tombiruo ke pasaran amerika syarikat

Kredit foto: thepatriots.asia

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba terus melakar kejayaan dengan kutipan pawagam terkini mencecah RM7 juta sejak tayangan 12 Oktober lalu, diikuti jualan ke pasaran antarabangsa di acara American Film Market (AFM).

Filem ini menarik minat ejen penjualan filem antarabangsa iaitu Alliance Media Partners (AMP) International Ltd atas dasar keunikan yang dianggap mampu diterima baik di pasaran global.

Malah bukan sahaja di AFM, bahkan ia juga bakal dipasarkan ke Eropah tahun hadapan.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, “Ini adalah kerjasama pertama AMP dengan penerbit dari Malaysia di mana ejen terbabit cukup berpengaruh dalam pasaran antarabangsa. AMP bakal menjadi ejen kami untuk menjual filem Tombiruo di pelbagai negara selepas ini.

“AFM yang berlangsung di Santa Monica, California, Amerika Syarikat adalah acara pertama untuk filem ini dijual dan tahun depan ia akan dijual di Eropah pula."

Tambah Najwa, kelainan dalam watak adiwira tempatan itu antara yang memikat perhatian pihak luar.

“Saya percaya keunikan adiwira tempatan dapat menarik perhatian penonton antarabangsa," jelasnya.

Ditambah dengan kualiti produksi yang disifatkan bertaraf antarabangsa.

“Selain itu, mutu produksi turut menjadi faktor penarik utama filem ini kerana ia setaraf karya antarabangsa. Kesimpulannya, Tumbiruo naskah yang boleh diterima secara global,” ujarnya.

Tombiruo: Penunggu Rimba menampilkan barisan pelakon hebat, antaranya Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Hasnul Rahmat, berkisar Ejim yang digelar penunggu rimba kerana rupa paras pelik, berlainan daripada manusia lain.

Sumber berita: Harian Metro

tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)