Kebebasan sebenar merupakan sesuatu yang amat berharga, namun kerajaan-kerajaan dunia zaman sekarang tidak dapat dinafikan memilih untuk mencipta ilusi kebebasan asalkan urusan pentadbiran dan keselamatan orang ramai lebih mudah dipantau dan diselia.

Salah sebuah negara yang mengenakan bentuk kawalan terbesar ke atas rakyatnya adalah gergasi ekonomi dunia ketika ini iaitu negara China. Dengan menggunakan jaringan kawalan terhadap capaian internet dan juga pemantauan keselamatan menerusi 176 juta kamera litar tertutup yang dipasang, kerajaan China tidak lagi berselindung mahu mengenakan kawalan ketat ke atas rakyat mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Usaha menggabungkan teknologi pengesan muka yang mampu mengenalpasti identiti individu dalam tempoh beberapa saat yang digelarkan 'Big Brother' menggerunkan sesiapa saja.

Namun di antara semua langkah yang diperkenalkan kerajaan negara itu, satu sistem yang diwujudkan lebih bersifat tradisional dan konvensional, tetapi lebih mengekang sesiapa. Itulah sistem kredit sosial kerajaan China.

Sistem sosial kredit - mengkategorikan tahap kualiti orang ramai

orwellian social credit system china

Sekiranya kita mahu melakukan pinjaman rumah, salah satu faktor yang akan diambil kira adalah tahap kredit serta rekod CTOS kita, yang akan menceritakan pelbagai perkara tentang tahap kewangan kita. Bagaimana pula seandainya sistem sama diperkenalkan tetapi yang diukur bukanlah tahap kewangan, tetapi sifat peribadi kita?

Itulah yang sedang diusahakan oleh kerajaan China ketika ini. Sistem kredit sosial atau 'shehui xinyong' merupakan satu sistem reputasi kebangsaan, yang akan memberikan satu skor atau markah pada setiap individu warga China berdasarkan kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan kerajaan.

nasib rakyat china

Dimulakan sejak tahun 2013 dengan sasaran pelaksanaan sepenuhnya pada tahun 2020, sistem ini bakal merekodkan kesemua maklumat peribadi orang awam daripada faktor kewangan, kesihatan, transaksi atas talian, hal ehwal mahkamah, kenalan rapat serta banyak lagi maklumat untuk penyeliaan pemerintah.

Selepas semua faktor diambil kira, setiap individu akan diberikan satu gred atau skor bagi menunjukkan kualiti hidup seseorang.1.4 billion rakyat China sama-sama boleh menilai sendiri skor kredit sosial mereka dan semua informasi yang disimpan; kerana maklumat itu tidak lagi jadi rahsia bermula 2020.

Matlamat kerajaan China mewujudkan sistem sebegini rupa sudah pastilah bunyinya baik. Diperkenalkan untuk memastikan ketelusan informasi berkenaan setiap individu dan juga syarikat, sistem ini diharap daoat memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Sistem ini juga direka agar orang ramai dapat dilindungi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, yakni mereka yang mempunyai skor sosial yang rendah.

Apa faedah mendapat skor tinggi?

sistem kelas dan rating rakyat china

Berdasarkan skor orang ramai, kerajaan China memperkenalkan sistem ganjaran atau hukuman ke atas individu.

Antara faedah yang akan diperolehi oleh mereka yang mematuhi segala ketetapan adalah seperti mendapat diskaun dalam pembayaran bil-bil utiliti, selain daripada mendapat rebat dalam urusan penyewaan rumah, basikal dan fasiliti lain. 

Selain itu, mereka yang mempunyai skor yang baik juga dibenarkan terus berjumpa doktor di hospital tanpa perlu beratur menunggu giliran. Segala urusan berkenaan permohonan kerja dan pinjaman bank juga akan dipermudahkan.

Bagaimana pula dengan hukumannya? 

Hukumannya pula tampak tidak seimbang dengan ganjarannya. Bagi individu berskor rendah, mereka boleh dilarang daripada menaiki keretapi laju dan kapal terbang. Selain itu anak-anak individu berskor rendah juga boleh dihalang daripada masuk ke sekolah-sekolah yang lebih baik. Lebih malang, individu berskor rendah akan dihalang daripada membeli barangan yang dikategorikan kelas atasan serta tidak akan dibenarkan membeli kediaman sendiri.

Kelajuan internet anda boleh diturunkan sekiranya skor anda terlalu rendah disebabkan kesan pengaruh internet pada kehidupan anda.

Apa perbuatan yang menyebabkan turun naik skor sosial?

sistem sekuriti di china

Sistem skor sosial ini dikawal berdasarkan maklum balas orang ramai. Sekiranya ada pihak menyenarai  hitam nama anda dalam senarai orang berhutang, skor anda akan menurun. Melakukan kekacauan di tempat awam akan menyebabkan anda dihukum.

Terlalu banyak sebenarnya untuk disenaraikan satu per satu; ketagihan internet, ketagihan permainan video, merokok di tempat tidak sepatutnya hinggalah berbelanja di luar kemampuan. Senang cerita - apa saja yang tak elok dibuat di tempat awam serta mengganggu pihak lain akan merendahkan skor.

Nak meningkatkan kembali markah agak sukar. Anda perlu rajin melakukan kerja-kerja kebajikan. Anda perlu membuktikan anda ibu bapa yang bertanggungjawab, dengan cara membeli lampin anak. Apa saja yang membuktikan anda manusia yang baiklah.

Buat masa sekarang, sistem manual masih digunakan bagi merekodkan amalan baik dan buruk orang ramai. Beberapa orang pegawai dilantik oleh kerajaan China di setiap kawasan bagi memantau amalan baik dan buruk yang berlaku. Sebagai contoh, di sebuah perkampungan bernama Jiakuang Maija yang menjadi perintis awal ujian sistem kredit sosial China, ada seorang wanita yang ditugaskan merekodkan semua perbuatan baik yang dilakukan penduduk kampung.

Dalam rekodnya ada dicatatkan berkenaan seorang individu yang menghabiskan 8 jam memasang jaring bola keranjang di kampung berkenaan, melayakkan dia mendapat 2 mata. Ada warga kampung menderma televisyen untuk bilik mesyuarat; 30 mata. Ada dua orang ibu yang anaknya berkhidmat dengan tentera jadi mereka mendapat 10 mata.

Setiap skor warga kampung tersebut akan dijumlahkan dan dipaparkan. Individu yang mendapat markah tertinggi diberikan beras, minyak masak dan wang tunai serta diangkat sebagai ikon kampung tersebut.

Menakutkan bukan masa depan mereka, bila sistem itu akan dilaksana sepenuhnya. Baik atau buruk, kita tunggu dan lihatlah apa akan berlaku pada masyarakat China.

Rujukan

Forbes




Hakcipta iluminasi.com (2017)