kerajaan china haramkan umat islam puasa di bulan ramadhan

Di kala semua umat Islam di seluruh dunia bergembira menyambut kehadiran bulan yang suci, pihak berkuasa China sekali lagi melancarkan tindakan keras dengan melarang golongan minoriti Islam di negara itu untuk berpuasa dan melakukan amalan agaman yang lain. 

Sekatan-sekatan ini dikuatkuasakan terutamanya di wilayah Xinjiang Barat yang majoritinya adalah penduduk Islam, di mana pihak berkuasa China sering tinggal di rumah keluarga Muslim untuk menyekat aktiviti keagamaan, menurut Human Rights Watch dan aktivis-aktivis.

Amnesty International berkata dalam laporan yang dikeluarkan, pihak berkuasa China melihat puasa Ramadan bersama-sama dengan perkara lain yang berkaitan dengan agama Islam termasuk janggut, tudung, solat 5 waktu dan tidak meminum alkohol sebagai satu "tanda ekstremisme".

Walaupun sekatan pada bulan Ramadan berpuasa di sekolah dan pejabat kerajaan telah wujud selama beberapa dekad yang lalu di China, pengawasan secara besr-besaran dan penahanan telah meningkat sejak 3 tahun yang lalu dalam usaha untuk menghentikan keluarga-keluarga Islam daripada mengikuti tradisi walaupun di dalam rumah masing-masing.

Alip Erkin, seorang aktivis media Uyghur untuk Uyghur Bulletin, berkata bahawa penduduk Islam takut akan kemungkinan mereka dihantar ke kem tahanan jika melakukan sebarang aktiviti keagamaan atau menyatakan identiti keagamaan mereka serta budaya tradisional.

islam uighur berpuasa

Ketika ditanyakan kepada Pentadbiran Hal Ehwal Agama Negara China, tiada komen yang diberikan. Namun dalam sebuah sidang akhbar, jurucakap Kementerian Luar, Geng Shuang berpendapat bahawa China mentadbir urusan agama "menurut undang-undang".

"Kami tegas dalam menolak dan melawan ekstremisme agama. Kegiatan keagamaan biasa oleh pengikut agama dijamin mengikut undang-undang dan adat mereka dihormati," kata Geng Shuang.

Dipaksa makan tengah hari

umat islam di china dilarang berpuasa

Alip Erkin yang kini menetap di Australia memberitahu bahawa ketika beliau bersekolah di China, berpuasa dan solat dalam bulan Ramadhan tidak digalakkan.

Dan pada tahun 2014, sekatan terhadap perkara ini semakin menjadi-jadi. Kerajaan China mula mengumpulkan orang di tempat kerja dan sekolah mereka lalu menghidangkan makan tengah hari untuk memastikan mereka tidak berpuasa.

Terdapat beberapa muat naik dan notis di pelbagai laman sesawang kerajaan China sejak 2014 dan 2015 yang mengharamkan puasa dan tradisi Ramadhan, serta memberi amaran bahawa mana-mana restoran yang ditutup semasa Ramadan akan kehilangan lesennya.

Bukan itu sahaja, sekatan ke atas kebebasan beragama di kediaman sendiri juga semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

larangan melakukan aktiviti agama ke atas umat islam di china

Walaupun terdapat batasan ketat di institusi kerajaan di seluruh China pada tahun 2014 dan 2015, namun banyak keluarga masih diberi kebebasan beragama di rumah.

"Bapa saya yang merupakan seorang ahli perniagaan dan tiada sebarang kaitan dengan kerajaan dapat berpuasa di rumah tanpa sebarang sekatan," kata Alip Erkin.

Namun semuanya berubah pada Mei 2017 apabila Alip dan bapanya ditahan. Dalam tahun yang sama, laporan pengasingan besar-besaran mula muncul dan pengawasan dipergiat.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sehingga 1 juta orang Uighur dan kumpulan orang Islam lain ditahan di kem pendidikan semula di wilayah Xinjiang sejak tahun 2017.

Kamera dan perakam audio kini dipasang di setiap jalan dan memantau pintu-pintu masuk rumah. 

Pegawai kerajaan memantau keluarga Islam menerusi program khas

orang islam uighur menjadi mangsa penindasan kerajaan china

Pegawai kerajaan juga telah mula melakukan program "tinggal di rumah" di mana "keluarga-keluarga Islam dikehendaki memberi maklumat mengenai kehidupan mereka dan pandangan politik, dan tertakluk kepada doktrin politik".

Aileen, seorang Muslim Hui dari wilayah barat daya Gansu, berkata bahawa pegawai kerajaan kerap menggeledah rumah dan tinggal bersama keluarga di Xinjiang selama kira-kira seminggu dengan tujuan "untuk memastikan tidak ada amalan agama di dalam rumah".

Jika barang-barang seperti sejadah atau buku-buku agama ditemui, seseorang biasanya akan ditahan. 

"Kebanyakan orang tidak lagi menyimpan al-Quran di dalam rumah lagi," kata Aileen.

aktiviti agama di rumah diharamkan di china

Sebagai tambahan kepada program "tinggal di rumah" ini, pegawai kerajaan tempatan juga kerap melawat ke rumah-rumah keluarga Islam tanpa memberitahu kehadiran mereka terlebih dahulu untuk melihat sama ada mereka puasa atau solat.

Kuliah mengenai "nilai teras sosialis" juga sering diadakan untuk "menyambut Ramadan".

Antara salah satu kuliah yang disampaikan di mana seorang pegawai kerajaan mengarahkan orang ramai supaya tidak menggunakan salam seperti "Assalamualaikum".

Sasaran utama pengawasan dan penahanan adalah terhadap etnis Uyghurs, salah satu dari beberapa minoriti Islam yang tinggal di China yang telah berjuang untuk kemerdekaan dari China pada masa lalu.

Di wilayah Xinjiang, semua orang Islam tertakluk kepada penahanan dan pengharaman terhadap amalan agama.

Rujukan:

1. Aljazeera

2. ABC

3. VOA


tags : , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)