Kereta paling pantas di Bumi ini kelihatan seperti kenderaan daripada filem sci-fi.Para peminat kereta lumba pasti tahu perasaan menekan pedal minyak di atas lebuh raya dan kelajuan adalah sesuatu yang sering diraikan mereka.

Perlumbaan Grand Prix di litar tertutup dan trek telah membuatkan populariti kenderaan laju meningkat sejak seabad yang lalu. Sebagai contoh, perlumbaan Formula Satu telah dimulakan pada tahun 1950 telah mendapat sambutan hangat sehingga hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Akan tetapi, untuk mencapai kelajuan lebih daripada 1,200 km sejam atau lebih dua kali ganda daripada kelajuan tertinggi perlumbaan Formula Satu merupakan satu cabaran yang sukar. Ia termasuklah cabaran dalam mencari pemandu yang sesuai dan tidak mudah lemah semangat. Ia jauh berbeza berbanding mana-mana perlumbaan lain yang melibatkan kereta lumba.

andy green keluar daripada thrust ssc

Andy Green keluar daripada Thrust SSC

Pada tanggal 15 Oktober 1997, Andy Green yang merupakan juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja UK telah mengendalikan kenderaan paling laju di dunia iaitu Thrust SCC. Pemanduan itu dilakukan di Gurun Black Rock, Nevada. Pada hari itu, Green telah menetapkan rekod memandu kenderaan paling laju di atas tanah dan ia tidak dipecahkan walaupun selepas dua dekad kemudian.

Seperti apa yang dijelaskan dalam laman web Gunness World Records, Thrust SCC telah mencapai kelajuan 1,227.985 km sejam (763.035 batu sejam). Rekod yang berjaya dicipta menggunakan Thrust SCC itu merupakan salah satu tanda aras kepada pembangunan teknologi.

Thrust SCC yang lebih kelihatan seperti sebuah pesawat berbanding daripada kereta, bukan sahaja telah memecahkan rekod kelajuan di darat untuk menjadi kereta terpantas di dunia. Ia juga adalah kereta pertama di dunia yang berjaya memecah halangan bunyi.

pasukan yang mengendalikan thrust ssc

Pasukan yang mengendalikan Thrust SSC

Ledakan sonik yang terhasil daripada Thrust SCC begitu kuat sehingga ia menyebabkan bangunan-bangunan di bandar Gerlach yang terletak kira-kira hampir 20 km dari tapak ujian itu bergegar, menurut laporan Guinness World Records.

Thrust SSC telah mewakili puncak pencapaian dalam bidang kejuruteraan. Walaupun kelajuan bunyi sebelum ini telah dipecahkan oleh beberapa jenis pesawat udara, namun ia adalah kejayaan pertama yang berjaya dilakukan di darat.

Dengan kelajuan maksimum lebih daripada 1,200 km sejam, kenderaan ini juga mempunyai risiko besar untuk menjadi satu bencana. Sudah tentu, objek yang bergerak pada kelajuan sedemikan dengan mudah boleh terbabas atau meletup.

pandu uji thrust ssc di gurun black rock

Pandu uji Thrust SSC di Gurun Black Rock

Suhu di belakang kenderaan terlaju di darat ini dilaporkan mencapai lebih daripada 300 darjah selsius dan paras bunyi yang menghampiri 175 dB. Thrust SSC ini dilengkapi dengan sepasang enjin Rolls-Royce Spey 205 turbojet. Menurut majalah Interesting Engineering, kedua-dua enjin itu mampu menghasilkan sehingga 100,000 kuasa kuda antara mereka.

Mesin yang hebat ini juga datang dengan tanggungjawab yang besar. Para pereka Thrust SSC terpaksa memastikan model mereka itu dapat bertahan dan utuh pada kelajuan tinggi. Mereka juga perlu memastikan keselamatan pemandu yang akan mengendalikan kenderaan hebat ini.

Roda super yang mampu berputar pada kelajuan 8,500 rpm telah diintegrasikan ke dalam reka bentuk Thrust SSC. Pada kelajuan ini, tayar kereta biasa tidak mampu bertahan. Oleh itu, roda kenderaan ini perlu menjalani reka bentuk semula yang besar.

thrust ssc

Pecutan radial di rim adalah sehingga 35,000G dan ia akan menghancurkan semua jenis tayar tradisional. Untuk mengarasi kuasa sentripetal yang besar ini, roda aluminium L27 telah dihasilkan. Setiap satu roda ini adalah seberat 160kg.

Keseluruhan reka bentuk Thrust SSC membolehkan pemandu hanya mengawal sebahagian sahaja kenderaan ini. Oleh itu, sistem keselamatan tradisional terpaksa diabaikan agar mekanisma dan sensor keselamatan khas dapat memastikan kenderaan ini bergerak dalam keadaan lurus di atas tanah.

Sebilangan besar sensor dipasang bagi mengumpul pelbagai data seperti kelajuan, arah dan tujahan dapat diperhatikan semasa pemanduan dijalankan. Sekiranya salah satu enjin Thrust SSC tidak berfungsi, sensor yang dipasang akan membolehkan agar satu lagi enjinnya tertutup dalam hanya beberapa milisaat sahaja.

Sekiranya Thrust SCC mula terangkat daripada berada di darat, salah satu lagi sensor akan mengaktifkan sistem keselamatan agar berat tambahan sebanyak 3 tan digunakan dalam masa beberapa milisaat untuk menstabilkan semula kenderaan itu.

Dua dekad selepas mencatat rekod kelajuan dunia, Thrust SSC bersama lagi satu model Thrust kini ditempatkan di Muzium Pengangkutan Coventry, England. Pengunjung boleh mengunjungi dan melihat sendiri pencapaian manusia dalam mencapai kelajuan darat yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Rujukan:

1.Guinness World Records

2.Interesting Engineering

3.Land Speed Record




Hakcipta iluminasi.com (2017)