaziran perbelanjaan kewangan yang besar tetapi juga memusnahkan ekosistem di Hutan Amazon itu sendiri.

Idea daripada pemerintah junta Brazil

jalan raya trans amazon

Projek Trans-Amazon ini tercetus hasil daripada idea Jeneral Medici, pemerintah tentera Brazil pada ketika itu. Idea ini tercetus ketika beliau melawat sebuah kawasan utara timur negara tersebut yang sedang dilanda musim kemarau yang panjang.

Beliau sangat terkesan dan simpati dengan nasib yang menimpa penduduk kawasan tersebut dan berpendapat bahawa penduduk di kawasan tersebut mesti ditempatkan semula di kawasan penempatan baru yang terlindung daripada musim kemarau yang panjang.

Walau bagaimanapun, ianya bukanlah tugas yang mudah. Kerajaan pada ketika itu sangat bergantung harap kepada golongan kaya tempatan dan ianya pasti satu tugas yang sukar bagi meyakinkan mereka untuk mendermakan tanah milik mereka bagi pembinaan penempatan baru bagi penduduk di kawasan yang dilanda kemarau ini.

Sebagai alternatifnya, beliau merancang untuk membina sebuah jalan raya yang akan memudahkan akses kepada kawasan penempatan terpencil ini. Pembinaan jalan raya ini menurutnya akan memudahkan penghijrahan penduduk dari kawasan tersebut dan membuka kawasan penempatan baru di sepanjang jalan raya ini.

Pembinaan kawasan penempatan baru

penempatan di amazon

Mengikut perancangan yang dibuat, menjelang awal 1980-an, pembinaan jalan raya ini akan menggalakkan pembinaan penempatan baru di sepanjang jalan raya ini yang akan dihuni lebih 10 juta penduduk.

Mengikut perancangan, individu yang bersetuju untuk membina penempatan akan diberikan sebidang tanah seluas 250 ekar, 6 bulan gaji dan kemudahan pinjaman pertanian sebagai tukaran untuk membina penempatan di sepanjang jalan raya ini dan menukarkan kawasan hutan belantara tersebut sebagai kawasan pertanian.

Menurut perancangan ini, penduduk yang membina penempatan ini turut akan membekalkan bekalan beras, jagung dan kacang untuk pasaran tempatan. Mereka juga dijangka memperoleh jutaan dollar melalui eksport kopi, koko, ladang hitam, buah-buahan dan pelbagai hasil tanaman lain.

Terlalu terburu-buru tanpa kajian mendalam

lumpur di amazon

Walaupun niat perlaksaan projek ini dianggap sesuatu yang bagus untuk rakyat tempatan, cabaran bentuk bumi bumi dan sistem ekologi di Hutan Amazon itu sendiri telah menggagalkan projek mega ini. Dalam erti kata mudah, tiada kajian dijalankan terselebih dahulu dan perlaksanaannya juga dianggap terlalu terburu-buru.

Untuk makluman, kawasan hutan di Amazon terdiri daripada kawasan berpaya dan tanah mendapan, menjadikannya kurang stabil dan risiko banjir ketika musim hujan. Akibatnya, selama hampir 6 bulan lamanya setiap tahun jalan raya ini tidak dapat digunakan oleh kenderaan. Hal ini menyebabkan penduduk tidak dapat memasarkan produk pertanian mereka.

Keadaan tanah di Hutan Amazon juga sebenarnya tidak sesuai untuk tujuan pertanian. Lapisan bahagian atas yang kaya dengan nutrien juga terlalu nipis menyebabkannya tidak sesuai digunakan banyak kali untuk tujuan pertanian dalam tempoh yang panjang.

Kemusnahan alam sekitar yang dahsyat

kemusnahan hutan amazon

Akibat daripada kondisi tanah disini jugalah, setiap tahun kawasan hutan baru terpaksa diterokai untuk pertanian kerana kawasan lama yang tidak lagi boleh digunakan. Lama-kelamaan, ia telah menyebabkan penerokaan hutan yang dahsyat di kawasan hutan terutamanya sepanjang jalan raya ini.

Selain itu, pembukaan jalan raya Trans-Amazon ini juga menyaksikan peningkatan aktiviti pembalakan haram secara mendadak dan pembukaan lombong emas secara haram. Malah, aktiviti haram ini dikatakan masih lagi berlaku sehingga ke hari ini. Ketika zaman kemuncaknya antara tahun 1990-an dan awal 2000, lebih 25,000 kilometer persegi kawasan hutan telah dibersihkan untuk tujuan ini.

Penamatan projek Trans-Amazon

trans amazon 271

Pembinaan jalan raya ini telah mengambil tempoh yang lebih panjang daripada yang dijangka. Ianya mengalami pelbagai cabaran sehingga akhirnya dihentikan sepenuhnya menjelang 1974. Kerajaan juga telah menghentikan sebaran bantuan terhadap kira-kira 20,000 buah keluarga yang sudah membina penempatan di sepanjang jalan raya ini.

Pada masa kini, hanya sebahagian kecil jalan raya ini yang masih digunakan. Walaupun sebahagian kecil jalan raya ini telah dilapisi dengan lapisan batu kerikir, ianya masih tidak dapat digunakan ketika musim hujan yang melanda kawasan Amazon antara bulan November hingga April setiap tahun.

Terdapat desas-desus yang mengatakan kerajaan Brazil berminat untuk menyambung kembali jalan raya ini. Sesetengah pihak mendakwa melihat banyak lori keluar masuk membawa muatan batu kerikir untuk pembinaan lapisan asas jalan raya ini.

Walau bagaimanapun, mengambil kira kepanjangan jalan raya ini dan pelbagai faktor lain, tiada siapa yang dapat menjangka berapa lamakah tempoh yang bakal diambil dan jumlah peruntukan yang diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan projek ini.

Kredit:

Wikipedia

BBC News

The Conversation




Hakcipta iluminasi.com (2017)