Kredit foto: Instagram Zul Ariffin

Hanya dalam tempoh 10 hari pertama tayangan di pawagam sejak 12 Oktober lalu, filem Tombiruo : Penunggu Rimba berjaya mengaut kutipan lebih RM5 juta!

Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar menyifatkan tarikan utama filem tersebut adalah kelainan yang ditampilkan dalam kisah yang diadaptasi daripada novel karya Ramlee Awang Murshid.

Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan sokongan berterusan daripada pihak pawagam untuk menayangkan filem itu selagi menerima sambutan.

"Kami terharu dengan sokongan peminat filem tempatan dan berharap pawagam juga memberi sokongan berterusan terhadap filem ini.

"Bagi kami, faktor utama yang menarik penonton ke pawagam adalah kerana novel tulisan Ramlee ini disukai ramai sejak dihasilkan 20 tahun lalu.

"Apabila diangkat ke layar perak bersama nilai produksi yang tinggi selain garapan babak aksi, lakonan mantap serta promosi bagus, ia memancing khalayak," katanya yang dipetik daripada laporan BH Online.

Tombiruo : Penunggu Rimba berkisarkan seorang lelaki bernama Ejim (lakonan Zul Ariffin) yang mempunyai kuasa unik.

Ejim ditakuti masyarakat kerana wajahnya yang pelik, lantas digelar Tombiruo.

Tombiruo adalah perkataan dalam bahasa Kadazandusun yang membawa maksud roh atau hantu.

Filem arahan Seth Larney ini antara lain dilakonkan Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Hasnul Rahmat.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)